BERLAWAN DENGAN SYAITAN 4 (akan datang)

Bab 1

Shah Iskandar cuba untuk membuka matanya namun dia tidak berdaya untuk melakukannya. Dirasakan terlalu berat kelopak mata tersebut umpama cuba mengangkat beban yang maha berat. Dia berdoa sebanyak-banyaknya agar mampu untuk menempuh kesukaran ini dan akhirnya dengan izin Allah, dia berjaya membuka matanya namun pandangannya agak kabur. Dia cuba memandang sekeliling namun tidak jelas dimatanya. Shah Iskandar melihat seseorang sedang berlari ke arahnya. Dicubanya berulang kali untuk mengecam. Akhirnya seorang lelaki sampai dan terus meriba kepalanya sambil memanggil-manggil namanya berulang-ulang kali. Adam : “Pak cik Shah! Pak cik!” Shah Iskandar hanya mampu melihat sahaja wajah itu tanpa kata-kata. Dengan spontan matanya tertutup. Adam meletakkan jarinya dirongga hidung Shah Iskandar dan mendapati lelaki itu masih bernafas. Dia meletakkan kepala Shah Iskandar ke tanah semula. Dengan kudratnya, Shah Iskandar dianjung ke bahu dan dibawa dengan seberapa segera dari kawasan pertempuran tersebut. Hari semakin gelap dan Adam membawa pak ciknya meredah kawasan hutan itu dengan harapan dapat menyelamatkan nyawa pak ciknya itu. Cukuplah satu nyawa sudah melayang sebelum itu. Dia tidak mahu kehilangan Shah Iskandar pula. Adam melangkah laju namun berhati-hati meredah laluan di dalam hutan tebal tersebut. Dia sudah hampir sampai ke kenderaannya yang berada dalam jarak beberapa meter lagi. Tiba-tiba dia menghentikan langkahan.  Di hadapannya terlihat seekor harimau yang sedang bersiap-sedia untuk menerkam. Peluh didahinya mengalir jatuh bertali arus. Tangan kirinya tegap memeluk tubuh Shah Iskandar. Tangan kanannya bergerak perlahan memegang parang dipinggang. Dia sedang bersiap untuk melancarkan serangan sekiranya perlu. Harimau yang sedang berdiri garang bergerak ke kiri dan kanan sambil menjeling tajam ke arah mangsa yang sedang berada dihadapannya. Harimau tu tiba-tiba mengaum kuat memecah keheningan senja. Matahari sudah hampir melabuhkan tirainya. Adam sedang berhadapan dengan musuh yang sedang kelaparan. Dibahunya ada Shah Iskandar yang memerlukan bantuan secepat mungkin. Pertempuran antara manusia dan haiwan ni tidak dapat dielakkan lagi. Adam mencabut parang dipinggangnya perlahan-lahan dan bersiap-sedia untuk mempertahankan dirinya dan pak ciknya yang masih pengsan diatas bahu kirinya. Harimau tersebut mula mengatur langkah dan cuba menghampiri mereka. Adam mengundur dan terlihat sebuah rimbunan pokok rendang yang lebat daunnya. Dengan sepantas kilat dia menghumban tubuh Shah Iskandar ke arah rimbunan pokok rendang tersebut dan mengatur kuda-kuda untuk mempertahankan diri dari serangan harimau yang bakal menjelma. Sebaik sahaja Shah Iskandar dihumban, harimau tersebut mengatur langkah menyerang mangsanya. Dengan larian pantas, pak belang menyerang Adam dengan menerkam ke arahnya dengan mulut terbuka luas dan gigi taring yang tajam, sedia untuk mengoyakkan tubuh mangsanya. Adam berundur dengan pantas sebaik melihat pak belang melompat dan menerkam dengan wajah yang bengis

