Panduan Mudah Menukar Word Ke PDF

Kebanyakan penulis buku suka menaip cerita mereka dengan menggunakan perisian MS Word kerana ia merupakan perisian yang paling mudah dan senang untuk digunakan. Kebetulan pula, banyak kemudahan-kemudahan dalam perisian tersebut boleh digunapakai bagi ‘mencantikkan’ lagi bentuk penulisan yang dihasilkan seperti jenis font, saiz font, warna font, table, formatting, menambah garisan, bentuk tertentu dan berbagai-bagai lagi yang terlalu banyak untuk saya senaraikan disini.

Sahabat-sahabat saya selalu bertanya saya, bagaimana saya menulis buku yang saya karang? Apakah saya menggunakan perisian-perisian khas atau tertentu untuk menulis buku? Jawapan saya mudah sahaja, saya menggunakan perisian yang sama seperti yang sahabat-sahabat gunakan dan saya juga mengedit, mengemaskini dan sebagainya sepertimana mereka menggunakan perisian MS Word.

Persoalan utama sahabat-sahabat adalah, jadi bagaimana saya menukar format fail saya ke bentuk popular pdf untuk jualan diplatform-platform media sosial atau platform ecommerce atas talian yang begitu popular ketika ini? Jawapan saya dengan menggunakan MS Word sahaja saya boleh menukar fail saya ke format pdf dengan mudah. Bukan itu sahaja, format pdf ini merupakan format termudah untuk menyalurkan maklumat menerusi hampir semua medium penghantaran secara eletronik iaitu emel dan aplikasi media sosial.

“Bagaimana caranya?” tanya sahabat-sahabat saya. Maka saya pun menulis buku panduan ini bagi memudahkan sahabat-sahabat mempelajari cara saya menukar format tersebut dengan mudah dan senang. Sekiranya perlu, sahabat-sahabat boleh memasukkan kata laluan supaya fail sahabat terjamin keselamatan bagi kandungan-kandungan yang mempunyai hakcipta terpelihara atau sekadar untuk memastikan keselamatan fail tersebut.

Ada sahabat bertanya saya bahawa beliau biasanya menukar fail word ke pdf secara atas talian sahaja dan dalam masa yang singkat; jadi kenapa saya tak guna cara tersebut? Jawapan saya, dulu saya biasa menggunakan teknik berkenaan, tetapi apa yang saya perhatikan; format pdf berkenaan kadang-kadang tidak sempurna dan menjejaskan penampilan asal fail saya dan formatting yang tidak dikenalpasti oleh penyedia diatas talian. Ini menyebabkan saya tidak berpuas hati dengan hasil yang dikeluarkan selepas saya mempraktikan teknik atas talian tersebut. Masalah lain adalah, apabila komputer atau lokasi saya menulis tidak dapat mencapai talian internet dan menyebabkan saya terpaksa menggunakan teknik offline iaitu alternatif kepada teknik atas talian.

Buat pengetahuan pembaca yang saya hormati sekalian, saya beranggapan bahawa anda menggunakan perisian MS Word versi 2010 dan ke atas sebelum dapat menggunakan panduan dalam buku ini kerana, versi sebelum 2010 tidak mempunyai kemudahan yang saya nyatakan diawal tadi. Sekiranya anda menggunakan versi dibawah tahun 2010 maka anda akan mengalami kesukaran untuk mempraktikkan ilmu dalam buku ini. Nasihat saya, sila dapatkan perisian MS Word versi 2010 dan ke atas untuk tujuan pembelajaran dan praktikal.

Walaubagaimanapun, terpulang kepada diri anda sendiri cara yang sesuai untuk anda mempelajari ilmu didalam buku ini. Sekiranya melalui buku lebih mudah bagi anda, maka ebook ini sesuai untuk anda bagi dijadikan panduan mudah dalam menukar word ke pdf. Usaha tangga kejayaan. Komitmen dan fokus anda sangat diharapkan agar anda dapat menguasai ilmu yang ditulis dalam buku ini.

http://www.geinwo.com

 518 total views,  1 views today

SEMPURNA

Sempurna

Cinta yang kucari sejak kecil lagi membawa aku merata-rata
Aku tak faham apa yang ku rasa
Semakin aku melayannya semakin aku tenggelam didalamnya
Aku cuba menyedarkan diriku yang terasa makin hanyut
Dunia ini terasa terlalu luas untuk melihat deritaku
Tiada siapa yang peduli
Sesungguhnya cintaku ini tidak kekal rupanya
Aku beralih arah
Kali ini aku nekad
Akan ku cari cinta hati yang kekal abadi ini…bersungguh
Aku ingin bertemu denganNya di syurga ciptaanNya…yang indah
Sesungguhnya aku tak mampu menahan api nerakaMu
Semakin ku dekatkan diriku kepadaMu
Semakin ku terasa rindu yang teramat
Semakin ku ingatkan Kau
Semakin ku rasa dekatnya Kau…denganku
Maha suci Allah yang maha penyayang lagi maha mengasihani
Ku serahkan diriku kepadaMu…ya Allah
Ampunkan segala dosa-dosaku
Terimalah taubatku
Terimalah aku ya Allah…yang menguasai hari pembalasan…
Segala puji hanya untukMu…

 485 total views

Cerita Santai III

Cerita Santai III

Lokasi : Pejabat

Waktu : 10.30 pagi

Seseorang mengetuk pintu bilik.

