Bab 10 – Dibalik Tirai (BDSII)

Bab 10 – Dibalik Tirai

Adli merupakan anak sulung Datuk Halim. Dia mempunyai seorang adik bernama Maria. Ibu mereka Datin Faridah merupakan surirumah sepenuh masa. Ayahnya iaitu salah seorang ahli lembaga pengarah Syarikat Cemerlang Venture. Adli seorang yang kaki perempuan. Kegemarannya adalah berfoya-foya dan menghabiskan masa ke kelab dan melancong ke seluruh dunia. Hidupnya adalah penuh dengan maksiat dan kegiatan pelacuran yang didalangi oleh beliau. Walaupun Adli kaki perempuan, dia sangat menyukai Sofea anak Datuk Hisyam. Baginya Sofea memenuhi segala kriteria yang disukainya pada seorang wanita. Pesaing terdekatnya adalah Arif iaitu anak kepada Datuk Murad. Arif merupakan satu-satunya anak Datuk Murad dengan Datin Suria dan juga seorang doktor. Adli yang mempunyai hubungan intim dengan kembar Arina dan Arini iaitu anak kepada Datuk Kassim menjadikan kembar berkenaan pelacur kelas atasan. Kembar berkenaan juga sering keluar bersama-sama Adli untuk melancong ke luar negara dimana mereka bebas untuk melakukan apa sahaja yang mereka suka. Anak-anak ketiga-tiga ahli lembaga pengarah Syarikat Cemerlang Venture iaitu Datuk Halim, Datuk Kassim dan Datuk Murad memang mempunyai latar belakang yang sangat buruk.

“..Oh yang doktor tu pun buat hal juga ke Asad?” soalku dengan penuh minat.

“Ya Shah. Doktor yang buat kerja gugur kandungan gadis..” jawab Asad ringkas.

“Nampaknya anak-anak ini dah rosak akhlaknya. Patutlah arwah Datuk berhempas pulas untuk memastikan saham-saham syarikat dikuasai sepenuhnya oleh beliau” tambah abah pula.

“Betul tu abang Man..kalau tidak habislah syarikat ini. Tapi saya ada dengar Datuk Halim bertengkar dengan arwah Datuk suatu masa dahulu disebabkan keengganan arwah Datuk untuk menjual sedikit syer saham kepada beliau atas faktor beliau yang mula-mula membentuk syarikat ini pada mulanya” sambung Asad lagi.

“Sofea kini menjadi waris tunggal saham yang besar dan ada yang dengki dengan dia mengikut teori saya..” komenku kepada Asad dan abah.

Mereka berdua menganggukkan kepala dan bersetuju dengan pandangan aku.

“Ancaman terbesar Sofea adalah dari Adli dan Arif…” kataku spontan.

“Ya benar…dan saya pasti salah seorang dari mereka ada menggunakan ilmu hitam untuk mendapatkan Sofea..” ulas Asad lagi.

“Kalau begitu, Sofea dalam bahaya…” balas abah pula.

“Ya abah, cuma kita perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan…” ucapku ringkas.

“Asad, sekarang ini siapa yang mempunyai kuasa penuh terhadap syarikat?” soal abah kepada Asad.

“Sofealah abang Man…dia bos besar kat sini…” jawab Asad ringkas.

Abah mengganggukkan kepalanya.

Asad terus menyambung ceritanya.

Datuk Murad dan Datuk Kassim juga ada berjumpa dengan Datuk Hisyam untuk membeli syer syarikat tetapi Datuk Hisyam tidak bersetuju kerana dia tahu kedua-dua rakan bisnesnya cuba menikam dia dari belakang dengan beberapa rancangan yang disyaki didalangi oleh mereka untuk menjatuhkan syarikat. Mujur ada anaknya Sofea yang bijak mengesan permainan mereka semua sebelum kejadian berkenaan memusnahkan syarikat.

“Kalau syarikat dah rugi, bukankah tindakan itu akan menyusahkan mereka juga?” soalku kepada Asad.

“Betul Shah, tetapi yang paling mereka kehendaki adalah harga saham syarikat jatuh dan mereka boleh beli dan kuasai syarikat…” balas Asad.

“Oh begitu…” jawabku semula.

Sofea telah melaporkan perkara tersebut kepada ayahnya dan Datuk telah memanggil kesemua rakan bisnes dan melaungkan amaran supaya tidak cuba melakukan perkara sedemikian dimasa akan datang. Sekiranya mereka melakukan lagi, Datuk akan membuat laporan polis untuk siasatan terperinci dijalankan. Mereka meminta maaf kepada Datuk tetapi mereka tidak bersungguh-sungguh dengan janji mereka kepada Datuk kerana mereka masih lagi cuba untuk menjatuhkan Datuk. Yang paling terkesan dengan teguran dan amaran Datuk adalah Datuk Murad. Semua orang tahu Datuk Murad lebih teruk perangai kaki perempuannya dari anaknya sendiri. Kalau tidak masakan perempuan yang mengandung hasil perbuatan dia diarahnya untuk menggugurkan kandungan dengan menggunakan perkhidmatan anaknya iaitu Doktor Arif. Doktor Arif sedia maklum dengan perbuatan ayahnya tetapi dia merahsiakannya dari pengetahuan ibunya iaitu Datin Suria. Dalam waktu yang sama, Datin Suria pun curang dengan suaminya Datuk Murad.

“Teruknya suami isteri tu…” ucapku sambil menggelengkan kepala.

“Ya betul Asad…” komen Asad kepadaku.

“Mana Asad tahu semua maklumat ini?” soal abah tiba-tiba.

“Sofea ada mengupah penyiasat persendirian untuk mendapatkan semua maklumat-maklumat ini untuk dijadikan asas kepada bukti-bukti sedia ada yang menjurus kepada salah laku dan penyelewengan dalam syarikat yang dilakukan oleh bisnes partner ayahnya…” jelas Asad kepada abah dengan ringkas.

“Kalau macam tu, cukuplah dulu sampai sini Asad…” ucap abah kepada Asad.

“Baiklah abang Man..” balas Asad.

“Jaga keselamatan kamu baik-baik..” pesan abah serius.

“Kalau ada apa-apa cepat-cepat bagitau ya…” aku pula berpesan kepada Asad sebelum melangkah keluar dari biliknya beserta dengan abah juga.

 300 total views

Bab 9 – Pertempuran (BDSII)

Bab 9 – Pertempuran

Asad berjalan perlahan menuju ke bilik Allahyarham Datuk Hisyam diikuti oleh abah dan aku. Aku melilau memandang dinding, siling dan jalan yang kami lalui untuk ke bilik Datuk. Aku dapat rasakan ada entiti ghaib yang berselindung di kawasan laluan kami.

Aku dapat lihat abah dalam mode berjaga-jaga kerana dia turut merasakan apa yang ku rasakan. Tiba-tiba abah memegang bahu Asad menyebabkan Asad menghentikan langkahannya. Asad menoleh ke belakang memandang abah dan aku. Abah menudingkan jarinya ke arah hadapan kami. Ada sesuatu yang berdiri di ruang tengah koridor berkenaan menuju ke bilik Datuk. Sesusuk lembaga yang sedang duduk memandang ke lantai dengan wajah yang tidak jelas.

“Memang tiada lampu ke Asad?” soal abah kepada Asad.

Asad kelihatan mengigil sambil cuba berlindung di belakang abah. Aku kemudian mengarahkan Asad agar bergerak ke belakangku.

Abah kemudian meminta senjatanya dariku yang disimpan didalam beg sandangku. Aku meletakkan beg berkenaan perlahan-lahan sambil mataku tidak memutuskan pandanganku kepada makhluk berkenaan yang masih duduk bersila ditempatnya. Aku menarik senjata abah dan menyerahkan kepadanya. Aku kemudian menarik senjataku dan ku ikat dipinggang. Beg sandangku diserahkan kepada Asad yang berada dibelakangku.

Aku bergerak ke hadapan di sebelah sisi abah. Ku lihat mulut abah terkumat-kamit membaca doa. Ku lihat makhluk berkenaan tiba-tiba berdiri seolah-olah terapung diudara. Abah memberi isyarat agar aku membaca surah al-kursi. Aku mengganggukkan kepalaku. Mulutku terkumat-kamit membaca surah berkenaan sambil pandanganku tetap ke arah makhluk berkenaan.

Makhluk berkenaan kini melekat di atas siling. Dia merangkak-rangkak gaya seperti seekor cicak yang melekat. Dan pergerakkan amatlah pantas dan dia berubah-ubah lokasi hampir sekelip mata dan tiba-tiba dia menghilang begitu sahaja. Abah memberi isyarat untuk aku dan Asad mengekorinya. Aku hanya menurut sahaja bersama Asad.

Keadaan dikoridor kembali terang dan kami tiba dihadapan pintu bilik Datuk. Abah memanggil Asad untuk membuka pintu berkenaan kerana kunci ada padanya.

Asad kemudian bergerak ke hadapan dan cuba untuk membuka pintu berkenaan sambil tangannya masih terketar-ketar menyorong anak kunci ke dalam lubang kunci pintu berkenaan. Abah ku lihat memegang belakang leher Asad sambil membaca sesuatu dan Asad mendapati tangannya tidak lagi menggeletar sejurus kemudian. Dia kemudian menolak daun pintu dan satu bau yang sangat busuk menerobos keluar menyebabkan Asad menutup hidungnya dan berundur semula ke belakang abah dan aku.

Abah melihat ke arahku dan memberi isyarat yang biasa. Aku melangkah masuk dengan kalimah Allahuakbar dan terus melafazkan azan di bahagian tengah bilik berkenaan. Abah melangkah masuk bersama-sama Asad yang diarahkan untuk memasang lampu bilik berkenaan.

Setelah lampu terpasang dan keadaan sudah menjadi terang dapatlah dilihat keadaan di dalam bilik berkenaan yang tersusun rapi. Aku juga sudah menamatkan laungan azan dan bau busuk yang wujud sebentar tadi sudah hilang serta-merta.

Tiba-tiba Asad memegang bahuku dan menudingkan jarinya ke arah kerusi yang biasa diduduki oleh Datuk. Abah juga turut memandang ke arah yang dituding oleh Asad. Kami melihat sesusuk tubuh lelaki yang tidak dikenali sedang duduk dikerusi berkenaan.

“Siapa kau wahai syaitan…” soal abah kepada lelaki berkenaan. Matanya yang merah menyala memandang tepat ke arah kami semua.

“Kau mungkin tidak kenal dengan aku Sulaiman, tapi aku cukup kenal dengan kau!” balasnya dengan suara yang garau.

“Apa kau buat kat sini…?!” bentak abah semula selepas mendengar jawapan dari lelaki misteri itu.

“Aku ada urusan yang perlu ku selesaikan di sini. Kau tahu tak, orang tua ni berhutang denganku…!” balasnya dengan nada marah sambil menunjukkan kerusi yang didudukinya mungkin bermaksud berkaitan dengan Datuk Hisyam.

“Kau jangan nak berdolak-dalih syaitan…” ugut abah dengan nada marah.

Lelaki misteri berkenaan hanya ketawa berdekah-dekah dengan kuat.

Asad membisikkan sesuatu denganku dan aku mengangguk faham.

“Aku ada soalan untuk kau!” ucapku kuat.

Lelaki berkenaan memandangku dengan tepat sambil menanti soalanku.

“Siapa yang mengupah kau hah?!” soalku kepadanya.

Lelaki itu ketawa dengan kuat sehingga terasa seperti bergegar bilik berkenaan.

“Aku tahu kau mencari Sofea bukan?” serkapku ketika dia leka ketawa.