 73 total views

CERITA SANTAI IV

Cerita Santai IV

Petang tu hujan turun dengan lebat. Aku berhenti sekejap kat hentian motor bawah jambatan menghala ke jalan parlimen. Masa aku buka helmet nampak macam ada orang tengah mencangkung kat atas bukit kat tepi tempat aku parking motor. Aku buat tak tahu sahaja sebab aku beranggapan gelandangan kot. Aku mengelap muka dan kepala dengan tangan. Mata aku sekali lagi menjeling kat orang yang mencangkung tadi.
“Eh…ke mana pula hilangnya?”
Mataku memandang sekitar kawasan. Tiada sesiapa di bawah jambatan ni. Sesekali terpancar kilat dilangit menerangi kawasan bawah tempat aku berteduh ni. Suasana makin bertambah gelap disamping hujan yang turun mencurah-curah dari langit. Aku melihat jam ditangan, baru jam 6.40 petang. Kalau melihat keadaan sekitar ni dah nampak macam jam 7.30 malam. Aku memerhatikan persekitaran dan mendapati ada 2 buah motor berada dihadapan aku, turut berteduh.
“Eh…bila masa motor ni ada kat depan aku?”
Aku semakin resah melihat motor dihadapan aku. Kelihatan ada dua orang yang tidak dikenali sedang duduk di atas motor masing-masing. Aku tidak dapat melihat wajah mereka kerana masing-masing menghadap ke hadapan.
“Boleh jadi masa aku lap muka tadi kot motor-motor ni masuk sini”
Aku kembali tenang dengan diriku sendiri. Bunyi guruh yang berdentum kuat bergema dibawah tempat aku berteduh. Ini menyebabkan aku terkejut dan beristighfar panjang. Mataku menangkap kilat yang memanah dua penunggang motor dihadapanku dengan serta merta dan sekaligus. Mereka terjatuh dari motor dan menggelepar seperti ayam baru disembelih. Dalam kesamaran suasana itu aku terdengar jeritan kuat. Aku panik. Aku terus melompat turun dari motor untuk melihat keadaan mereka yang disambar kilat sebentar tadi. Baru sahaja aku ingin melangkah, terdengar lagi satu dentuman yang sangat menyilaukan. Aku terpaksa menghentikan langkahanku. Aku melindungi cahaya terang itu dengan belakang tapak tangan yangku letak diposisi mataku. Sebaik sahaja keadaan kembali normal, aku bergegas ke tempat orang-orang yang terkena panahan kilat tadi. Aku menjadi bingung sebentar.
“Eh, mana diorang ni?”
Apa yang dapat ku lihat pada masa itu hanya air hujan yang membasahi kawasan itu akibat turun dari atas bukit tersebut. Tiada sesiapa disitu. Tiada jasad, tiada manusia yang terbaring ditempat aku melihat mereka dipanah kilat tadi.
Aku kembali resah. Dadaku berdebar-debar. Mataku meliar. Aku rasa terancam dengan serta-merta. Dalam keadaan jiwa yang kacau itu aku bercadang untuk segera pergi dari tempat perteduhan ini. Baru sahaja aku ingin melangkah menuju ke motorku, terlihat seseorang diatas motorku.
Kakiku seolah-olah terpaku. Begitu berat rasanya. Dengan spontan sahaja aku melafazkan azan dibawah jambatan tersebut. Kedengaran gema azan seolah-olah menggegarkan persekitaran. Ku lihat makhluk yang sedang duduk diatas motorku menutup telinganya.
Jelas sekali makhluk itu bukan manusia. Ia melompat pantas dan menyusup laju naik ke kawasan bukit tersebut. Selesai aku melaungkan azan, aku terasa kakiku tidak lagi terpaku. Aku berjalan laju menuju ke motorku. Tiba-tiba aku tersadung sesuatu menyebabkan aku tersungkur diatas jalan. Mukaku terpercik air hujan yang bertakung. Apabila aku cuba bangun dan duduk, aku melihat tiada apa-apa yang menyebabkan aku terjatuh. Aku bingkas bangun dan kembali berdiri. Aku perlu segera pergi dari kawasan berpuaka ini.
Mataku melihat motorku diterbalikkan menyebabkan kedua-dua tayar motor naik ke atas dan tempat duduk di atas tanah. Aku semakin panik. Dengan sekuat tenaga ku, suara ku berkumandang dipersekitaran dengan bacaan ayat kursi. Kemudianku sambung dengan bacaan tiga kul dan diakhiri dengan ayat 21-24 surah al-hasyr.
Perlahan-lahan ku buka mataku. Keadaan terang. Hujan sudah reda. Aku dapati diriku berlutut di hadapan motorku. Aku melihat sekitar. Keadaan tenang. Aku mengucapkan syukur berkali-kali…alhamdulillah ya allah, alhamdulillah ya allah, alhamdulillah ya allah…terima kasih!