Aku : Masuk…
Kawan : Assalammualaikum…
Aku : Waalaikum salam. Ya, tuan. Lama tak jumpa…
Kawan : Apa kabar ente?
Aku : Ana baik baik sahaja. Ente?
Kawan : Ana sihat, alhamdulillah…
Aku : Baiklah, apa yang ana bole bantu ente?
Kawan : Oh…ana datang menziarahi sahaja sebab sudah lama ana tak nampak ente. Ente sakit ka?
Aku : Ana cuti panjang. Maklumlah cuti sekolah.
Kawan : Oh begitu, patutlah ana tidak nampak ente. Tapi tak mengapalah, ana cuma pelik sedikit.
Aku : Pelik yang bagaimana itu ente?
Kawan : Oh begini ente, semasa ente tiada dipejabat, ana selalu lalu depan bilik ente ini. Bilik ini terang selalu, tapi ana tidak nampak sesiapa kerana birai cermin ente tertutup. Ana cuba ketuk pintu dan bagi salam tapi tiada orang.
Aku : Tapi ente, ana datang hari ni bilik ana gelap. Sebab ana memang cuti minggu lepas. Seingat ana, ana tidak bagi sesiapa masuk ke bilik ana.
Kawan : Benarkah ente? Kalau begitu betullah tekaan ana, ente tiada dipejabat waktu itu.
Aku : Benar ente. Ana tiada dipejabat. Sekarang ana rasa sangat pelik bagaimana orang masuk bilik ana semasa ana tiada dipejabat.
Kawan : Ente ada sorok kunci bilik depan pintu? Atau ente ada bagi pendua kunci pada sesiapa?
Aku : Tidak ada ente, seingat ana.
Kawan : Baiklah kalau begitu. Malam ini ana balik lewat. Kalau ana nampak bilik ente menyala, ana akan siasat.
Aku : Baiklah ente. Nanti petang sebelum balik ana bagi kunci ana sama ente.
Kawan : (Menanggukkan kepala tanda setuju).

Malam itu, kira-kira jam 10 malam, kawan ana lalu depan bilik ana dan terkejut melihat lampu bilik ana menyala. Dia melihat sekeliling dan mendapati tiada sesiapa dipejabat pada waktu itu. Kawan ana cuba menjenguk dari celah-celah birai yang terselak sedikit dan cuba mengenalpasti samada ada sesiapa didalam bilik ana. Dia terlihat sesuatu yang agak mengejutkan.

Esoknya.

Kawan : Malam tadi ana lalu depan bilik ente.
Aku : Ente ada lihat bilik ana menyala lagi ke lampunya?
Kawan : Ya, ana lihat lampu menyala lagi. Ana rasa sudah tiada orang lagi di tingkat ente pada masa itu.
Aku : Takpalah ente. Lain kali ente buat tidak nampak sahajalah. Ana bimbang keselamatan ente.
Kawan : Ok baiklah ente. Kalau ente sudah bilang begitu, lain kali ana lalu, ana buat tidak nampaklah…

Sambil bersalaman, kami ketawa kecil sebelum menyambung kerja masing-masing.

 508 total views

Cerita Santai II

Cerita Santai II

Malam tu aku balik kerja lewat. Tapi aku dah maklum dengan isteriku yang tersayang. Aku tak mahu dia tertunggu-tunggu aku balik. Lebih baik dia tidur sebab aku faham kerjanya dirumah banyak. Dahlah kerja kat ofis menimbun balik rumah  nak uruskan anak, suami dan macam-macam lagi. Sebagai seorang suami yang amat memahami seorang isteri, aku tak boleh biar dia hadap sorang-sorang, mana yang aku boleh hulur bantuan, aku akan salurkan dengan seberapa segera sebab tanggungjawab mengurus keluarga adalah peranan kami berdua selaku top level management. Berbalik kepada cerita asalnya, aku lepas punch kad keluar , aku pun terus menuju ke pintu lif untuk turun. Dalam masa menunggu lif sampai, aku rasa keadaan masa tu sunyi sesunyinya. Aku pandang keliling aku. Tiada sesiapa. Jam hampir menunjukkan 1.01 pagi pada ketika itu. Dadaku tiba-tiba berdebar. Aku sekali lagi memandang ke kiri dan ke kanan. Pada waktu tu aku terlihat seorang wanita yang agak tua kerana dia agak bongkok sedikit dan memegang sebatang tongkat ditangan kanannya, sedang menunggu lif yang sama.  Aku menjeling ke arah wanita tersebut untuk melihat wajahnya namun tersorok kerana dia memakai tudung yang sangat pelik sehingga menutupi hampir keseluruhan wajahnya. Aku pun bersangka baik sahaja dan tidak memikirkan sangat hal wanita tersebut. Kemudian aku dikejutkan dengan satu suara sapaan yang menegur aku. Aku segera menoleh namun tiada sesiapa disekeliling aku. Mana wanita tua tadi? Puas aku memerhati sekitar, langsung tiada bayangnya lagi. Ah, sudah semakin pelik situasi ini. Waktu berlalu pantas dan tak sedar waktu sudah menjangkau jam 2.30 pagi. Dua tiga kali aku lihat jam ditangan dan waktu tetap sama. Takkan lif sampai sejam lebih tak sampai-sampai. Aku mulalah fikir yang bukan-bukan. Pada waktu itu aku tak pasti samada aku berhalusinasi atau ini benar-benar sedang berlaku. Aku berjalan ke arah butang lif yang masih menyala dan menekan-nekan berulang kali untuk memastikan bahawa butang tersebut adalah berfungsi. Kemudian ada satu suara kat belakang aku menyapa. “Good evening sir”. Aku pun menoleh ke belakang dan melihat seorang pengawal keselamatan berdiri sambil tersenyum. Setelah melihat dia, aku menganggukkan kepala. “You naik lif ka naik tangga?”. “Saya naik tangga”. “Lif ok ka?”. “Lif ok”. Aku kembali menganggukkan kepalaku. Mendengar perkataan pengawal tu aku pasti lif ni akan terbuka sebentar lagi. Aku menoleh semula ke arah pengawal keselamatan tadi untuk bertanya sesuatu. Ku lihat dia sudah berjalan turun mengikut tangga kecemasan. Aku segera mengekorinya berdasarkan bunyi tapak kaki menuruni tangga. Aku mempercepatkan langkahanku menuruni tangga. Tiba-tiba aku sudah tidak mendengar bunyi tapak kaki tersebut lagi. Aku menghentikan langkahku. Keadaan sunyi sepi. Aku melihat ke atas. Aku tidak melihat ada sesiapa dan kelihatan agak jauh aku menuruni tangga. Kemudian aku melihat ke bawah, keadaan yang hampir serupa. “Ke mana pergi pengawal tadi. Laju betul dia..” bisik hati kecilku. Aku berjalan perlahan dan keluar melalui pintu kecemasan untuk mengenalpasti kedudukan tingkat dimana aku berada sekarang. Setelah menolak daun pintu aku terus berjalan keluar dan menuju ke lif. Terus berderau darahku melihat nombor tingkat yang terpapar! Ini tingkat ofis aku dan memang pasti sebab aku boleh lihat pintunya dan tempat yang sama ketika aku menuruni tangga mengejar pengawal sebentar tadi. Keadaan semakin mengelirukan apabila ku lihat jam ditanganku tepat jam 1.01 pagi. Inilah waktu yang sama selepas aku punch out keluar untuk menunggu lif tadi. Dan fikiranku terus berfikir laju, kerana pada waktu inilah aku bertemu dengan wanita tua tadi. Aku toleh ke belakangku dan ku lihat tiada sesiapa disekelilingku buat masa ini. Kemudian terasa seseorang menyentuh bahuku. Aku segera menoleh dan melihat pengawal keselamatan tadi. Kali ini rupanya agak mengerikan berbanding pada pertama kali aku bertemu dengannya. Aku terus dengan spontan melaungkan azan. “Allahu akbar allahu akbar!” Ketika selesai azan ku buka mata dan kulihat tiada sesiapa lagi yang berada disekitarku. Ku lihat semula jam ditanganku. Jam sudah menunjukkan 5.30 pagi. Pada ketika itu pintu lif terbuka. Aku dengan segera masuk dan menekan butang tutup lif!