Tiba-tiba dia menghentak meja didepannya dengan tangan. Habis semua barang-barang di atas meja itu tercampak dengan hentakkan tangannya yang kuat. Cermin gambar yang ada didinding pejabat itu turut berkecai dengan tiba-tiba. Aku, abah dan Asad melindungi wajah dengan lengan masing-masing tatkala serpihan-serpihan yang berkecai itu jatuh ke lantai.

“Kau Shah Iskandar! Kau dah banyak menyusahkan aku!” jerit lelaki itu sambil menuding jarinya ke arahku.

“Kau ingat kau boleh lindungi mereka ini semua?” tambahnya lagi sambil ketawa kuat.

“Aku mohon bantuan Allah SWT untuk menentang kau!” balasku pantas sambil aku menarik keluar parang dari sarungnya. Abah juga berbuat perkara yang sama. Asad sudah diarahkan untuk keluar dari bilik berkenaan. Dia perlahan-lahan keluar melalui pintu bilik berkenaan.

Lelaki itu kemudian berdiri dan menendang meja di hadapannya yang terpelanting ke arah aku dan abah. Kami berdua bergerak ke kiri dan kanan masing-masing untuk mengelak meja yang terbang ke arah kami dan menghempas dinding pejabat berkenaan dan jatuh ke lantai.

Aku perasan lelaki berkenaan sudah ghaib. Aku mula membaca beberapa potongan ayat dari alquran seperti yang diisyaratkan oleh abah sebentar tadi ketika kami sama-sama menyedari lelaki misteri tersebut sudah hilang dari pandangan.

Aku bersiap sedia dengan parang di tanganku. Aku memerhatikan kelibat abah yang berada di sudut sebelah bilik berkenaan. Dia juga dalam keadaan bersiap sedia.

Pada waktu itulah lelaki berkenaan muncul di atas siling dengan kaki terpasak dan kepalanya kebawah. Dia membuat isyarat tangan dan tiba-tiba muncul dua orang lelaki tidak dikenali berdiri dihadapan kami. Seorang dihadapan abah dan seorang lagi dihadapan ku.

Kedua-dua lelaki berkenaan seperti patung tidak bernyawa dan memulakan serangan dengan melibas senjata mereka ke arah aku dan abah secara serentak. Aku melompat pantas setelah musuh ku melibas ke arah kakiku dengan pantas. Serangan itu berjaya dielakkan. Aku pula melibas parangku dan menghentam senjatanya juga menyebabkan bunyi kuat logam bertemu logam didalam bilik berkenaan. Aku terus agresif dengan serangan balas kedua yang ku arahkan ke arah kakinya dan dia berjaya menahan dengan senjatanya semula. Musuhku kemudian melepaskan sepakan ke arah mukaku dan aku berjaya menundukkan kepala sebelum melepaskan tendangan selepas memalingkan tubuhku ke arah badan musuhku. Serangan tersebut tepat ke dadanya dan dia tercampak ke lantai dan terlepas senjatanya. Aku dengan pantas melompat ke udara dan cuba menikam parang berkenaan ke arah musuhku yang sudah terjatuh namun dengan sepantas kilat dia mengelak tikamanku yang menikam lantai pejabat. Musuhku berguling mencapai senjatanya dan kembali berdiri sambil tersenyum. Aku mencabut parangku dan kembali bersedia untuk bertempur. Musuhku bergerak pantas menuju ke arahku sambil cuba mencantas kepalaku dengan pantas tetapi aku sudah dapat membaca serangannya. Aku membuat balik kuang dan kakiku berjaya menendang tangannya yang memegang senjata sehingga senjata berkenaan terpacak ke siling pejabat. Aku melihat peluang dan melontarkan parangku ke arahnya yang tepat menuju ke dada dan musuhku gagal untuk mengelak serangan pantas berkenaan dan tumbang ke lantai.

Sebaik sahaja aku menoleh ke arah abah yang juga sedang bertempur, ku lihat parang abah sudah terbenam ke perut lawannya yang juga sudah tertewas di atas lantai.

Kami masing-masing mencabut parang dan bersedia dengan serangan selanjutnya. Mayat musuh kami yang tewas tiba-tiba hilang begitu sahaja tanpa kesan.

“Hebat kamu anak beranak!” lelaki itu memuji sambil menepuk tangannya. Dia kini bersila didinding pejabat berkenaan. Aku dan abah berpandangan sesama sendiri melihat posisi lelaki berkenaan.

“Kita akan berjumpa lagi…” jerit lelaki berkenaan sebelum menghilangkan dirinya melalui kepulan asap yang tiba-tiba muncul.

Selepas memastikan keadaan benar-benar selamat, abah menyuruhku memeriksa bilk berkenaan yang sudah bersepah teruk gara-gara pertempuran aku dan abah dengan lelaki berkenaan sebentar tadi.

Kemudian kedengaran pintu dibuka dan Asad menjenguk ke dalam sambil melihat keadaan dalam bilik berkenaan. Aku dan abah masing-masing menyimpan senjata semula.

Asad melangkah masuk dan menjadi terkejut dengan apa yang dilihatnya.

“Maaf Asad…” ucapku sambil memandang keadaan dalam bilik berkenaan.

“Takpa Shah..” balas Asad pendek. Dia cuba membetulkan semula beberapa barang dalam bilik itu yang terbalik. Manakala aku dan abah cuba mengesan samada bilik tersebut mempunyai sebarang barang mistik yang ditempatkan dilokasi strategik. Abah mengeluarkan sebuah plastik hitam dari dalam beg galas yang ku bawa. Kami berdoa untuk memohon bantuan Allah SWT bagi mengesan dan mengeluarkan barang-barang mistik yang kami temui dan dengan izinNya kami berjaya menemui beberapa barang dan dikeluarkan dari bilik berkenaan. Setelah selesai semua kerja yang kami lakukan, kami mohon untuk pulang dari Asad bagi menyempurnakan tugas-tugas untuk selanjutnya berkenaan dengan barang-barang yang kami temui. Asad mengangguk faham dan akan melaporkan kepada Sofea berkenaan kejadian yang berlaku pada hari ini.

Aku dan abah memberi jaminan bahawa bilik berkenaan sudah pulih dan sekiranya ada berlaku perkara yang luarbiasa agar segera memaklumkan kepadaku atau abah.

 301 total views

Bab 8 – Perjanjian Syaitan (BDSII)

Bab 8 – Perjanjian Syaitan

Maria terus memandu menuju jalan ke rumah Pak Ramlan. Keadaan semakin sunyi dikiri dan kanan jalan tetapi demi hatinya yang panas membara, diberanikan juga dirinya untuk mencari rumah bomoh yang terkenal dengan ilmu mistik hitam itu. Ada dendam kesumat yang bersarang dihatinya dan perlu disembuhkan dengan segera. Dia melihat dengan tekun aplikasi navigasi yang dipasang di hadapan cermin.

Maria sudah tiba ke destinasinya ketika hari sudah bertambah gelap. Dia memberhentikan keretanya dihadapan rumah Pak Ramlan. Hatinya berdebar-debar kerana perasaan takut bercampur dengan perasaan sakit hatinya.

Dia melangkah keluar dari keretanya dan mendapati keadaan sangat sunyi. Dia memandang ke arah sekeliling. Hanya kegelapan malam yang dapat dilihat selain angin yang bertiup kuat di seluruh kawasan berkenaan. Pokok-pokok yang ada di sekeliling kawasan itu kelihatan melintuk-lintuk kerana angin yang berada dikawasan berkenaan.

Maria melangkah menuju ke beranda rumah berkenaan. Sebelum sempat dia bersuara, pintu hadapan rumah berkenaan sudah terbuka dan kelihatan seorang lelaki separuh umur yang berdiri di muka hadapan pintu tersebut. Pakaiannya umpama orang jawa dengan kain yang pakai dikepalanya bercorak seakan kain batik berwarna coklat.

‘Cik Maria bukan?” sapa Pak Ramlan kepada Maria.

“Mana Pakcik tahu nama saya?” balas Maria.

“Ohh…Cik Arina dan Cik Arini sudah bagi tahu dengan saya yang Cik Maria nak datang hari ini…” jawab Pak Ramlan.

“Oh..okay…” balas Maria semula ketika dia memasuki rumah berkenaan.

“Silakan duduk Cik Maria…” jemput Pak Ramlan.

“Panggil saja saya Maria Pakcik..” gesa Maria sambil melabuhkan punggungnya untuk duduk disofa.

Pak Ramlan menganggukkan kepalanya.

“Pakcik nama siapa? Arina dan Arini tak beritahu saya pun…” soal Maria pula.

Pak Ramlan yang sedang duduk di sofa berhadapan dengan Maria menyalakan rokok daunnya.

“Panggil sahaja saya Pak Ramlan” jawab Pak Ramlan sambil menghembuskan asap rokok daunnya ke udara. Dia kemudian menjeling pakaian Maria yang agak singkat dan ketat.

“Ada hal apa yang boleh saya bantu Maria? Nak jadi cantik? Rasanya Maria dah cukup cantik dah…mungkin ada apa-apa permintaan yang diperlukan?” soal Pak Ramlan.

Wajah Maria terus berubah menjadi merah seakan-akan ingin meluahkan kemarahan yang meluap-luap dalam hatinya. Pak Ramlan hanya tersenyum melihat perubahan wajah Maria yang memang sudah dijangkakan.

“Saya nak Pak Ramlan bunuh seorang perempuan ni dengan cara halus yang polis tak dapat kesan…” ucap Maria tegas.

“Itu mudah sahaja Maria…Cuma cara halus tu cara yang macam mana Maria nak? Mati terseksa atau mati dengan cepat?” balas Pak Ramlan semula.

Maria terdiam sejenak. Dia memandang ke arah Pak Ramlan.

“Saya nak dia mati dengan cara terseksa…” ucap Maria dengan penuh kebencian.

Pak Ramlan hanya ketawa kecil dan mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Baiklah Maria…akan diaturkan. Bayarannya bukan murah. Pak Ramlan harap Maria faham ya” balas Pak Ramlan sambil menghembuskan asap rokok daunnya lagi.

Maria menganggukkan kepalanya tanda faham. Dia membuka beg tangannya dan mengeluarkan sebuah sampul yang agak tebal dan menghulurkannya kepada Pak Ramlan. Pak Ramlan menyambut sampul tebal itu dan mejenguk ke dalamnya dan mengukir senyum. Pak Ramlan bangun dari sofa.

“Mari Maria…” ajak Pak Ramlan sambil menudingkan jarinya ke arah sebuah bilik.

Maria segera bangun dan mengikut dari belakang pergerakkan Pak Ramlan.

Mereka berdua masuk ke dalam bilik berkenaan. Maria melihat bilik berkenaan tidak dimasuki cahaya dengan sempurna. Suasananya agak kelam dan suram. Maria dijemput duduk ke sebuah bangku ditepi dinding. Pak Ramlan berjalan ke tengah-tengah bilik dan duduk bersila serta bertafakur.

Maria hanya memerhatikan tingkah laku Pak Ramlan yang agak luarbiasa di matanya. Namun Maria tidak bersuara atau berkata apa-apa melihat tindakan Pak Ramlan. Dia duduk diam di bangkunya sambil memerhatikan keadaan sekeliling didalam bilik berkenaan.

Sedar tidak sedar Pak Ramlan tiba-tiba berdiri di hadapan Maria dengan segelas air. Dia menyuruh Maria untuk minum air berkenaan. Tanpa sebarang pertanyaan ataupun penolakan, Maria segera meneguk air berkenaan sehingga habis dan mendapati kepalanya berpusing-pusing selepas itu. Dia terasa mahu pitam tetapi dirinya masih sedar dengan keadaan sekeliling. Dia melihat wajah Pak Ramlan bertukar-tukar menjadi pelbagai wajah yang tidak dikenalinya. Namun yang demikian dia masih lagi duduk dibangku dan fikirannya melayang-layang ke udara.