 608 total views,  3 views today

Cerita Santai III

Cerita Santai III

Lokasi : Pejabat

Waktu : 10.30 pagi

Seseorang mengetuk pintu bilik.

Aku : Masuk…
Kawan : Assalammualaikum…
Aku : Waalaikum salam. Ya, tuan. Lama tak jumpa…
Kawan : Apa kabar ente?
Aku : Ana baik baik sahaja. Ente?
Kawan : Ana sihat, alhamdulillah…
Aku : Baiklah, apa yang ana bole bantu ente?
Kawan : Oh…ana datang menziarahi sahaja sebab sudah lama ana tak nampak ente. Ente sakit ka?
Aku : Ana cuti panjang. Maklumlah cuti sekolah.
Kawan : Oh begitu, patutlah ana tidak nampak ente. Tapi tak mengapalah, ana cuma pelik sedikit.
Aku : Pelik yang bagaimana itu ente?
Kawan : Oh begini ente, semasa ente tiada dipejabat, ana selalu lalu depan bilik ente ini. Bilik ini terang selalu, tapi ana tidak nampak sesiapa kerana birai cermin ente tertutup. Ana cuba ketuk pintu dan bagi salam tapi tiada orang.
Aku : Tapi ente, ana datang hari ni bilik ana gelap. Sebab ana memang cuti minggu lepas. Seingat ana, ana tidak bagi sesiapa masuk ke bilik ana.
Kawan : Benarkah ente? Kalau begitu betullah tekaan ana, ente tiada dipejabat waktu itu.
Aku : Benar ente. Ana tiada dipejabat. Sekarang ana rasa sangat pelik bagaimana orang masuk bilik ana semasa ana tiada dipejabat.
Kawan : Ente ada sorok kunci bilik depan pintu? Atau ente ada bagi pendua kunci pada sesiapa?
Aku : Tidak ada ente, seingat ana.
Kawan : Baiklah kalau begitu. Malam ini ana balik lewat. Kalau ana nampak bilik ente menyala, ana akan siasat.
Aku : Baiklah ente. Nanti petang sebelum balik ana bagi kunci ana sama ente.
Kawan : (Menanggukkan kepala tanda setuju).

Malam itu, kira-kira jam 10 malam, kawan ana lalu depan bilik ana dan terkejut melihat lampu bilik ana menyala. Dia melihat sekeliling dan mendapati tiada sesiapa dipejabat pada waktu itu. Kawan ana cuba menjenguk dari celah-celah birai yang terselak sedikit dan cuba mengenalpasti samada ada sesiapa didalam bilik ana. Dia terlihat sesuatu yang agak mengejutkan.

Esoknya.

Kawan : Malam tadi ana lalu depan bilik ente.
Aku : Ente ada lihat bilik ana menyala lagi ke lampunya?
Kawan : Ya, ana lihat lampu menyala lagi. Ana rasa sudah tiada orang lagi di tingkat ente pada masa itu.
Aku : Takpalah ente. Lain kali ente buat tidak nampak sahajalah. Ana bimbang keselamatan ente.
Kawan : Ok baiklah ente. Kalau ente sudah bilang begitu, lain kali ana lalu, ana buat tidak nampaklah…

Sambil bersalaman, kami ketawa kecil sebelum menyambung kerja masing-masing.

 511 total views,  3 views today

Cerita Santai…

CERITA SANTAI

Ada kawan saya ni sangat rajin bangun malam. Saya tanya kenapa? Dia jawab adalah. Oklah, saya tak tanya dah kenapa sebabnya. Suatu hari tu, dia datang pejabat muka sugul macam sedih pun ada, macam tak berapa gembira pun ada. Saya pun cuba dapatkan cerita dia. Saya tanya dia, kenapa muka tak ceria macam selalu? Ada masalah ke kat rumah? Mungkin saya boleh bantu. Boleh sahaja kalau nak berkongsi asalkan tak berkaitan dengan perkara peribadi. Maka, sahabat ini pun berceritalah perihalnya.