 463 total views

Cerita Santai…

CERITA SANTAI

Ada kawan saya ni sangat rajin bangun malam. Saya tanya kenapa? Dia jawab adalah. Oklah, saya tak tanya dah kenapa sebabnya. Suatu hari tu, dia datang pejabat muka sugul macam sedih pun ada, macam tak berapa gembira pun ada. Saya pun cuba dapatkan cerita dia. Saya tanya dia, kenapa muka tak ceria macam selalu? Ada masalah ke kat rumah? Mungkin saya boleh bantu. Boleh sahaja kalau nak berkongsi asalkan tak berkaitan dengan perkara peribadi. Maka, sahabat ini pun berceritalah perihalnya.

“Aku selalu juga bangun malam. Asal jam tiga pagi mata aku ni macam alarm clock mesti terjaga. Aku pun pelik kenapa. Tapi takpa la, aku bangun sahaja dan terus pi ambil wuduk untuk solat sunat. Macam biasalah, rumah aku time-time tidur memang semua lampu padam. Lampu yang menyala hanya dibahagian dapur sebab senang kalau anak-anak aku terjaga nak ke tandas, mereka tak lah takut sangat. Bukan apa takut mereka terkencing kat bilik tidur ja kalau takut sangat nak pergi tandas ataupun masuk bilik aku kejut untuk teman pergi tandas”

Sahabat aku terus bercerita selepas meneguk minumannya.

“Malam tu lepas aku terjaga, aku berjalan keluar dari bilik memang terasa gelap sangat. Aku jalan perlahan-lahan keluar dari bilik kemudian aku nampak bilik anak perempuan aku menyala. Aku jadi pelik sebab, jarang anak aku tidur lampu terpasang. Aku pun berjalan ke bilik dia dan berdiri kat depan bilik tu. Aku nampak lampu kat bawah pintu. Pada pandangan mataku ketika itu, seolah-olah lampu tu menyala dan menyebabkan bawah pintu tu bercahaya. Aku pun pusing tombol pintu dan cuba buka pintu bilik tu. Berkunci pula, lagilah aku pelik. Kenapa kakak kunci pintu? Panggilan anak perempuan aku ni kakak sebab dia seorang ja puteri dalam istana ini. Pastu aku teringat kunci pintu bilik ada dalam laci kat bilik. Aku pun patah balik ke bilik aku nak ambil kunci. Sampai ja depan bilik aku, ada lampu macam kat bilik anak perempuan aku pula. Pintu bertutup dan lampu menyala juga. Hatiku terus berdebar. Masya Allah, perkara  apa ini yang sedang berlaku. Aku cuba pusing tombol pintu bilik aku. Aku sangat pasti selepas aku keluar bilik tadi memang aku biar sahaja pintu terbuka, lagipun aku tak pernah kunci bilik sebab nanti kalau ada apa-apa kecemasan, anak aku boleh terus masuk bilik aku. Tapi sekarang ini keadaan menjadi sangat pelik. Pintu berkunci dan bilik aku menyala lampunya dari dalam. Sama juga hasilnya macam dihadapan bilik anak perempuan aku tadi, tombol tersebut berkunci”

Tiba-tiba akak gerai bawa mee goreng yang sahabat aku order tadi. Sambil mengucapkan bismillah, sahabat tadi segera membaham makanan yang masih panas tersebut. Aku hanya memerhatikan sahaja. Selepas beberapa suapan dilakukan, beliau menyambung semula ceritanya.