Pada ketika itulah dia melihat sesuatu yang kehitaman berada di sudut gelap bilik berkenaan. Lembaga hitam itu berjalan ke arahnya tanpa dapat dilihat wajahnya yang tertutup dengan hud kepala. Susuknya yang agak besar sedikit menggerunkan Maria yang masih dalam keadaan separuh sedar. Lembaga berkenaan berdiri dihadapannya ketika Pak Ramlan menghulurkan sehelai kertas yang tertulis sesuatu diatasnya. Pak Ramlan menghulurkan sebatang pen dan mengarahkannya untuk menandatangani surat berkenaan. Maria hanya menurut tanpa paksaan. Kemudian dia merasakan dunia ini menjadi gelap dengan tiba-tiba.

§§

Maria cuba membuka matanya dan mendapati dirinya sedang terbaring di atas sofa. Kepalanya agak pening dan dia tidak ingat apa-apa. Dia cuba duduk dan memerhatikan keadaan sekeliling. Dia masih di rumah Pak Ramlan. Dia menjerit nama Pak Ramlan berulang kali. Kemudian kedengaran seseorang berjalan ke arah ruang tamu. Apabila dipaling terlihat Pak Ramlan datang menghampiri Maria.

“Maria dah okay?” soal Pak Ramlan.

Maria masih terasa kepalanya berpusing-pusing.

“Apa yang dah berlaku Pak Ramlan?” soal Maria pendek.

“Dah selesai semua. Maria boleh balik sekarang” balas Pak Ramlan sambil menghulurkan sebuah plastik kecil berisi sesuatu seperti serbuk. Maria menyambut plastik berkenaan dan cuba untuk berdiri tapi dia hampir tumbang semula sebelum Pak Ramlan menahannya dari terjatuh. Pak Ramlan kemudian memapah Maria menuju ke keretanya dan membantunya masuk ke dalam kereta. Pak Ramlan menutup pintu kereta Maria sebelum berjalan menuju ke rumahnya. Maria menghidupkan enjin kereta dan keadaannya kembali pulih dengan perlahan-lahan. Setelah dia mendapati kekuatannya sudah pulih seperti biasa, dia memandu keretanya untuk keluar dari kawasan rumah Pak Ramlan. Dia dapat melihat Pak Ramlan melambai-lambaikan tangannya. Disebelahnya seperti terlihat lembaga hitam yang mempunyai mata yang kemerah-merahan. Maria mengerlipkan matanya seketika sebelum mendapati lembaga berkenaan sudah hilang dari pandangannya.

Dia masih cuba mengingati kejadian yang berlaku dirumah Pak Ramlan namun fikirannya seakan sudah dipadamkan memorinya. Dia terus memandu keretanya untuk pulang ke rumahnya kerana apabila dia melihat jam di dashboard kereta menunjukkan hampir jam 3.29 pagi. Dia sedar bahawa dia sudah terlewat untuk pulang ke rumah.

 275 total views

Bab 7 – Gangguan Azazil (BDSII)

Bab 7 – Gangguan Azazil

Sofea kelihatan gelisah di atas katilnya. Dia terdengar bunyi pasir bertabur di tepi katilnya. Namun dia terlalu mengantuk untuk membuka mata. Bunyi yang semakin kuat itu semakin dekat dengan pendengaran Sofea yang masih tidur. Dia semakin gelisah. Tangannya mencengkam kuat cadar di atas katil. Bunyi pasir itu ibarat air terjun yang menjunam berkali-kali ke lantai sungai. Dia terasa seperti diangkat ke udara namun dia masih tidak mampu untuk membuka matanya dan melihat kejadian yang sedang berlaku ke atas dirinya.

Sofea cuba untuk memegang sesuatu tetapi dia mendapati seolah-olah terapung di udara dan tiada apa-apa yang dapat dipaut oleh tangan atau kakinya. Matanya seperti sudah digam sehingga kelopak matanya terasa sangat berat untuk dibuka.

Kemudian telinganya mendengar bunyi tapak kaki orang sedang berjalan disekitarnya. Namun dia tidak dapat membuka matanya untuk melihat siapa gerangannya yang masuk ke dalam bilik tidurnya pada malam-malam sebegini.

Dia mula meronta-ronta untuk bergerak dan secara tiba-tiba dia terasa dirinya terjatuh dari sebuah tempat yang tinggi dan terhempas di atas katilnya semula dengan kuat.

Dia terasa sangat sakit dibahagian belakangnya dan cuba untuk membuka matanya secara perlahan-lahan. Apabila dia sudah dapat melihat semula, matanya melihat ke langit terbuka.

Sofea menggagahkan dirinya untuk bangun dan duduk. Puas dicubanya berulang kali namun tidak ada daya untuk mengangkat tubuhnya walau untuk duduk. Dia mencuba berulang kali sebelum akhirnya dia dapat duduk dan mula memandang sekeliling yang hanya diterangi cahaya bulan di sebuah kawasan yang sangat luas.

“Macam mana aku boleh ada kat sini?” soal Sofea kepada dirinya sendiri berulang-ulang kali. Dia sangat pasti bahawa dia berada di rumah dan di biliknya sebentar tadi.

Dia cuba untuk mengeluarkan suaranya namun tiada apa yang keluar. Suaranya seakan tersekat dan tidak mendatangkan sebarang bunyi. Kemudian dia tiba-tiba mendengar bunyi tapak kaki yang sangat kuat dihadapannya.

Dia memalingkan mukanya lurus ke hadapan dan tidak melihat apa-apa yang datang. Dia kemudian memandang ke langit dan melihat cahaya bulan penuh di atas langit.

Pada waktu dia menundukkan kepalanya semula dia terasa seperti tercekik kerana ada seseorang yang sedang mencekik lehernya sehingga dia merasa susah untuk bernafas. Dia cuba untuk memegang tangan orang berkenaan yang sedang mencekiknya tetapi dia terasa seperti tangannya sendiri yang sedang memegang lehernya dengan kuat.

Dia mengusap-usap lehernya yang sedikit sakit kerana cekikkan sebentar tadi. Sofea kembali cuba untuk mengeluarkan suara memanggil nama ibunya namun suaranya masih tidak keluar dari kerongkongnya. Dia merasa ada sesuatu di dalam mulutnya dan merasa mual pada waktu yang sama. Dia kemudian memuntahkan sesuatu yang keluar dari mulutnya secara tiba-tiba. Dalam kesuraman cahaya bulan itu dia melihat sesuatu yang bergerak-gerak ditempat dia memuntahkan sesuatu yang keluar dari dalam mulutnya sebentar tadi. Di lihatnya banyak cacing yang meliang lintuk di atas tanah di hadapannya. Sofea terkejut dan menggerakkan tubuhnya ke belakang sedikit kerana cacing berkenaan semakin banyak dihadapannya.

Dia mengambil keputusan untuk bangun dan beredar dari tempat dia berada sekarang namun dia tidak tahu ke mana arah yang harus ditujuinya.

Sebelum sempat dia bangun muncul sesusuk tubuh yang kehitaman berdiri dihadapannya. Lembaga tidak dikenali itu mempunyai fizikal yang tinggi dan besar. Sofea cuba untuk bersuara namun suaranya masih tidak mahu keluar. Lembaga berkenaan menarik hud kepalanya yang berwarna kehitaman. Kelihatan wajahnya yang buruk dan hodoh dengan mata yang menyala merah. Tanduknya yang panjang meruncing seakan berwarna kemerah-merahan. Lembaga berkenaan meletakkan jarinya dibibir kepada Sofea.

Sofea yang terlalu takut cuba menjerit sekuat hatinya dengan harapan ada seseorang yang akan datang menolongnya. Pada ketika dia merasakan nyawanya sedang terancam, dia terdengar seseorang yang berbisik ditelinganya. Suara yang didengarnya kelihatan sayup-sayup ditelinganya namun arahannya sangat jelas. Suara itu memintanya menenangkan diri dengan istighfar perlahan-lahan di dalam hatinya dengan konsisten. Sofea cuba menenangkan dirinya dan mula menurut arahan suara msiteri itu. Dia merasakan ketenangan umpama berada ditepi laut dengan angin bayu bertiup perlahan di telinganya. Ketika dia sudah mencapai ketenangan tersebut, suara itu mengarahkan dia untuk membaca ayat kursi dengan perlahan dengan bimbingan suara tersebut. Sofea hanya menurut sahaja suara tersebut dan dia memejamkan matanya dan menumpukan sepenuh perhatian kepada bacaan yang didengarinya. Dia juga turut membaca surah tersebut dengan perlahan-lahan. Selepas membaca beberapa kali surah tersebut dia terbau sesuatu yang terbakar. Namun dia tidak berani untuk membuka matanya kerana dia masih takut dengan lembaga yang berada dihadapannya pada waktu ini.

“Jangan bimbang Sofea, bukalah matamu dan bangun dengan segera…” bisik suara itu.

Sofea cuba untuk membuka matanya perlahan-lahan dan akhirnya dia melihat dia berada disuatu kawasan yang sangat cantik seolah-olah berada disebuah taman bunga. Dia bangun dan mula berdiri dengan menggunakan tenaga yang masih dimiliki dirinya.

“Pergilah berjalan menghala ke arah cahaya pertama yang Sofea nampak…” tambah suara itu lagi.

Sofea kemudian cuba berjalan dan melihat sekelilingnya untuk mencari cahaya yang boleh dilihatnya. Dalam beberapa langkah dia berjalan dia terlihat suatu cahaya dikejauhan. Dia pasti cahaya itu yang perlu dicarinya. Dia kemudian mengorak langkah untuk berjalan ke arah cahaya tersebut. Dalam waktu yang sama, dia masih tidak tahu kemana lembaga hitam berkenaan telah menghilangkan diri. Baginya apa yang menjadi keutamaan adalah segera untuk sampai ke arah cahaya yang dilihatnya tadi. Cahaya yang kelihatan agak jauh tadi tiba-tiba sudah berada dihadapannya. Apabila diamati ia merupakan sebuah loket yang memantulkan cahaya. Loket berkenaan tergantung dihadapan sebuah pintu.

“Ucaplah salam Sofea…” bisik suara itu lagi.

Sofea memandang sekeliling dan mendapati tiada sesiapa disitu. Namun demikian suara yang didengarinya seakan berada disisinya.

Sofea melangkah kehadapan dan memberi salam. Pintu berkenaan tiba-tiba terbuka dan terlihat seakan sebuah bilik yang terang benderang dengan cahaya. Sofea kelihatan teragak-agak untuk memasuki bilik itu kerana dia tidak pasti apa yang dilihatnya adalah realiti atau khayalannya.

“Jangan takut Sofea, masuklah bilik itu dengan ucapan bismillah…” bisik suara itu lagi.

Sofea kembali yakin dengan suara itu. Dia melafazkan ucapan bismillah sebelum melangkah masuk dan setelah berjaya memasuki bilik itu, dia terperanjat kerana bilik itu adalah bilik tidurnya sendiri. Dia kemudian cuba untuk melihat semula pintu masuk yang dimasukinya tadi. Pintu tersebut sudah ghaib dan dia berada betul-betul dalam biliknya sendiri.

Sofea berjalan pantas ke arah pintu biliknya untuk keluar dari bilik tersebut. Tiba-tiba berdiri ibunya dihadapan bilik tersebut. Sofea dengan segera memeluk ibunya dengan erat sambil menangis. Ibunya turut menangis dan memeluk anaknya dengan kuat.

“Puas ibu cuba untuk masuk bilik Sofea tapi pintu berkunci dan tidak dapat dibuka” ucap ibunya.