“Aku selalu juga bangun malam. Asal jam tiga pagi mata aku ni macam alarm clock mesti terjaga. Aku pun pelik kenapa. Tapi takpa la, aku bangun sahaja dan terus pi ambil wuduk untuk solat sunat. Macam biasalah, rumah aku time-time tidur memang semua lampu padam. Lampu yang menyala hanya dibahagian dapur sebab senang kalau anak-anak aku terjaga nak ke tandas, mereka tak lah takut sangat. Bukan apa takut mereka terkencing kat bilik tidur ja kalau takut sangat nak pergi tandas ataupun masuk bilik aku kejut untuk teman pergi tandas”

Sahabat aku terus bercerita selepas meneguk minumannya.

“Malam tu lepas aku terjaga, aku berjalan keluar dari bilik memang terasa gelap sangat. Aku jalan perlahan-lahan keluar dari bilik kemudian aku nampak bilik anak perempuan aku menyala. Aku jadi pelik sebab, jarang anak aku tidur lampu terpasang. Aku pun berjalan ke bilik dia dan berdiri kat depan bilik tu. Aku nampak lampu kat bawah pintu. Pada pandangan mataku ketika itu, seolah-olah lampu tu menyala dan menyebabkan bawah pintu tu bercahaya. Aku pun pusing tombol pintu dan cuba buka pintu bilik tu. Berkunci pula, lagilah aku pelik. Kenapa kakak kunci pintu? Panggilan anak perempuan aku ni kakak sebab dia seorang ja puteri dalam istana ini. Pastu aku teringat kunci pintu bilik ada dalam laci kat bilik. Aku pun patah balik ke bilik aku nak ambil kunci. Sampai ja depan bilik aku, ada lampu macam kat bilik anak perempuan aku pula. Pintu bertutup dan lampu menyala juga. Hatiku terus berdebar. Masya Allah, perkara  apa ini yang sedang berlaku. Aku cuba pusing tombol pintu bilik aku. Aku sangat pasti selepas aku keluar bilik tadi memang aku biar sahaja pintu terbuka, lagipun aku tak pernah kunci bilik sebab nanti kalau ada apa-apa kecemasan, anak aku boleh terus masuk bilik aku. Tapi sekarang ini keadaan menjadi sangat pelik. Pintu berkunci dan bilik aku menyala lampunya dari dalam. Sama juga hasilnya macam dihadapan bilik anak perempuan aku tadi, tombol tersebut berkunci”

Tiba-tiba akak gerai bawa mee goreng yang sahabat aku order tadi. Sambil mengucapkan bismillah, sahabat tadi segera membaham makanan yang masih panas tersebut. Aku hanya memerhatikan sahaja. Selepas beberapa suapan dilakukan, beliau menyambung semula ceritanya.

“Aku kemudian berpusing semula ke arah bilik anak perempuan aku dan melihat lampu dah terpadam sebab aku dah tak nampak cahaya dari bawah pintunya. Aku menyangka mungkin anak perempuan aku sudah menutup suis lampunya. Pintu juga ku lihat terbuka dan tidak lagi berkunci. Kemudian aku berpaling ke arah pintu bilik aku semula dan didapati lampu masih menyala dari arah bawah pintu. Aku cuba untuk membuka pintu tersebut tetapi gagal kerana ianya berkunci. Macam mana aku nak buka pintu ni? Semua kunci kat dalam laci bilik ini. Nak tak nak terpaksalah aku mengetuk pintu bilik untuk mengejutkan isteriku yang sedang tidur dengan harapan dia terdengar ketukan pintu tersebut. Mula-mula perlahan aku ketuk sambil memanggil-manggil namanya. Kemudian ku ketuk kuat sedikit dari yang mula-mula. Masih juga tiada jawapan. Keadaan sunyi sepi kerana aku tidak mendengar sebarang reaksi dari dalam. Alamak, isteriku tak dengarlah, macam mana nak kejutkan dia ni? Hatiku terus berdebar-debar sebab pintu bilik itu masih tidak terbuka dan lampu masih menyala dibawah kaki pintu. Aku kemudian menarik nafas panjang di hadapan bilikku ini. Aku bertekad nak mengetuk pintu bilik dengan kaki pula. Mungkin kekuatan kaki akan memberikan kesan yang maksima kepada orang yang berada didalam. Sebaik-baik sahaja aku nak menendang pintu dengan kaki, bahuku seperti dicuit orang. Aku terus berhenti untuk menghayunkan kaki ku ke pintu tersebut. Aku segera menoleh ke belakangku untuk melihat siapa yang mencuit bahuku sebentar tadi”

Sahabatku berhenti sejenak dan mengesat mulutnya dengan tisu selepas mee goreng telah selamat dimakan. Kemudian dia menyambung semula.