“Aku kemudian berpusing semula ke arah bilik anak perempuan aku dan melihat lampu dah terpadam sebab aku dah tak nampak cahaya dari bawah pintunya. Aku menyangka mungkin anak perempuan aku sudah menutup suis lampunya. Pintu juga ku lihat terbuka dan tidak lagi berkunci. Kemudian aku berpaling ke arah pintu bilik aku semula dan didapati lampu masih menyala dari arah bawah pintu. Aku cuba untuk membuka pintu tersebut tetapi gagal kerana ianya berkunci. Macam mana aku nak buka pintu ni? Semua kunci kat dalam laci bilik ini. Nak tak nak terpaksalah aku mengetuk pintu bilik untuk mengejutkan isteriku yang sedang tidur dengan harapan dia terdengar ketukan pintu tersebut. Mula-mula perlahan aku ketuk sambil memanggil-manggil namanya. Kemudian ku ketuk kuat sedikit dari yang mula-mula. Masih juga tiada jawapan. Keadaan sunyi sepi kerana aku tidak mendengar sebarang reaksi dari dalam. Alamak, isteriku tak dengarlah, macam mana nak kejutkan dia ni? Hatiku terus berdebar-debar sebab pintu bilik itu masih tidak terbuka dan lampu masih menyala dibawah kaki pintu. Aku kemudian menarik nafas panjang di hadapan bilikku ini. Aku bertekad nak mengetuk pintu bilik dengan kaki pula. Mungkin kekuatan kaki akan memberikan kesan yang maksima kepada orang yang berada didalam. Sebaik-baik sahaja aku nak menendang pintu dengan kaki, bahuku seperti dicuit orang. Aku terus berhenti untuk menghayunkan kaki ku ke pintu tersebut. Aku segera menoleh ke belakangku untuk melihat siapa yang mencuit bahuku sebentar tadi”

Sahabatku berhenti sejenak dan mengesat mulutnya dengan tisu selepas mee goreng telah selamat dimakan. Kemudian dia menyambung semula.

“Kau tahu tak siapa yang cuit bahu aku? Tanya sahabat ini kepadaku. Aku terus mengangkat bahuku untuk menyatakan bahawa aku tidak tahu siapa yang mencuit bahunya. Sahabat ini menceritakan bahawa tiada siapa yang dilihat dibelakangnya pada ketika itu dan siapa gerangannya yang mencuit bahunya menjadi misteri dalam sekelip mata. Aku pun tak tahu siapa yang cuit sebab bila aku pusing tiada siapa yang aku nampak atau lihat berada dibelakangku. Terus sahaja aku beristighfar berkali-kali kerana aku tidak mengerti apakah ujian yang sedang aku hadapi pada ketika itu. Kemudian aku berpaling semula ke arah pintu bilikku dan ku lihat lampu sudah terpadam dan pintu sudah ternganga seluas-luasnya. Ah! Tidak mungkin pintu ini terbuka dengan tiba-tiba kerana baru tadi ku lihat pintu ini berkunci dan lampu masih menyala di dalamnya. Aku terus melangkah masuk dan melihat isteriku sedang tidur. Apabila ku palingkan muka ku untuk keluar semula bagi mengambil wuduk kerana terbantut sebentar tadi, ku lihat bilik anakku kembali tertutup dan lampu menyala dari bawah pintu. Pada ketika ini, aku merasakan satu perasaan seperti sedang diperhatikan oleh sesuatu. Bulu romaku terus naik mendadak dan dadaku bergetar. Aku tidak pasti kenapa tiba-tiba aku menjadi gementar. Kenapa pintu bilik anak aku tertutup balik? Tadikan dah terbuka?”

Sahabatku ini kembali bersandar dikerusinya. Selepas meneguk air, dia menyambung ceritanya.

“Aku pun terus berjalan menuju ke bilik anak aku. Sampai kat depan pintu tu, aku terus masuk dan melihat isteriku sedang tidur! Eh! Mana anak perempuan aku? Baru tadi aku tengok isteriku tidur dibilik tidur kami sebentar tadi. Sekarang ni macam mana isteriku boleh tidur diatas katil anak perempuan ku pula? Tak masuk akal lah! Aku keluar semula dari bilik anakku dan berjalan menuju ke bilikku. Aku terperanjat sebab bilik tersebut tertutup dan ada lampu kat bawah pintu!! Aku jadi bertambah pelik dengan kejadian ini. Ku toleh semula ke arah bilik anak ku dan kulihat bilik tersebut juga sudah bertutup dan ada lampu kat bawah pintunya. Sekarang kedua-dua bilik sudah bertutup dan kelihatan seperti ada lampu menyala dari dalam. Aku menyandarkan badanku ke dinding rumah. Aku terus melabuhkan punggungku ke bawah dan duduk sekejap diantara bilikku dan bilik anakku. Aku mengusap-usap mukaku dengan kedua belah tanganku. Aku mula membaca surah kursi berulang-ulang kali. Aku pun tak ingat berapa kali aku dah baca sampai ke subuh rupanya sebab isteriku kejut aku yang sedang lena kat depan pintu bilik. Aku terpinga-pinga dan beristigfar berulang-kali. Kenapa abang tidur kat sini? Isteriku tanya”

Sahabat itu menggeleng-gelengkan kepala selepas selesai sesi dari hati ke hati bersama aku pada hari ni. Punya panjang cerita dia sampai dah nak masuk zohor.  Aku dan sahabat terus sahaja beredar dari tempat kami makan dan minum tadi. Moral of the story? Kawan-kawan boleh buat kesimpulan sendiri. Kalau sudi, boleh tinggalkan komen kat bawah ni. Kita boleh berbincang dan bertukar-tukar pandangan. Yang baik kita jadikan iktibar dan yang buruk kita jadikan sempadan. Santai-santaikan minda kita pada hari ini. Sekadar pengalaman yang diceritakan semula.