Sofea masih lagi menangis sambil memeluk ibunya. Dia tidak dapat berkata-kata kerana terlalu gembira dapat bertemu dengan ibunya semula.

§§

“Syukurlah Sofea tak apa-apa…” ucap abah kepada Makcik Nina dan Sofea yang sudah kelihatan tenang.

“Ya abang Sulaiman. Syukur kepada Allah SWT…” balas Makcik Nina.

Kemudian kelihatan Shah Iskandar turun dari tingkat atas perlahan-lahan menuruni tangga berjalan menuju ke arah mereka yang sedang duduk di ruang tamu.

“Macam mana bang? Okay dah ke?” soal abah kepadaku.

“Alhamdulillah abah…semua dah okay” balas ku perlahan sambil menjeling ke arah Sofea yang masih memegang erat tangan ibunya.

Aku mengambil tempat duduk disebelah abah. Abah kemudian meneguk airnya sebelum duduk bersandar semula.

“Sofea jangan bimbang. Serah sahaja kepada Allah SWT. Dia lah tuhan yang kita sembah dan dia lah tempat kita mohon perlindungan…” ucap abah perlahan.

Sofea kelihatan mengangguk-angukkan kepalanya. Biarpun rupanya agak kusut masai dengan rambut yang tidak terurus dan muka yang agak kotor sedikit, Shah Iskandar tidak berkelip-kelip menatap wajah Sofea. Kemudian Sofea tersedar yang Shah Iskandar sedang merenung tajam ke arahnya Dia memandang Shah Iskandar dan mengukir senyum. Bibirnya melafazkan bisikan tidak bersuara seolah-olah menyebut perkataan thank you kepada Shah Iskandar. Shah Iskandar hanya memberikan isyarat dengan mata sebagai tanda makluman kepada Sofea. Shah Iskandar terasa jantungnya berdebar kencang melihat senyuman Sofea. Namun dia segera mengawal perasaan dan menetapkan dirinya semula.

“Sofea cakap dia dibantu oleh seseorang ketika dia diganggu dalam tidurnya…” ucap Makcik Nina kepada aku dan abah.

“Ohh…yang itu…barangkali perasaannya sahaja…” balas abah ringkas.

“…tapi abang Sulaiman, katanya suara itu mirip suara Shah Iskandar…” ucap Makcik Nina lagi.

Abah memandang ke arah aku dan mengukir senyum. Aku juga turut tersenyum.

 257 total views

Bab 6 – Hati Busuk (BDSII)

Bab 6 – Hati Busuk

“Hari ni you tak keluar memana ke?” tanya Arina di hujung talian.

“Belum tahu lagi. Hei, adik you senyap ja hari ini?” jawab Maria semula.

“Ada ni. Dia mana boleh berpisah dengan I” jawab Arina pula sambil ketawa kecil.

“Tahulah twin…takkan nak berkepit ja. Nanti boyfriend you syok dengan adik you baru padan muka!” ketawa Maria kuat sehingga terdengar Arini menjerit pula dihujung talian.

“Hei Maria! Pleasetaste I tak sama dengan my sister okay!” pendek jawapan dari Arini sambil ketawa terjerit-jerit macam orang gila. Kemudian, Arina turut ketawa bersama adik kembarnya.

Kemudian kedengaran pintu bilik diketuk.

Okaylah girls sambung esok ya!” Maria menamatkan panggilan tersebut sambil berjalan ke pintu. Pintu dibuka dan kelihatan seorang perempuan berdiri di depan pintu.

“Mama…” Maria membiarkan pintu terbuka dan berjalan semula ke katil. Ibunya, Datin Faridah berjalan perlahan menuju ke katil juga.

“Maria cakap dengan siapa tadi?” soal Datin Faridah.

“Mama boleh dengar sampai bawah…” sambung Datin Faridah lagi.

“Ala mama ni, Maria cakap dengan anak Datuk Kassim, kembar tu la..” jawab Maria kepada ibunya.

“Ohh..Arina dan Arini?” soal ibunya semula.

“Ya mama…” balas Maria pendek.

“Maria ada nampak abang?” tanya ibunya lagi.

“Abang Adli keluar tadi…dengan siapa, kemana, nak buat apa, Maria tak tahu mama..” jawab Maria sambil leka dengan telefon bimbitnya. Kakinya digoyang-goyangkan sambil meniarap di atas katil.

“Ayah cari abang. call tak dapat…” soal ibunya semula.

Maria masih leka dengan telefon seolah-olah tidak mengendahkan soalan ibunya.

“Nanti kalau abang balik, Maria bagitahu dia jumpa ayah okay?” pujuk ibunya perlahan.

Alright mum…” Maria menjawab sambil menelentang dan menyilangkan kakinya.

Datin Faridah bangkit dari katil anaknya dan berjalan keluar dari bilik. Pintu bilik ditutup. Kedengaran bunyi tapak kaki Datin Faridah berjalan menuruni anak tangga kayu rumah banglo tersebut menuju ke bawah dimana Datuk Halim sedang menikmati minuman petang dimeja makan.

“Mana Adli pergi?” soal Datuk Halim sebaik melihat Datin Faridah duduk di meja makan.

“Entahlah, Maria pun tak tahu ke mana Adli…” jawab Datin Faridah pendek.

“Saya dah cuba telefon semua orang, tapi tiada seorang pun tahu ke mana Adli pergi. Saya dah call Datuk Kassim dengan Datuk Murad…Adli tiada di rumah mereka. So ke mana Adli pergi? Saya call telefon dia pun tak dapat…masuk voice mail” komen Datuk Halim panjang lebar.

“Awak cari Adli untuk apa?” soal Datin Faridah semula.

“Saya ada perkara nak bincang dengan dia” jawab Datuk Halim lagi.

“Anak-anak Datuk Kassim dengan Datuk Murad dah call ke?” tanya Datin Faridah lagi.

“Belum lagi…” jawab Datuk Halim.

“Kalau macam tu, biar saya cuba call tanya pasal Adli” ucap Datin Faridah pula.

Kemudian kelihatan Maria berjalan menuju ke meja makan.

“Hai ayah…” sapa Maria sambil duduk disebelah ibunya.

“Hai sayang…abang kamu pergi mana Maria?” tanya Datuk Halim kepada Maria pula.

“Dah call tadi. Katanya dia jumpa kawan kat tempat remote location…takde clear line kat area tu…tu sebab bila ayah call dia tak dapat” jawab Maria.

“Takpa la kalau macam tu” jawab Datuk Halim sambil menghirup minumannya.

“Ada hal apa ayah dengan abang Adli?” soal Maria kepada ayahnya.

“Ayah ada hal sikit dengan dia. Kalau dia balik nanti, inform dia ayah nak jumpa a.s.a.p” balas Datuk Halim sambil bangun dari tempat duduknya.

“Eh…ayah nak pergi mana ni?” soal Maria.

“Nak pergi main golf la Maria…” ibunya Datin Faridah menjawab soalannya sambil tersenyum.

Datuk Halim hanya batuk-batuk kecil mendengar jawapan isterinya. Dia tersenyum memandang Maria dan berlalu dari meja makan menuju ke pintu depan. Maria melambai tangannya ke arah ayahnya sambil memberi flying kiss kepada Datuk Halim.

Maria kemudian menuang air minuman ke dalam cawan dihadapannya. Kelihatan asap yang tidak berwarna berterbangan disekitar cawan tersebut.

“Hari ni Maria tak keluar?” tanya Datin Faridah kepada Maria.

“Keluar mama… Tunggu twin tu datang rumah pick up me..” jawab Maria kepada ibunya.

“Oh I see..Just don’t be late okay..” pesan Datin Faridah.

Maria hanya memberi isyarat tangan menandakan dia faham dengan pesanan ibunya. Selepas menghabiskan minumannya dia bergegas ke atas semula untuk bersiap.

§§

Telefon Maria berdering kuat semasa dia sedang bersolek. Dijenguknya sebentar ke telefon dan mendapati nama Arina terpapar di skrin telefonnya.

“Hello…” ucap Maria.

I kat depan rumah you ni..” balas Arina pendek.

“Okay…I turun sekarang…” jawab Maria pantas.

Maria terus mencapai beg tangannya dan bergegas turun.

Dalam sekelip mata Maria sudah berada di dalam kereta Arina dan Arini sambil melambaikan tangan ke arah Datin Faridah.

Where are we going?” tanya Maria sebaik sahaja kereta berkenaan memasuki jalan besar.

Arina dan Arini berpandangan sambil ketawa. Kemudian Arini menoleh ke belakang ke arah Maria.

I nak bawa you ke tempat special today Maria!” ucap Arini.

Mereka kemudian ketawa secara serentak tanpa sebab yang munasabah. Maria hanya mengangguk-anggukkan kepala sambil menari-nari dalam kereta berkenaan seiring dengan muzik dari radio yang terpasang kuat.

Mereka bertiga sedang merancang sesuatu tetapi mereka memerlukan bantuan seseorang bagi menyempurnakan niat jahat mereka.

Arina dan Arini mengenali seorang bomoh yang handal yang mampu untuk memenuhi hasrat mereka. Kebetulan pula, Maria juga ingin membalas dendam kepada seseorang yang sangat dibencinya.

Setelah beberapa ketika, kereta berkenaan di hentikan di bahu jalan memasuki simpang ke sebuah rumah usang.

We are here girls!” ucap Arina perlahan.

Maria melihat di sekeliling. Dia ternampak sebuah rumah di hadapannya.

“Kenapa stop here? Masuklah jalan tu you!” gesa Maria.

Arina dan Arini berpandangan sesama sendiri.

Youplease open your handphone and save this location okay!” balas Arini.

Maria menurut sahaja arahan dari Arini tanpa bantahan. Setelah selesai, dia memberikan isyarat tangan kepada kembar berkenaan.

Arina menghidupkan enjin kereta semula dan membuat pusingan U di hadapan simpang berkenaan. Maria menjadi sedikit bingung dengan tindakan Arina yang tidak memandu masuk ke simpang berkenaan.

“Arina…why are you turning back?” soal Maria.

Arina menjeling ke arah Arini dan memberikan isyarat mata agar menerangkan kepada Maria.

You, kalau you nak tahu, tadi tu rumah bomoh yang you nak tahu sangat tu. We all dah jumpa bomoh tu dan cerita about you. So, bomoh tu request you need to come alone you!” terang Arini panjang lebar.

Maria mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia faham kini. Dia sudah dapat mengagak tindakan seterusnya kelak. Dia mahu musuh ketatnya itu mati dengan cepat. Dia terlalu benci melihat perempuan itu. Baginya perempuan itu menghalang peluangnya untuk naik dan berkuasa dalam syarikat. Selagi dia masih hidup, Maria sedar dia tidak akan berpeluang mencapai cita-citanya. Dia tersenyum sendirian.

 348 total views

Bab 5 – Halangan (BDSII)

Bab 5 – Halangan

“Sebenarnya Abang Sulaiman, kami sekeluarga ada masalah besar” Datin Nina memulakan bicara.

“Masalah besar macam mana tu?” soal abah pula sambil meneguk air minumannya yang dihidangkan oleh pembantu rumah sebentar tadi.

Datin Nina terdiam seketika. Kemudian dia memandang Sofea yang duduk disebelahnya.

“Pak cik dan Shah memang pakar dalam bidang menentang makhluk halus kan?” Sofea memandang ke arah abah dan aku serentak selepas mengajukan soalan tersebut.

Abah ku lihat menganggukkan kepala.

Aku hanya tersenyum memandang Sofea.

“Sofea tidak ada orang lain yang Sofea boleh percaya pakcik…Shah..” dengan nada sedih Sofea menyambung kata-katanya.