“Kau tahu tak siapa yang cuit bahu aku? Tanya sahabat ini kepadaku. Aku terus mengangkat bahuku untuk menyatakan bahawa aku tidak tahu siapa yang mencuit bahunya. Sahabat ini menceritakan bahawa tiada siapa yang dilihat dibelakangnya pada ketika itu dan siapa gerangannya yang mencuit bahunya menjadi misteri dalam sekelip mata. Aku pun tak tahu siapa yang cuit sebab bila aku pusing tiada siapa yang aku nampak atau lihat berada dibelakangku. Terus sahaja aku beristighfar berkali-kali kerana aku tidak mengerti apakah ujian yang sedang aku hadapi pada ketika itu. Kemudian aku berpaling semula ke arah pintu bilikku dan ku lihat lampu sudah terpadam dan pintu sudah ternganga seluas-luasnya. Ah! Tidak mungkin pintu ini terbuka dengan tiba-tiba kerana baru tadi ku lihat pintu ini berkunci dan lampu masih menyala di dalamnya. Aku terus melangkah masuk dan melihat isteriku sedang tidur. Apabila ku palingkan muka ku untuk keluar semula bagi mengambil wuduk kerana terbantut sebentar tadi, ku lihat bilik anakku kembali tertutup dan lampu menyala dari bawah pintu. Pada ketika ini, aku merasakan satu perasaan seperti sedang diperhatikan oleh sesuatu. Bulu romaku terus naik mendadak dan dadaku bergetar. Aku tidak pasti kenapa tiba-tiba aku menjadi gementar. Kenapa pintu bilik anak aku tertutup balik? Tadikan dah terbuka?”

Sahabatku ini kembali bersandar dikerusinya. Selepas meneguk air, dia menyambung ceritanya.

“Aku pun terus berjalan menuju ke bilik anak aku. Sampai kat depan pintu tu, aku terus masuk dan melihat isteriku sedang tidur! Eh! Mana anak perempuan aku? Baru tadi aku tengok isteriku tidur dibilik tidur kami sebentar tadi. Sekarang ni macam mana isteriku boleh tidur diatas katil anak perempuan ku pula? Tak masuk akal lah! Aku keluar semula dari bilik anakku dan berjalan menuju ke bilikku. Aku terperanjat sebab bilik tersebut tertutup dan ada lampu kat bawah pintu!! Aku jadi bertambah pelik dengan kejadian ini. Ku toleh semula ke arah bilik anak ku dan kulihat bilik tersebut juga sudah bertutup dan ada lampu kat bawah pintunya. Sekarang kedua-dua bilik sudah bertutup dan kelihatan seperti ada lampu menyala dari dalam. Aku menyandarkan badanku ke dinding rumah. Aku terus melabuhkan punggungku ke bawah dan duduk sekejap diantara bilikku dan bilik anakku. Aku mengusap-usap mukaku dengan kedua belah tanganku. Aku mula membaca surah kursi berulang-ulang kali. Aku pun tak ingat berapa kali aku dah baca sampai ke subuh rupanya sebab isteriku kejut aku yang sedang lena kat depan pintu bilik. Aku terpinga-pinga dan beristigfar berulang-kali. Kenapa abang tidur kat sini? Isteriku tanya”

Sahabat itu menggeleng-gelengkan kepala selepas selesai sesi dari hati ke hati bersama aku pada hari ni. Punya panjang cerita dia sampai dah nak masuk zohor.  Aku dan sahabat terus sahaja beredar dari tempat kami makan dan minum tadi. Moral of the story? Kawan-kawan boleh buat kesimpulan sendiri. Kalau sudi, boleh tinggalkan komen kat bawah ni. Kita boleh berbincang dan bertukar-tukar pandangan. Yang baik kita jadikan iktibar dan yang buruk kita jadikan sempadan. Santai-santaikan minda kita pada hari ini. Sekadar pengalaman yang diceritakan semula.

Shah Iskandar

 513 total views,  2 views today