Shah Iskandar

 511 total views

Bab 30 – Azazil dilaknat Allah (BDSII)

Bab 30 – Azazil dilaknat Allah

Shah Iskandar kembali ke dalam kereta dan mula menghidupkan enjin kereta. Dia memandang ke arah cermin sisi sebelah kanannya. Dia memandu kereta berkenaan untuk membuat pusingan U dan menghala ke arah rumah Pak Ramlan. Dia bersendirian kini. Abah dan Sofea masih tidak dapat ditemui dan Shah Iskandar semakin risau dengan keselamatan mereka berdua.

Tiba-tiba ada sesuatu yang tidak dikenali melintas dihadapan kereta yang dipandu oleh Shah Iskandar menyebabkan beliau terkejut dan cuba mengelak dari terlanggar objek berkenaan menyebabkan kereta tersebut berpusing-pusing dan akhirnya berhenti di tengah jalan tersebut. Shah Iskandar membuka matanya perlahan-lahan kerana dia rasa kepalanya sangat sakit akibat terhempas ke stereng kereta tersebut. Dia kembali membetulkan duduknya dan cuba bersandar. Dia merasakan ada bendalir yang mengalir dari dahinya dan meraba luka berkenaan. Luka itu kelihatan besar melalui apa yang disentuh oleh tangannya.

Tiba-tiba ada lampu besar menyala dan menghala ke arahnya. Dia memandang ke hadapan dan melihat sebuah trak kontena sedang bergerak menuju ke arahnya dengan kelajuan yang maksima. Shah Iskandar mencuba untuk membuka talipinggang yang mengikat dia dengan kerusi didalam kereta tersebut. Dia merasakan kesukaran yang luar biasa dan hanya mampu melafazkan kalimah Allahuakbar sebelum trak berkenaan melanggarnya dengan dentuman bunyi yang sangat kuat.

Shah Iskandar terjaga dan mendapati dirinya berada di dalam sebuah bilik. Dirinya masih segar dengan ingatan dilanggar sebuah trak sebentar tadi. Kini dia berada di atas katil di dalam sebuah bilik yang tidak diketahui. Dia duduk ditepi katil. Dia memandang keadaan didalam bilik berkenaan yang agak suram dengan cahaya. Katil yang didudukinya mempunyai kelambu di atasnya. Dia cuba memandang sekeliling lagi dan mendapati bilik berkenaan tiada mempunyai pintu. Terus berderau darahnya dan bulu romanya naik mendadak kerana dia terlihat sesuatu di penjuru bilik berkenaan. Seorang lembaga hitam yang tidak dapat dilihat wajahnya dengan jelas.

Shah Iskandar cuba mengeluarkan perkataan dari mulutnya tetapi tiada apa yang dapat didengari kerana suaranya tidak dapat dikeluarkan. Dia mencuba lagi namun masih gagal. Dia memandang ke arah lembaga berkenaan. Lembaga berkenaan sudah ghaib. Dia cuba mencari-cari lembaga berkenaan di dalam bilik tidak bertingkap dan tiada berpintu berkenaan namun tidak diketahui kemana menghilangnya lembaga berkenaan.

Tiba-tiba terdengar bunyi bising dari luar. Seakan-akan ada sesuatu yang cuba untuk memasuki bilik ini. Terdengar seperti sesuatu sedang menendang-nendang dinding bilik berkenaan sehingga boleh dirasakan gegaran berkenaan apabila ada habuk-habuk jatuh berterbangan dari bahagian siling bilik berkenaan. Shah Iskandar tidak tahu apa yang harus dilakukannya sekarang kerana dia tidak dapat bangun dari katil berkenaan dan gegaran tersebut semakin kuat. Kesan perlanggaran oleh lori kontena berkenaan ternyata memberi kesan yang tinggi kepada Shah Iskandar dan dia tidak dapat melakukan apa-apa untuk menyelamat dirinya dari perangkap Azazil ini. Dia hanya mampu berserah dan berdoa di dalam hatinya agar Allah dapat membantunya dalam keadaan sekarang.

Shah Iskandar memejamkan matanya dan mulai berwirid dengan perlahan-lahan dan akhirnya dia dapat melihat tubuhnya yang dikunci di atas katil berkenaan. Dia melihat ada paku yang dipacak kepada kedua-dua kakinya. Kemudian dia melihat susuk lembaga hitam berkenaan yang bersembunyi di sudut gelap bilik berkenaan. Dengan doa yang dibaca oleh Shah Iskandar paku ghaib berkenaan tertanggal dan hilang dari penglihatannya. Dan setelah beberapa ketika, Shah Iskandar membuka matanya semula dan mendapati ada tenaga tambahan ke dalam dirinya. Dia bangkit dari katil berkenaan dan mula berdiri dan mencari sudut gelap yang menjadi tempat persembunyian lembaga hitam berkenaan.

Lembaga hitam itu keluar dari tempat persembunyiannya dan berdepan dengan Shah Iskandar di ruang tengah bilik.