“Perkara ini melibatkan soal hidup dan mati. Bukan sahaja nyawa manusia tetapi juga masa depan syarikat Cemerlang Venture  ini” Sofea terus memanjangkan percakapannya.

“Sofea mengalami apa-apa gangguan ke?” soal abah selepas itu.

“Ya pak cik. Sofea kadang-kadang tidak pasti samada perkara-perkara yang Sofea lalui setiap hari semasa gangguan itu adalah realiti atau fantasi” terangnya lagi.

“Macam mana rupa makhluk yang Sofea nampak tu?” aku pula mula menyiasat.

“Selalu gangguan itu pada waktu siang atau malam?” abah pula menambah.

“Dia mempunyai tubuh yang besar dan tegap. Jarang dapat melihat wajahnya kerana sentiasa tertutup dan seolah-olah tidak berwajah” jawab Sofea semula.

“Biasanya gangguan itu datang macam mimpi dan tidak mengira waktu. Kadang-kadang siang dan ada juga pada waktu malam” Sofea menerangkan kepada aku dan abah dengan riak wajah yang serius.

“Sejak bila Cik Sofea mengalami gangguan ini?” tanyaku kepada Sofea.

“Sejak ayah meninggal dunia…” jawab Sofea.

Aku memandang ke arah abah. Abah turut sama memandang ke arahku. Kami bertentangan mata dan seolah-olah ada suatu perhubungan telekinesis diantara kami berdua selepas Sofea memaklumkan perkara berkenaan. Namun kami ketepikan persoalan tersebut buat seketika. Aku kembali memandang ke arah Sofea.

“Maaf saya bertanya, ayah Cik Sofea pernah tak maklumkan perkara-perkara pelik sebelum beliau meninggal?” lagi soalan ku aju kepada Sofea.

“Shah, panggil ja Sofea. Tak payah ber cik cik dengan dia” celah Makcik Nina sambil tersenyum kepadaku dan abah.

Aku hanya mampu tersenyum kambing selepas mendengar ucapan Makcik Nina.

“Ayah ada cerita mengenai satu perkara sebelum dia meninggal dunia pada Sofea” ucap Sofea semula.

“Ya benar apa yang diperkatakan oleh Sofea” Makcik Nina menyokong.

“Apa yang ayah Sofea perkatakan?” soal abah pula.

“Ayah cakap ada sesuatu yang pelik di pejabat terutamanya di dalam bilik beliau” sambung Sofea semula.

“Pelik yang macam mana tu Cik Sofea…err…Sofea” tanyaku pula tersasul.

Sofea hanya tersenyum dan kemudian menyambung semula percakapannya.

Dalam bilik Datuk Hisyam sering kali terbau sesuatu yang tidak menyenangkan pada sesuatu masa tertentu. Kadang-kadang apabila Datuk bersendirian melakukan kerjanya ada seseorang yang suka menyentuh bahunya tanpa disedari. Apabila disiasat ternyata tiada sesiapa yang berada di pejabat pada waktu itu. Ada sekali tu, pekerja syarikat mendengar seperti ada orang di dalam bilik Datuk walaupun sebenarnya Datuk diluar kawasan atau pun tiada dipejabat pada waktu itu. Tetapi peristiwa yang paling tidak dapat dilupakan adalah apabila Sofea bertembung dengan Datuk ketika menuju ke ‘pantry’ untuk membuat air. Ayahnya hanya berjalan terus tanpa menegurnya seolah-olah tidak menyedari kehadirannya. Dengan erti kata lain, ayahnya berkelakuan aneh dan tidak seperti biasa dimana beliau merupakan seorang yang sangat peramah. Setelah pulang ke rumah pada hari tersebut, Sofea ada menyebut perkara itu kepada Datuk Hisyam tetapi Datuk hanya membulatkan matanya sebesar-besarnya kerana merasa sangat pelik dengan cerita anaknya Sofea berkenaan perkara tersebut. Menurut Sofea, pada hari tersebut, ayahnya tiada dipejabat dan telah keluar berjumpa dengan client penting syarikat di Sabah.

“Itulah antara perkara-perkara pelik yang berlaku Shah” cerita Sofea dengan ringkas kepada aku dan abah.

Abah mengangguk-anggukkan kepala tanda fokus dengan penjelasan Sofea sebentar tadi. Sesekali, abah memandang ke arah aku. Aku juga memberikan sepenuh perhatian dengan maklumat-maklumat tersebut.

“Boleh tak abang pergi melawat bilik Datuk Hisyam esok Nina?” soal abah kepada Makcik Nina. Makcik Nina menoleh ke arah Sofea.

“Boleh pakcik, kalau Shah nak pergi sekali pun boleh” balas Sofea sambil memandang ke arah Makcik Nina semula. Makcik Nina menganggukkan kepala tanda setuju.

Abah mengukir senyum dan memandang  ke arah aku. Aku turut menganggukkan kepala.

“Ya, saya pun nak pergi tengok bilik tu” respon aku semula.

§§

“Kita nak kena pergi rumah Makcik Nina ke abah? soal aku kepada abah setelah dia melabuhkan punggungnya ke tempat duduk sebelah pemandu.

“Tak perlu, abah dah ada lokasi pejabat tu. Semalam Makcik Nina dah share dengan abah dalam WhatsApp” terang abah ringkas.

Kami terus bergerak ke destinasi yang diberikan oleh Makcik Nina kepada abah semalam. Biarpun agak jauh dari rumah, kami bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan.

“Kenapa abang tak nak tumpang tidur rumah Makcik semalam?” tiba-tiba abah bersuara.

“Bukan tak mau abah, tapi abang segan lah. Sofea ada kat rumah tu..” jawabku pendek sambil mata menumpukan ke arah pemanduan.

“Kenapa dengan Sofea?” soal abah lagi.

“Ya Sofea la abah…” respon aku semula.

“Ya lah, abah tanya kenapa dengan Sofea?” balas abah pula.

Aku hanya ketawa kecil tanpa menjawab soalan abah. Aku terus memandang ke depan dan sesekali memandang ke arah abah. Aku lihat dia tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.

Aku faham riak wajah itu. Abah pasti akan bertanya lagi.

Kami terus menuju ke tempat yang dikatakan pejabat syarikat Cemerlang Venture yang terletak di Kuala Lumpur. Jikalau melihat kepada E.T.A (Estimated Time Arrival) dalam tiga jam kami akan tiba ke destinasi. Biasanya kalau perjalanan jauh sebegini, abah akan terlena ditempat duduk dia. Seperti yang ku jangkakan, apabila aku menoleh sekali lagi ke arah abah, dia sudah pun memejamkan matanya. Aku kembali teringat perbualan semalam.

“Abang Sulaiman dan  Shah tidur la disini. Nanti esok boleh terus pergi pejabat dengan Sofea” jemput Makcik Nina kepada kami untuk bermalam dirumahnya.

“Abang setuju ja tapi kena tanya si Shah ni…macam mana?” balas abah sambil memandang ke arah aku.

“Takpa la aunty, saya rasa biar kami balik dulu ke rumah. Nanti esok kami akan terus gerak ke pejabat syarikat. Lagipun saya ada barang yang saya tak sempat bawak untuk persediaan ke pejabat syarikat tu. Kita tak tahu apa yang kita akan hadapi” jawabku dengan serius.

“Oh begitu, rumah ni ada banyak bilik kosong untuk tetamu. Shah dan pakcik tak perlu kongsi bilik” pujuk Sofea pula sambil tersenyum. Kemudian dia memandang ke arah ibunya yang turut menganggukkan kepala tanda setuju dengan pernyataan Sofea.

Abah turut tersenyum mendengar kata-kata Sofea yang cantik manis. Sememangnya mana-mana lelaki akan cair melihat raut wajahnya.

“Bukan sebab tak perlu kongsi bilik yang menjadi masalah. Cumanya saya perlu mengambil beberapa barang untuk persediaan menghadapi segala kemungkinan. Mungkin lain kali kita kan terima jemputan Sofea ni” terang ku semula kepada Sofea dan Makcik Nina.

Sofea dan Makcik Nina tersenyum dan menganggukkan kepala.

Aku dan abah memohon untuk minta diri dan berjanji akan datang esok ke pejabat syarikat Sofea dengan seberapa segera.

“Boleh tak Sofea minta nombor telefon Shah?” tiba-tiba Sofea bersuara selepas aku dan abah melangkah keluar pintu.

Abah terus menyebut nombor telefon aku dan melihat Sofea merekodkan nombor tersebut dalam telefonnya. Aku jadi terpinga-pinga dan memandang wajah abah dengan perasaan terkejut kerana tindakannya memberikan nombor telefon aku kepada Sofea.

Aku dan abah masuk ke dalam kereta dan terus beredar dari rumah Makcik Nina untuk pulang ke rumah abah.

Tiba-tiba aku dikejutkan dengan arahan dari aplikasi navigasi yang memaklumkan bahawa aku sudah sampai ke destinasi yang dituju.

“Dah sampai dah…” ucap abah kepada ku.

Abah segera mencapai telefon dan membuat panggilan ke seseorang.

“Hello, assalammualaikum Sofea, pakcik dan Shah dah sampai. Nak parking kat mana ni? “ soal abah kepada Sofea yang berada dalam talian.

“Ok baiklah. Terima kasih Sofea. Assalammualaikum..” ucap abah semula sebelum mengakhiri panggilan telefon.

“Nak parking mana abah?” soal ku pula.

“Sofea cakap lalu kat depan foyer tu, tanya dengan pengawal keselamatan yang bertugas. Dia akan bantu kita” jawab abah ringkas.

Aku terus memandu menuju ke tempat yang diarahkan dan seorang pengawal keselamatan melambai-lambaikan tangan dan memberi arahan agar kenderaan kami diletakkan di lokasi khas yang telah disediakan.

Aku dan abah keluar dari kereta dan mengucapkan terima kasih kepada pengawal tersebut sambil bertanyakan lokasi pejabat Sofea di bangunan berkenaan. Setelah memperolehi maklumat tersebut, aku dan abah bergegas ke pejabat Sofea di tingkat paling atas bangunan.

Kami didatangi oleh seorang lelaki di lobi pejabat.

“Encik Sulaiman?” tanya beliau kepada abah. Kemudian dia menegur aku pula. Kami berdua menganggukkan kepala kepada beliau.

“Saya Asad. Saya difahamkan Cik Sofea sedang menanti kedatangan tuan-tuan berdua” terangnya kepada aku dan abah. Abah tersenyum dan menganggukkan kepala. Kami semua bersalaman dan dibawa menuju ke lif untuk naik ke tingkat atas. Kelihatan pegawai yang bertugas di kawasan lobi itu sangat mengenali Encik Asad kerana hampir kesemuanya menegur dan mengucapkan selamat pagi kepada beliau.

Kami bertiga menaiki lif untuk menuju ke tingkat atas. Aku dapat lihat Encik Asad menekan butang tingkat 41 di panel suis lif. Lif bergerak laju sehingga tidak terasa kami semua sudah tiba ke tingkat tersebut.

Selepas menekan beberapa nombor kod dipanel sebelah kanan pintu kaca untuk memasuki pejabat, kami dijemput masuk oleh Encik Asad dan dibawa ke bilik mesyuarat yang sudah tersedia makanan dan minuman. Kami dijemput duduk dan makan pada waktu yang sama. Oleh kerana perut yang sudah lapar, aku dan abah terus duduk dan menjamah makanan yang disediakan diatas meja.

“Asad dah lama kerja disini?” soal abah memecah kesunyian selepas masing-masing khusyuk menikmati juadah.

“Lama la juga tuan Sulaiman, sejak Datuk membuka perniagaan ini” jawab Asad.