“Hebat Shah Iskandar ini….baru ku tahu kenapa Pak Ramlan memberi amaran kepadaku mengenai kau!” lembaga berkenaan berkata sambil menepuk-nepuk tangannya.

Suara itu seakan-akan suara Pak Ramlan. Shah Iskandar berjalan menuju ke ruang tengah tersebut. Lembaga hitam berkenaan keluar dan menunjukkan dirinya dan ternyata memang Pak Ramlan yang mempunyai mata yang kemerahan. Shah Iskandar amat pasti itu hanya tubuh Pak Ramlan tetapi yang menghuni batinnya adalah Azazil.

“Sebelum aku membuat perhitungan dengan kau…bagi tahu dimana abahku dan sofea…wahai Azazil..” ucap Shah Iskandar dengan tegas.

Azazil yang menghuni tubuh Pak Ramlan ketawa berdekah-dekah dengan pernyataan Shah Iskandar.

“Memang hebat penglihatan kau budak!” balas Azazil.

“Sudahlah Azazil…hentikan permainan kau ini…aku sudah hilang sabar dengan kau!” marah Shah Iskandar kepada Azazil yang masih tersengih-sengih.

“Kau mungkin belum bertemu buku dengan ruas Shah Iskandar…!” ugut Azazil semula.

Shah Iskandar melafazkan kalimah Allahuakhbar sebelum melibas Pak Ramlan dengan parang yang dicabut dari pinggangnya dengan serta-merta.

Pak Ramlan mengelak ke sebelah tepi dan menendang pegangan parang Shah Iskandar dengan kuat menyebabkan Shah Iskandar tersungkur ke depan namun masih kuat memegang senjata berkenaan.

Pak Ramlan melompat ke dinding dan melekat disitu dengan keadaan kakinya dipasakkan disitu. Dia ketawa berdekah-dekah melihat Shah Iskandar tersungkur.

Shah Iskandar bangkit dan memusingkan badannya sambil melontarkan parang berkenaan tepat ke arah kepala Pak Ramlan namun sekelip mata sahaja Pak Ramlan menghilangkan dirinya dan berada di sebelah ruang lain di bilik berkenaan.

Shah Iskandar melilau mencari lokasi Pak Ramlan yang sudah berubah dengan sekelip mata. Ternyata Azazil masih lagi kuat ‘menghuni’ tubuh Pak Ramlan.

Kelihatan Pak Ramlan berada di atas palang rumah di atas kepala Shah Iskandar. Dengan sepantas kilat Shah Iskandar bergerak menuju ke tempat parangnya terpacak setelah dilontar sebentar tadi dan mencabutnya dengan sekali tarik. Dengan kuasa Allah SWT, parang yang dicabut tadi di lontar secara terus dari tempat ia dicabut dan meluncur laju menuju ke atas tetapi tidak menepati sasarannya.

Pak Ramlan ketawa berdekah-dekah kerana sangkanya Shah Iskandar tersasar.

“Kau kena banyak belajar melontar senjata Shah Iskandar!” sindir Azazil kuat.

Parang tadi meluncur ke abah-abah yang bertindak seperti jala getah yang menangkap dan melantunkan semula parang berkenaan ke pelontar dan ia bergerak tersangat laju dengan mata parang menghadap ke bawah.

Pak Ramlan baru tersedar bahawa ada bahawa menanti tanpa sempat untuk berbuat apa-apa apabila melihat wajah Shah Iskandar yang tersenyum di bawahnya. Parang berkenaan menembusi bahagian belakang dan menembusi tubuh Pak Ramlan. Azazil melompat keluar dari tubuh Pak Ramlan merasakan bahawa tubuh itu sudah tidak bernyawa lagi dan akhirnya rebah ke bawah di hadapan Shah Iskandar. Parang yang menembusi tubuh Pak Ramlan terpacak di tiang katil sambil melenting-lenting disebabkan kekuatan lontaran yang dibawanya bersama sebentar tadi.

Shah Iskandar bangkit dari tempatnya berlutut dan mencabut parangnya dan disimpan ke sarung. Dia berjalan ke arah tubuh yang terbujur kaku di tengah rumah. Perlahan-lahan kawasan yang dirasakan seperti dalam sebuah bilik beransur-ansur bertukar wajah. Memang sudah dijangkakan bahawa dia masih berada di kawasan jirat cina tersebut ketika mindanya dipermainkan dengan ilusi Azazil yang membuatkan dia menyangka dia sudah keluar dari kawasan berkenaan.

Shah Iskandar meraba dahinya yang disangkakan mempunyai luka selepas terantuk kepada stereng kereta dan luka berkenaan memang wujud dan masih sakit. Dia mengambil kain dan mengikat luka dikepalanya yang terasa sedikit pedih dan sakit.

Dilihatnya tubuh Pak Ramlan sudah ghaib.

Dia memandang ke kiri dan kanannya dan cuba mengamati lokasinya berada pada masa sekarang. Dia menjerit memanggil nama abah dan Sofea.

Tiba-tiba dia terdengar suara orang menangis. Dia cuba mengesan suara itu dan berjalan pantas menuju ke suara berkenaan. Semakin lama semakin jelas dan kuat suara berkenaan. Dia amat pasti suara itu adalah suara Sofea. Kemudian dia mendapati suara berkenaan terputus. Dia menjerit semula dan kedengaran seperti di bawah tapak kakinya.

Shah Iskandar melihat ke bawah dan mendapati ada rumput-rumput melitupi sesuatu yang berbentuk kurungan. Diselak-selak rumput kering berkenaan dan dilihatnya ada seorang perempuan di dalam kurungan dengan seorang lelaki yang pengsan.