“Eh, janganlah panggil saya tuan, panggil Abang Man pun okay ja” jawab abah jujur sambil tersenyum.

“Oh…maafkan saya Abang Man” balas Asad.

“Takpa Asad…” respon abah ringkas.

“Saya difahamkan oleh Cik Sofea, Abang Man dengan Shah datang hari ni untuk melawat bilik Datuk ya?” soal Asad kepada kami berdua.

“Ya benar…Asad ada apa-apa pengalaman yang boleh dikongsi berkenaan bilik tersebut?” soal abah pula.

Asad menggelengkan kepalanya.

“Hai…assalammualaikum semua…” sapa Sofea yang tiba-tiba muncul di depan pintu bilik mesyuarat tersebut.

Kami semua menjawab salam Sofea hampir serentak. Abah menjemput Sofea untuk turut menikmati juadah. Sofea mengambil tempat duduk di sebelah aku. Jelingannya beserta senyumannya sudah cukup aku faham maksudnya. Kemudian abah berdehem kecil. Cepat-cepat Sofea membetulkan duduknya dan menjamah kuih yang ada di atas meja.

“Asad akan bantu pakcik dan Shah hari ini. Kalau tak cukup masa hari ni, maybe esok boleh datang lagi..” ucap Sofea.

Asad menganggukkan kepala.

“Pakcik akan cuba selesaikan seberapa segera yang boleh Sofea” ucap abah pula.

“..kan bang…” sambung abah lagi sambil memandang ke arah aku.

“Ya abah..” jawabku perlahan sambil tersenyum.

“Terima kasih pakcik dan Shah kerana sudi membantu Sofea…” ucap Sofea dengan nada gembira.

“Perkara kecil ja ni Sofea…lagipun pakcik kenal ibu kamu lama dah…sebelum dia kahwin lagi…” jelas abah kepada Sofea.

“Itulah ibu ada cakap dengan Sofea pasal pakcik dan Shah…jadi Sofea usaha untuk hubungi pakcik dan Shah melalui ibu…tengok kalau-kalau kami ni boleh dibantu…” komen Sofea panjang lebar dengan nada sedih.

“Insya Allah…sekiranya diizinkan Allah…pakcik dan Shah akan berusaha bersungguh-sungguh untuk bantu selagi ada daya kami…halangan besar atau kecil, kita akan cuba harungi…” balas abah semula dengan nada memujuk.

Sofea tersenyum mendengar kata-kata abah. Aku juga lega melihat riak wajah Sofea. Tapi aku rasa ada sesuatu yang jahat di dalam bilik Datuk. Aku dapat rasakan yang kali ini bukan biasa-biasa. Ada kemungkinan halangan yang sangat sulit dan besar menanti aku dan abah.

 250 total views

Bab 4 – Pertembungan Pertama (BDSII)

Bab 4 – Pertembungan Pertama

“Hello, assalamualaikum cik Kiah” ucap Kamal perlahan ditelefonnya.

“Waalaikumsalam, siapa ya? Nama tak keluar dalam telefon saya…” soal suara dihujung talian.

“Saya Kamal” balas Kamal pendek.

“Ohh..Kamal. Lama tak dengar berita. Abang Yim pun lama juga tak telefon akak..” terang Rokiah pendek.

“Oh ye ke” Kamal menjawab dengan nada terkejut.

“Ya Kamal. Akak pun tak tahu apa khabarnya Abang Yim. Minggu lepas dia ada telefon bagitahu yang dia tak dapat balik kampung sebab ada urusan penting..” sayu suara Rokiah menjawab respon Kamal.

“Okay kak, macam ni. Saya ada berita nak maklum pada akak. Terlebih dulu saya mohon maaf banyak-banyak..” ucap Kamal dalam nada sedih.

“Kenapa Kamal?” soal Rokiah dalam nada terkejut.

Kamal memberitahu berita kematian Rahim kepada isterinya yang bernama Rokiah. Dia terpaksa menceritakan sedikit sebanyak beberapa kejadian yang berlaku sebelum arwah meninggal dunia semalam. Dia juga telah menguruskan penghantaran jenazah untuk dibawa pulang ke kampung arwah di utara semenanjung. Jenazah dijangka tiba selewat-lewatnya jam sepuluh malam nanti.

Isteri Rahim menangis teresak-esak mendengar berita yang disampaikan oleh Kamal. Rokiah tidak dapat menahan sedih dan hibanya kerana suaminya meninggalkannya tanpa sebarang berita. Dia hanya berserah kepada Allah swt atas perkara yang menimpa keluarga mereka.

§§

“Encik Kamal, pihak syarikat ada menjalankan derma kilat untuk arwah Encik Rahim” ucap Asad sewaktu menyerahkan sampul bersaiz A4 kepada  Kamal.

“Baik Encik Asad. Terima kasih saya ucapkan bagi pihak keluarga arwah. Saya akan sampaikan kepada isteri arwah” jawab Kamal.

“Saya mohon pelepasan awal Encik Asad untuk bantu keluarga arwah menguruskan jenazah Rahim” balas Kamal lagi.

“Baiklah Encik Kamal” angguk Asad.

§§

Asad memandu pulang seperti biasa pada hari ini. Dia sudah menguruskan urusan kematian Rahim. Dia mengarahkan pemandu syarikat untuk membawa Kamal pulang ke kampung Rahim bagi menguruskan urusan jenazah dan pengkebumian arwah. Dia juga mengarahkan agar sedikit bantuan barangan runcit disediakan kepada keluarga waris dan juga kutipan derma kilat dapat diserahkan kelak.

“Nasib baik Sofea bagi tahu aku pagi tadi, kalau tidak aku pun tak baca berita dalam suratkhabar tu dan tiada siapa yang perasan musibah yang menimpa Rahim” bisik hati kecilnya.

“Sofea cuti lagi sampai minggu depan. Balik kampung juga katanya. Tapi kenapa ya agaknya” Asad tertanya-tanya di dalam hati punca Sofea, anak Datuk Hisyam dan Datin Nina, iaitu tuan punya syarikat Cemerlang Venture bercuti panjang dikampung.

“Ala, nanti Sofea balik nanti dia mesti cerita dengan aku…” Asad tersenyum sendirian sambil meneruskan perjalanan pulang ke rumahnya.

Asad tiba-tiba terpandang seorang budak berdiri di tengah jalan. Dia terkejut dan mengelak keretanya dari terlanggar budak tersebut. Dia berusaha keras untuk mengawal kenderaan yang dipandunya dengan seberapa pantas sebelum ia hampir melanggar tiang lampu jalan. Kelihatan asap kecil keluar dari tayar kereta yang diberhentikan dengan cemas ditepi jalan menghadap tiang lampu yang hampir dirempuh pemandunya.

Asad mengangkat kepalanya dan melihat ke cermin pandang belakang. Dia membetulkan cermin berkenaan agar dapat melihat dengan lebih jelas apa yang berlaku dibelakang kenderaannya. Tiada apa yang dapat dilihat. Dia melihat jam di dashboard keretanya. Waktu menunjukkan jam 6.06 petang. Asad memegang lehernya yang sedikit sakit akibat kemalangan ini. Dia membuka tali pinggang keledar dan membuka pintu kereta.

Asad turun dari kereta dan menutup pintu kereta. Dia melihat sekeliling lokasi dia ditimpa kemalangan ini. Asad tidak dapat mengecam lokasinya. Namun yang demikian, dia berjalan ke arah belakang untuk melihat keadaan sebenar yang berlaku sebentar tadi. Dia mahu mengetahui nasib budak yang hampir dilanggarnya dengan segera. Sekiranya budak tersebut tercedera dia harus membantu untuk membaca budak itu ke hospital.

Asad sampai ke belakang keretanya. Dia melihat ke jalan raya dan terlihat kesan tayar keretanya yang melakukan perberhentian kecemasan.

Asad tidak melihat kelibat budak itu. Dia memandang sekeliling dan gagal untuk mengesan sesiapa di kawasan itu. Dia berjalan terus sambil matanya mengeksplorasi kawasan disekitar dimana dia ternampak seorang budak yang berdiri ditengah-tengah jalan sebentar tadi.

Kini Asad berdiri ditengah jalan. Dia memandang tepat ke arah keretanya yang berada kira-kira 15 kaki dari tempat dia berdiri sekarang. Disinilah kesan tayarnya bermula. Ia jelas dapat dilihat di atas jalan tersebut. Namun yang menjadi misteri sekarang adalah keberadaan budak yang dilihatnya tadi. Budak itu seolah-olah lesap ditelan angin.

Asad merasakan seseorang menyentuh bahunya. Dia menoleh ke belakang dengan serta-merta. Tiada sesiapa yang dapat dilihat ditambah pula tiada langsung kenderaan yang melalui jalan ini pada waktu ini. Kemudian dia terlihat sesuatu yang sedang bergerak ke arahnya. Makhluk itu tidak menyerupai manusia langsung tetapi mempunyai dua kaki yang sangat panjang dan ketinggian lebih kurang 3-4 meter. Makhluk itu berjalan dengan pantas sebelum tiba-tiba mengorak langkah berlari ke arah tempat Asad sedang berdiri sekarang.

Asad berundur ke belakang sedikit secara perlahan-lahan. Dia kini semakin laju berundur dan akhirnya dia berlari ke arah keretanya. Dia memasuki kereta dengan pantas dan cuba untuk menghidupkan enjin kereta. Namun, enjin kereta tidak mahu hidup dan berbunyi lemah. Asad tidak putus asa, dia melihat ke arah cermin pandang belakang sekali lagi untuk mengagak kedudukan makhluk tadi. Dia tidak melihat sesiapa dibelakang. Tiada makhluk tadi yang dilihat seolah-olah mengejarnya. Keadaan menjadi sedikit aneh dengan situasi yang berlaku sekarang.

Asad kembali memandang ke arah cermin depan. Tiba-tiba ada seorang lelaki duduk di kerusi sebelah penumpang. Asad beristighfar kerana agak terkejut dengan kehadiran lelaki misteri itu.

“Siapa kau?” tanya Asad.

“Siapa aku tidak penting Asad” jawab lelaki itu.

“Bagaimana kau boleh masuk ke dalam kereta aku?” tanya Asad lagi sambil bersikap berani. Dia sempat menjeling jari lelaki itu yang mempunyai kuku-kuku yang panjang-panjang setiap satunya.

Lelaki itu menjeling ke arah Asad. Kemudian dia memandang semula ke hadapan.

“Usah kau tanya perkara itu” jawab lelaki itu lagi.

“Apa yang kau nak hah?” soal Asad.

“Bagus soalan kau Asad” puji lelaki berkenaan.

“Aku tak kenal kau, bagaimana kau tahu nama aku hah” gertak Asad pula kepada lelaki itu.

“Aku tahu semua pasal kau Asad” ucap lelaki misteri itu.

Asad terdiam apabila mendengar ucapan lelaki tersebut. Dia mula rasa nyawanya agak terancam ketika ini.

“Kau jangan risau Asad. Aku hanya mahu kau sampaikan pesanan aku kepada cik Sofea kita…” ucap lelaki itu lagi.

Asad rasa berderau darahnya apabila mendengar pesanan lelaki itu. Dari mana pula dia boleh kenal dengan cik Sofea. Selama ini pun tidak pernah cik Sofea menyebut tentang lelaki ini kepadanya. Terlalu banyak persoalan yang berlegar-legar difikirannya pada ketika ini.

“Apa yang kau nak pesan dengan cik Sofea?” soal Asad pula.

Lelaki itu mendiamkan diri buat seketika. Kereta itu seakan bergegar-gegar selepas Asad membuat pertanyaan kepada lelaki misteri tersebut.

“Apa nama kau? Kalau cik Sofea tanya kepadaku” Asad bertanya lagi.

Tiba-tiba radio berfungsi sendiri dan siarannya bertukar-tukar secara rawak. Jarum meter di dashboard kereta bergerak-gerak umpama jarum jam. Wiper kereta tiba-tiba bergerak dengan sendirinya. Asad menjadi kaget dengan situasi tersebut.

“Aku nak kau cakap dengan dia, aku sedang mencarinya sekarang. Budak yang nak tolong dia tu pun tak mungkin dapat selamatkan dia dari takdirnya. Aku akan sampai tidak lama lagi.” ugut lelaki misteri tersebut.

Keadaan menjadi agak pelik kerana semua kebisingan tadi bertukar menjadi senyap sunyi. Asad semakin tidak faham dengan apa yang terjadi dihadapan matanya sekarang. Nafasnya turun naik dan bergerak kencang. Ini adalah kerana fungsi-fungsi elektronik dalam keretanya kembali semula bertindak aneh yang Asad sendiri tidak dapat menjelaskan dengan tafsiran dari akalnya kepada dirinya sekarang.

Tiba-tiba segalanya menjadi senyap sepi.

Asad kembali melihat lelaki tadi disebelahnya. Lelaki tersebut sudah ghaib. Asad tiba-tiba berpeluh dengan banyaknya. Dia semakin tidak faham dengan peristiwa yang baru dilaluinya tadi. Asad masih tidak tahu siapa lelaki misteri tersebut.

Dia memegang butang start enjin kereta dan menekannya. Kereta tersebut berjaya dihidupkan dengan sekali tekan sahaja.

Asad tidak berlengah lagi dan terus memecut keretanya untuk pulang ke rumah. Terlalu banyak perkara yang perlu di beritahu kepada cik Sofea. Dia harus segera sampai ke rumah!

 270 total views

Bab 3 – Kematian Mengejut (BDSII)

Bab 3 – Kematian Mengejut

“Kamal, mana Encik Rahim ya? Dia cuti ke hari ini?” tanya Asad kepada Kamal yang merupakan kawan baik Rahim.

“Ohh Rahim…dia cuti sakit hari ini Encik Asad” jawab Kamal pendek.

“Encik Rahim sakit apa?” soal Asad semula.

“Dia ada telefon saya hari sabtu lepas. Katanya dia kemalangan. Doktor bagi rehat cuti sakit selama tiga hari” balas Kamal.

“Saya harap berita ni tiada kena mengena dengan Encik Rahim” ucap Asad sambil meletakkan surat khabar di atas meja di mana Kamal sedang duduk. Kemudian Asad menudingkan jarinya kepada satu ruangan di dalam surat khabar berkenaan.

Kamal membetulkan duduknya dan melihat ke arah berita yang ditunjukkan oleh Asad kepadanya.

Tajuk berita Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan yang mengerikan dengan gambar seorang lelaki yang duduk ditempat pemandu dengan kepalanya didapati berada di atas stereng. Nombor pendaftaran dan mata mangsa di kaburkan di dalam berita tersebut.

Kamal seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya kerana dia sangat pasti mangsa dalam berita itu adalah kawannya Rahim.

“Eh…ni Rahim ni, Encik Asad…!” jerit Kamal.

“Saya pun rasa macam Rahim tapi saya takut tersilap…” balas Asad pula.

“Keluarga dia bukan ada kat sini. Jauh kat utara sana!” tambah Kamal lagi.

“Apa kata Encik Kamal temankan saya pergi ke hospital dan kita cuba dapatkan maklumat tepat dari sana?” cadang Asad kepada Kamal.

Kamal hanya menganggukkan kepala tanda setuju. Dia kemudian bangkit dari kerusi dan terus mengekori pergerakan Asad.

§§

Asad dan Kamal tiba di kawasan hospital kira-kira jam 10.30 pagi. Mereka berdua bergegas ke bahagian kecemasan bagi mendapatkan maklumat berkenaan Rahim daripada petugas-petugas yang berada di kaunter tersebut. Mereka di syorkan untuk ke bilik simpanan mayat di hospital berkenaan bagi tujuan pengecaman.

Asad dan Kamal berjalan pantas menuju ke lokasi berkenaan yang terletak di bahagian belakang hospital. Raut wajah Kamal agak gusar kerana dia tidak tahu bagaimana untuk memaklumkan berita sedih ini kepada waris Rahim kelak.

Tiba di pintu masuk ke bilik jenazah, Kamal menarik daun pintu dan terus masuk diikuti Asad yang mengekori dari belakang. Mereka berhenti di hadapan kaunter dan mula mendapatkan maklumat. Pegawai di kaunter memaklumkan bahawa lelaki yang mereka cari adalah sama dengan identiti mayat berkenaan. Walaubagaimanapun, pengecaman diperlukan bagi mengesahkan identiti mayat tersebut dan borang pengesahan perlu ditandatangani sebelum sebarang urusan berkaitan dapat disempurnakan.

Kamal bersetuju dengan arahan dari pegawai tersebut. Mereka berdua dikehendaki masuk ke dalam untuk mengecam mayat.

Saat Kamal cuba menyelak kain putih yang menutup kepala mayat, tiba-tiba tangannya dipegang oleh Asad.

Kamal memandang wajah Asad.

“Kenapa?” soalnya.

“Encik Kamal dah bersediakah nak tengok wajah Encik Rahim?” jawab Asad cemas.

“Saya tak pasti Encik Asad. Saya terpaksa juga tengok untuk mengesahkan bahawa mayat ini adalah Rahim” balas Kamal semula.

Asad menganggukkan kepalanya.

Kamal segera menyelak kain yang menutup kepala mayat perlahan-lahan. Perlahan-lahan juga terpacul wajah mayat berkenaan yang sudah agak kehitam-hitaman. Kesan darah sudah dibersihkan dari mayat berkenaan. Kamal dapat melihat wajah mayat berkenaan dengan lebih jelas setelah seluruh kain yang menutupnya telah dibuka.

Dia melihat wajah Rahim yang sudah menjadi mayat. Dia memandang ke arah Asad dengan wajah sedih. Kelihatan air mata mengalir di wajahnya yang segera dikesat dengan lengan bajunya.

Asad memegang bahu Kamal sambil menepuk-nepuk perlahan. Dia berjalan keluar dari bilik berkenaan.

Kamal masih melihat wajah sahabatnya. Memang benar Rahim sudah meninggal dunia. Tugasnya selepas ini adalah untuk memaklumkan kepada keluarga Rahim dikampung terutamanya isteri dan anak-anaknya.

Kamal menutup semula mayat Rahim dengan kain putih tadi. Dia memanggil pegawai tadi semula. Pegawai tadi datang dan mengangguk kepala dengan isyarat yang diberikan oleh Kamal. Pintu peti mayat Rahim ditutup semula selepas disorong masuk ke dalam.

Pegawai tadi mengikut Kamal dari belakang untuk menyediakan dokumen-dokumen yang berkaitan untuk ditanda tangani oleh wakil waris.

Setelah selesai, Kamal dimaklumkan bahawa jenazah si mati akan disempurnakan secepat mungkin kerana agak lama di simpan di bilik mayat ekoran tiada waris yang menuntut mayat tersebut.

Mayat akan dibawa pulang ke kampong halamannya di utara. Keluarganya telah diberitahu dan mayat dijangka sampai pada esok hari.

Kamal dan Asad keluar dari kawasan Hospital.

Mereka menuju pulang ke pejabat.

Kedua-duanya diam membisu sepanjang perjalanan. Tiba-tiba Asad bersuara.

“Rahim ada berapa orang anak Encik Kamal?” soal Kamal memecah kesunyian.

“Anak dia ada dua orang. Keduanya perempuan umur tujuh dan lapan tahun” jawab Kamal.

“Isteri Rahim kerja ke?” soal Asad semula.

“Isterinya jual nasi lemak ja..” balas Kamal lagi.

“Saya akan syorkan bantuan kewangan kepada isteri Rahim dengan pihak syarikat” maklum Kamal.

“Terima kasih Encik Asad” balas Kamal sambil matanya masih memandang ke arah hadapan.

 233 total views

Bab 2 – Korban Pertama (BDSII)

Bab 2 – Korban Pertama

Rahim berjalan terdengkot-dengkot menuju ke pintu rumah. Tongkat itu diangkat perlahan-lahan bagi setiap langkahan. Wajahnya tidak ceria. Setelah berjalan beberapa ketika akhirnya sampai juga ke pintu rumah.

“Pak Ramlan…oo… Pak Ramlan!” jerit Rahim dari luar rumah tersebut.

Keadaan agak sunyi. Kemudian terdengar suara dari dalam.

“Siapa tu?” soal suara itu.

“Saya Pak…Rahim” balas Rahim semula.

“Rahim mana?” soal suara itu lagi.

“Saya lah Pak, semalam saya datang” jawab Rahim yang mula rasa tidak senang dengan pertanyaan demi pertanyaan dari suara itu.

“Pakcik tak ingat lah” jawab suara itu lagi.

“Takpela…naiklah masuk…” jemput suara itu  semula.

Rahim menolak daun pintu perlahan-lahan. Keadaan agak gelap. Kemudian ada cahaya memancar umpama kilat. Rahim agak terkejut, namun kembali tenang setelah mendapati Pak Ramlan muncul sambil lampu di ruang tamu menyala.

“Rahim…” Pak Ramlan tersenyum melihat tetamu yang datang.

“Pak…apa khabar?” soal Rahim sambil tersenyum melihat Pak Rahim.

“Khabar baik Rahim. Pak cik tak cam suara Rahim…maaflah” ucap Pak Rahim sambil menjemput Rahim duduk di ruang tamu rumahnya.

“Takpa Pak…” balas Rahim pendek. Dia menyandarkan tongkatnya di dinding sebelum duduk di kerusi.

“Rahim kemalangan ke?” tanya Pak Ramlan apabila melihat keadaan Rahim.

“Ya Pak..semalam kat simpang tiga depan rumah saya..” balas Rahim apabila ditanya oleh Pak Ramlan.

“Tangkal yang Pak cik bagi tu, Rahim tak pakai ke?” tanyanya lagi.

“Ni yang saya datang balik hari ni. Nak tanya pasal tu la” balas Rahim.

“Eh…tak mungkin tak berkesan. Pak cik buat khas untuk Rahim tu ” terang Pak Ramlan lagi.

“Tangkal tu boleh buat Rahim jadi kuat dan digeruni orang” sambung Pak Ramlan lagi.

“Masalahnya Pak, jatuh motor boleh retak tulang buku lali saya, apa cerita ni? Kata boleh bagi kuat? Macam ni susah lah Pak…” rungut Rahim kepada Pak Ramlan.

“Kalau macam tu, Pak cik kena buat baru lah…” ucap Pak Ramlan semula.

“Berapa pula saya kena bayar tu Pak?” soal Rahim risau. Semalam dah terbang RM5,000 fikirnya sendirian.

“Oh..jangan risau. Tambah duit sedikit ja” jawab Pak Ramlan sambil tersenyum. Beliau memberi isyarat kepada Rahim untuk mengikut dia masuk ke dalam.

Rahim bangun dengan perlahan sambil dibantu oleh Pak Ramlan. Mereka berdua berjalan menuju ke sebuah bilik di dalam rumah berkenaan.

Pak Ramlan membuka pintu bilik. Kedua-duanya masuk ke dalam.

Rahim duduk di atas sebuah kerusi di tepi katil. Pak Ramlan membantunya seketika sebelum duduk di lantai untuk bertafakur.

Rahim hanya memerhatikan sahaja Pak Ramlan duduk membatu buat seketika. Orang tua itu memejamkan matanya dan tidak bergerak langsung dalam 10-15 minit.