Shah Iskandar mencari pintu kurungan berkenaan dan mendapati ada kunci mangga. Dia mengeluarkan parangnya dan dengan sekali tetak, mangga berkenaan patah.

“Sofea?…awak ke tu?” laung Shah Iskandar.

“Ya…siapa tu? Shah ke?” jawab Sofea dengan suara terputus-putus.

“Alhamdulillah…syukur kepada Allah” ucap Shah Iskandar di dalam hati.

“Ya saya…tunggu saya akan turun sekarang…” balas Shah Iskandar kepada Sofea.

§§

“Terima kasih Shah…” ucap Sofea setelah membuka matanya dan mendapati Shah Iskandar berada di hadapan katilnya bersama-sama ibunya dan Pakcik Sulaiman yang berpangku tangannya kerana patah.

Shah Iskandar sekadar memberikan isyarat anggukkan kepala tanda ucapan penghargaan.

“Syukur kepada Allah, Sofea selamat nak…” ucap Makcik Nina sambil mengesat air matanya yang mengalir. Dia bergerak ke tepi katil dan memeluk Sofea dengan erat.

Abah memandang aku dan tersenyum. Dia memegang bahuku sebelum dia keluar dari bilik wad Sofea. Aku mengikutinya dari belakang. Apabila kami berdua sudah keluar dari bilik wad, abah berjalan di sisiku sambil memegang bahuku.

“Apa jadi dengan Azazil bang?” soalnya kepadaku.

“Tak tahulah abah…dia menghilang terus lepas Pak Ramlan mati…” balasku pendek.

“Abah rasa dia dilaknat Allah SWT kerana mengganggu anak Adam…” balas abah semula sambil tersenyum.

“Mungkin…hanya Allah SWT sahaja yang tahu…” jawabku semula.

“Nanti share lah cerita abang bertarung dengan Azazil tu… abah pun nak tahu kesudahannya…” soal abah semula

Aku hanya tersenyum mendengar kata-kata abah. Apa yang penting semua sudah selamat dan ancaman Azazil sudah berakhir buat masa ini. Dia mungkin akan kembali dengan rancangan yang lebih kejam dan jahat. Aku mengharapkan bantuan Allah SWT untuk menentang dan berlawan dengannya sekiranya kami bertembung lagi.

=TAMAT=

 444 total views

Bab 29 – Pembalasan Azazil (BDSII)

Bab 29 – Pembalasan Azazil

Aku memandu keluar dari kawasan persembunyian kami ketika datang ke rumah Pak Ramlan. Memandangkan rumah berkenaan sudah hangus terbakar, aku dan abah beredar dari kawasan berkenaan secepat mungkin. Abah kelihatan keletihan dan aku terasa juga. Hari sudah semakin lewat petang dan kami menghampiri waktu alam berpindah masa dari siang ke malam dalam beberapa jam lagi. Dikepalaku berlegar berbagai persoalan ke mana hilangnya Pak Ramlan. Aku sangat pasti Azazil membantu dia melarikan diri dari kami.

Telefon abah berdering kuat menyebabkan abah terkejut kerana dia seakan hendak terlena buat seketika tadi. Dilihatnya tiada nama tertera ditelefonnya. Dia menjawab panggilan berkenaan sambil memandang ke arahku dengan perasaan penuh tanda tanya.

“Hello…” ucap abah dengan pemanggil dihujung talian.

Kedengaran suara garau yang agak marah.

“Sulaiman…dengar sini baik-baik…” balas suara berkenaan kepada abah. Dengan pantas abah menukar kepada ‘loud-speaker’ agar aku juga turut mendengar suara berkenaan.

“Aku nak kau dan anak kau berjumpa dengan aku di sebuah kawasan lapang disini…” sambung suara itu lagi. Kemudian talian tersebut terputus.

“Azazil…” respon abah selepas talian terputus.

Aku meneruskan pemanduanku dan memerhatikan kawasan di kiri dan kanan kami yang mungkin ada kawasan lapang seperti yang dikatakan oleh Azazil sebentar tadi. Dalam masa lebih kurang sepuluh minit perjalanan aku dapat mengesan sebuah kawasan lapang di hadapan kami disebelah kiri. Aku memandang ke arah abah dan menunjukkan kawasan berkenaan. Abah menganggukkan kepala tanda setuju dengan pendapatku.

Aku memberhentikan kenderaan dan keluar dari kenderaan diikuti dengan abah. Kami memerhatikan keadaan persekitaran. Kawasan berkenaan sangat sunyi. Aku melangkahkan kaki menuju ke arah kawasan berkenaan bersama-sama dengan abah. Kawasan berkenaan benar-benar lapang dan sejauh mata memandang. Aku menarik keluar parang dan bersedia dengan sebarang kemungkinan. Tiba-tiba aku mendapati diriku berseorang di kawasan berkenaan. Kawasan yang hanya diliputi tanah kosong tiba-tiba mengalami perubahan ekologi. Aku melihat kawasan tersebut bertukar menjadi sebuah taman yang sangat cantik dengan sekelip mata. Tumbuh-tumbuhan menghijau dan buah-buahan tumbuh dengan sekelip mata. Aku masih lagi bersiap sedia dengan parang ditangan. Aku sangat pasti ini adalah permainan syaitan. Ini adalah kerana aku gagal mengesan sebarang aura terhadap pandangan yang ku lihat pada masa ini. Aku berpusing-pusing seketika melihat sekelilingku. Aku kini berada disebuah taman yang indah dan cantik.