Rahim agak resah dengan keadaan Pak Ramlan. Berbeza dengan semalam, dia datang dan membayar sahaja tangkal yang ditempahnya seminggu yang lalu.

Tapi hari ini berbeza.

Tiba-tiba Pak Rahim menghulurkan segelas air kepada Rahim.

Rahim tersedar dari lamunannya.

“Air apa ni Pak?” soal Rahim.

“Minumlah. Nanti kaki Rahim boleh cepat baik. Lagipun, ada kawan Pak cik nak jumpa Rahim” terang Pak Ramlan.

Tanpa membuang masa, air itu diteguk oleh Rahim sehingga habis. Rasanya agak pelik. Namun tidak menjadi masalah bagi Rahim. Kemudian dia terasa kepalanya berpusing-pusing buat sementara waktu.

Rahim melihat wajah Pak Ramlan berubah-ubah bentuk, sekejap memanjang dan membujur dan kembali normal. Kemudian mata Pak Ramlan memanjang ke bawah dan ke atas berulang-ulang kali.

Rahim melihat Pak Ramlan mengangkat tangannya dan jarinya menunjukkan di suatu sudut dalam bilik itu.

Rahim melihat ke arah yang ditunjukkan oleh Pak Ramlan. Dilihatnya ada seorang lelaki berdiri disitu sambil berpeluk tubuh.

Mukanya agar kabur dan gelap kerana dia berada di sudut yang agak kurang cahaya. Lelaki misteri itu menghulurkan sesuatu di tangan kirinya.

Rahim terasa seperti sedang berjalan menuju ke arah lelaki itu. Namun satu perkara yang paling dikaguminya adalah keupayaan dia berjalan seperti biasa tanpa penggunaan tongkat.

Rahim mencapai tangan lelaki tersebut. Barang yang ada di tangan lelaki itu diambil dan dia kembali berjalan duduk di kerusinya kembali.

Setelah dia duduk, Pak Ramlan menunjukkan sesuatu di tangannya. Rahim mencapai sehelai kertas kecil ditangan Pak Ramlan. Dia meletakkan barang yang diambilnya dari tangan lelaki misteri itu diatas meja. Kemudian dia mengambil sebatang pen dan menulis sesuatu di atas kertas tersebut dan menandatanganinya.

Rahim menyerahkan semula kertas itu kepada Pak Ramlan.

Pak Ramlan mengambilnya dan menyerahkan kepada lelaki misteri tersebut.

Dengan sekelip mata, lelaki itu hilang dari pandangannya.

Rahim kembali tersedar apabila mendengar suara Pak Ramlan.

“Rahim…” panggil Pak Ramlan.

Rahim terkelip-kelip mata memandang Pak Ramlan. Pengalaman yang dilaluinya tadi umpama mimpi nyata. Dia bangun dan hampir terjatuh kerana tidak menggunakan tongkatnya. Nasib baik Pak Ramlan sempat memegangnya sebelum dia terjatuh.

§§

Rahim melambaikan tangannya melalui tingkap keretanya ke arah Pak Ramlan yang berdiri di pintu. Matanya tiba-tiba menangkap sesusuk tubuh berdiri di sebelah Pak Ramlan. Lelaki misteri itu ada di sebelah Pak Ramlan sambil turut melambaikan tangannya.

Rahim mengubah pandangannya ke hadapan sebelum kembali memandang Pak Ramlan. Namun, lelaki itu sudah tiada.

Dia memandu keluar dari kawasan rumah Pak Ramlan menuju ke arah jalan besar.

Diihatnya tangkal baru yang diperolehinya hari ni. Sedikit berbeza dengan yang semalam. Tangkal yang baru ini membuatkan dia rasa begitu membara dan hebat.

Dia begitu gembira kerana esok dia akan dapat menguji kehebatan tangkal Pak Ramlan ini di tempat kerjanya.

“Ah…esok aku M.C. lagi…” bisik hatinya.

“Tak dapatlah aku uji dengan bos aku…” ucapnya lagi berseorangan dalam kereta.

Kemudian dia terlihat sesuatu melalui cermin pandang belakangnya. Sekilas susuk tubuh lelaki misteri di rumah Pak Ramlan tadi dilihat duduk di bahagian belakang keretanya.

Rahim terkejut dan memberhentikan keretanya di tepi jalan.

Dia perlahan-lahan mengangkat kepalanya dan melihat ke arah cermin pandang belakang.

Matanya tidak dapat mengesan lelaki tersebut. Dia memberanikan diri untuk memandang terus ke belakang.

Di toleh kepalanya ke arah tempat duduk belakang dan melihat tiada sesiapa di belakangnya. Puas di carinya dengan mata namun tiap sudut tempat duduk itu tiada apa-apa yang dapat dilihat untuk menyokong ilusi yang dilihat dari cermin pandang belakang sebentar tadi.

Rahim memandang semula ke arah depan. Bulu romanya terus naik apabila dilihatnya di cermin hadapan keretanya terdapat kesan tapak tangan berbentuk wap betul-betul menghadap ke arahnya.

Seolah-olah sewaktu dia berpaling sebentar tadi makhluk atau benda tersebut sedang memerhatikannya dari hadapan cermin keretanya.

Rahim menarik nafas panjang dan cuba menenangkan dirinya.

“Aku ada tangkal ni. Buat apa aku nak takut?” Ucapnya perlahan.

Dia kemudian meneruskan perjalanannya semula.

§§

Tutt…tutt tutt…tutt tutt….bunyi telefon bimbit Rahim.

“Hello…siapa ni?” soalnya apabila nombor yang tertera tiada pengenalan nama dalam phone book.

Terdengar suara garau dan kasar menjawab panggilan itu.

“Rahim…” sebut suara itu.

“Siapa ni hah?” bentak Rahim seketika. Dia menyangkakan ada orang cuba untuk menyakatnya.

Dia terus memutuskan panggilan dengan emosi berapi.

Pada masa itulah Rahim terasa ada orang meniup lubang telinga kirinya. Dia berasa terkejut.

Ditoleh mukanya ke sebelah kiri di tempat duduk penumpang.

Panggg satu tamparan hinggap di pipi kirinya.

“Adoi!..” jerit Rahim.

Dia memberhentikan kenderaan di tepi jalan. Sebaik sahaja kereta sudah berhenti dia mengusap pipinya yang ditampar sebentar tadi.

Dia masih mencari punca dia seolah-olah menerima tamparan dari seseorang.

Puas matanya meliar di segenap ruang dalam keretanya dan dia masih tidak tahu apa atau siapa yang menamparnya.

Rahim kembali mengusap pipinya. Dia masih menyimpan perasaan geram dan sakit hati berkenaan perkara tersebut.

Telefonnya sekali lagi berbunyi. Tutt…tutt tutt…tutt tutt..

“Hello? Eh, kau jangan main-main dengan aku. Kalau aku…” belum habis Rahim berkata-kata tiba-tiba dia seakan terpukau.

Ada suara dalam telefon itu yang memberi arahan kepadanya.

Rahim hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Matanya tidak berkedip langsung.

Dia seakan tenang mendengar arahan melalui telefon itu. Suara yang didengari itu umpama bisikan yang menghembus bak angin ke dalam lubang telinganya dan mematikan sistem logik dalam mindanya.

Setelah panggilan tamat. Rahim meletakkan telefonnya di tempat duduk sebelah kiri.

Dia membetulkan duduknya di dalam kereta. Kemudian dia terpaku menghalakan wajahnya ke arah cermin hadapan kereta.

Keadaan Rahim tidak ubah seperti patung yang tidak bernyawa. Dia diam statik ditempat duduknya. Kemudian lampu dalam kereta terpadam.

Pada waktu itu, tiada bunyi apa-apa yang dapat di dengari. Sunyi sepi.

Dalam masa 10 minit Rahim terdiam kaku.

Tiba-tiba telefonnya berbunyi lagi.

Pada masa itulah Rahim menghantukkan kepalanya ke arah stereng kereta berulang-ulang kali.

Hentakkan itu sangat kuat sehingga dahinya mengeluarkan darah pekat. Stereng kereta itu bermandi darah Rahim yang seperti sudah hilang akal.

Rahim semakin galak menghentakkan kepalanya. Stereng itu bergegar kuat dek kuatnya hentakkan itu.

Mata Rahim terbeliak. Lidahnya terjelir keluar. Namun tenaganya masih bergerak aktif menghentakkan kepalanya sendiri terus-menerus sehingga darah itu memancut keluar dari kepalanya.

Cermin hadapan kereta sudah menjadi kabur kerana tindakkan seperti orang hilang akal ditunjukkan oleh Rahim.

Akhirnya Rahim menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah mengalami kecederaan yang parah di bahagian kepala.

Tubuhnya tidak bergerak lagi. Kepalanya terletak di atas stereng kereta.

Darah pekat membanjiri keretanya.

Rahim sudah menjadi mayat.

Tiba-tiba pintu kereta di buka dari luar.

Kelihatan Pak Ramlan di muka pintu kereta sambil mengukir senyum.

 205 total views

Biodata Penulis blog/ebook

Bismillahirahmanirrahim.

Saya adalah penulis baru dalam dunia penulisan. Sebelum ini saya hanya menulis di Blog sahaja dan tidak pernah menulis atau pun menjadi penulis jemputan sepertimana sejarah latar belakang penulis-penulis yang lain. Saya menerima pendidikan sehingga ke peringkat ijazah di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang pengurusan. Saya juga mempunyai kelulusan dalam bidang Diploma Komputer Sains dari Universiti Teknologi Mara (UiTM). Bidang penulisan merupakan bidang sambilan saya kerana saya masih lagi berjinak-jinak dengan ilmu dalam menulis cerita atau menghasilkan karya kreatif dalam
genre kegemaran saya iaitu seram/misteri dan cinta/romantik. Segala kekurangan dan kekhilafan saya dalam menulis
cerita ini harap dimaafi kerana saya hanya manusia biasa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan dan
kesalahan.

Tentu anda semua tertanya-tanya kenapa saya paparkan hasil penulisan saya di blog ini kan? Walhal cerita-cerita tersebut sedang dijual dalam bentuk ebook kepada peminat-peminat cerita mengikut genre masing-masing. Ini adalah kerana saya percaya “free marketing” lebih menguntungkan tanpa saya perlu mengeluarkan belanja promosi. Ditambah lagi, secara tidak langsung anda akan menjadi pengunjung tetap ke blog saya pada setiap hari. Jika anda bersabar anda akan menjadi pengikut saya yang setia pada setiap hari untuk membaca sambungan cerita yang saya tulis. Mungkin juga ada di kalangan anda yang tidak berapa nak sabar dan membeli ebook cerita yang sedang dipaparkan di blog saya yang serba kekurangan ini. Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas sokongan anda samada yang sedia untuk mengeluarkan wang bagi mendapatkan karya saya ataupun anda yang rajin melawat blog saya untuk membaca karya hasil tulisan saya. Kepada anda yang mungkin mempunyai minat yang sama seperti saya, saya sedia dihubungi oleh anda untuk mendapatkan panduan ataupun berkongsi-kongsi pandangan dan cadangan yang menguntungkan kedua-dua belah pihak. Jangan tunggu sampai esok sekiranya anda perlu untuk menghubungi saya. Emel dan nombor telefon saya ada dinyatakan dibawah profile pic saya.

Sesungguhnya yang baik dan sempurna itu hanya dari Allah swt dan yang tidak sempurna itu datang dari kelemahan diri saya sendiri.

Wassalam wbt.

Sekian,

Shah Iskandar

https://play.google.com/store/books/details/Shah_Iskandar_Berlawan_Dengan_Syaitan_3?id=lRlvDwAAQBAJ

 1,386 total views