Pada waktu itu aku terlihat sesusuk lembaga yang berada dikejauhan sedang berjalan menuju ke arahku. Aku tidak dapat memastikan apakah lembaga berkenaan. Apa yang ku harapkan adalah lembaga berkenaan adalah Sofea yang masih hilang sehingga ke saat ini. Jika Sofea tiada di rumah Pak Ramlan, maka aku pasti Azazil telah menyorokkan beliau disuatu  tempat yang tidak diketahui. Ketika aku asyik berfikir, lembaga berkenaan semakin hampir denganku dan aku sudah dapat mengenalpasti lembaga berkenaan yang mempunyai susuk seorang wanita. Aku masih tidak berganjak dari tempat aku berdiri dan masih menanti kedatangan perempuan berkenaan.

Susuk itu semakin mendekati dan akhirnya berdiri dihadapanku. Wajahnya tidak menampakkan sebarang emosi dan dia seperti seseorang yang kehilangan arah. Apabila dia mengangkat wajahnya untuk memandangku, baru kusedari perempuan itu adalah Sofea yang sudah lama hilang. Tubuhnya kelihatan lemah dan dia hampir terjatuh ke tanah. Aku berjaya memangku badannya sebelum dia terhempas. Aku kemudian meletakkannya perlahan-lahan ke atas tanah. Rambutnya menutupi wajahnya. Aku cuba menyisir rambutnya dan aku terperanjat kerana perempuan itu bukan Sofea tetapi hanya rangka manusia. Aku segera melepaskan rangka berkenaan dan bingkas bangun. Ku perhatikan sekeliling dan aku masih tidak nampak sesiapa hatta abah sekalipun.

“Permainan apa yang kau mainkan ini Azazil?!” jeritku dalam hati.

Tanganku menggenggam erat semula parang dan bersedia untuk digunakan pada bila-bila masa. Aku memanggil-manggil abah sambil mataku berkeliaran ke seluruh kawasan berkenaan. Masih tiada apa-apa respon dari abah. Aku tidak mengetahui ke mana menghilangnya abahku. Aku terus melangkah dan aku mendengar bisikan-bisikan pelik di sekitarku. Aku menoleh ke kiri dan ke kanan untuk mengesan dari arah manakah bunyi bisikan tersebut. Aku terasa ada sesuatu dibalik rumput-rumput panjang yang tumbuh tinggi dikawasan persekitaran aku berada sekarang.

Tiba-tiba mataku menangkap sesuatu yang bergerak disebelah kananku. Ia sesuatu yang besar dan panjang. Mataku berjaya menangkap sesuatu yang mirip seperti ekor. Aku mengesyaki ada sesuatu yang besar akan menyerang aku pada bila-bila masa sahaja lagi. Lama aku bersedia menerima sebarang serangan tetapi tiada apa-apa yang berlaku. Kemudian kau mendengar satu suara. Aku mula melangkah mencari suara berkenaan. Mataku tidak henti-henti memerhatikan keadaan disekelilingku sepanjang perjalanan mencari dan mengesan suara yang ku dengar.

Aku sampai disebuah tembok besar dan tinggi. Aku melihat ke kiri dan ke kananku. Tampak seolah tidak ada pengakhiran kepada tembok yang ku hadap ini. Seolah-olah tiada penghujung di kedua-dua arah. Aku menadah tangan dan berdoa kepada Allah. Ku pejamkan mataku buat seketika. Kemudian ku buka mataku semula dan melihat tembok berkenaan sudah hilang. Aku mengucapkan syukur dan melangkah semula mencari suara berkenaan dan sampai disebuah rumah usang. Aku amat pasti suara berkenaan datang dari dalam rumah berkenaan.

Baru sahaja aku ingin melangkah menuju ke pintu rumah, aku mendengar jeritan menjerit kesakitan. Suara itu mirip suara abah. Aku menjadi sedikit bimbang dengan keselamatan abah. Aku menghunus semula parang ditanganku dan berjalan pantas ke arah pintu rumah. Aku memberi salam dan tiada sebarang sahutan dari dalam. Aku kemudian menendang pintu berkenaan dengan lafaz Allahuakbar dan pintu berkenaan terbuka. Aku berhati-hati memasuki rumah berkenaan dan melihat rumah berkenaan kosong. Tiada apa-apa yang ku temui di dalamnya. Aku mengambil keputusan untuk melangkah keluar dari rumah berkenaan.

Selepas sahaja aku berada di luar, aku melihat aku sudah berada di tempat lain. Aku berada di tepi jalan raya dan berada dalam jarak sepuluh kaki dari tempat aku meletakkan kenderaanku. Cumanya yang ku hairankan hari sudah siang. Kalau tidak silap semasa aku dan abah sampai di kawasan lapang ini hari sudah menjengah malam. Aku memusingkan kepalaku dan aku bertambah terkejut kerana kawasan lapang yang ku sangkakan semalam sudah berubah menjadi jirat cina. Ternyata pandanganku telah dipermainkan oleh Azazil.

Kini, aku bertambah risau dengan keselamatan abah. Parang yang ku genggam ku simpan semula ke dalam sarungnya dipinggangku. Abah dan Sofea hilang sekarang dan aku tidak tahu keberadaan mereka berdua. Nyawa mereka mungkin terancam dan aku tiada pilihan lain selain mencari mereka dengan kadar segera.

 305 total views

Bab 28 – Perlawanan Ulangan (BDSII)

Bab 28 – Perlawanan Ulangan

“Mungkin ini rumahnya…” bisik abah perlahan kepadaku.

Aku bergerak menuju ke rumah tersebut. Kemudian langkahku terhenti apabila melihat beberapa susuk lembaga berlegar-legar di sekeliling kawasan rumah berkenaan.

“Ada penjaga rumah rupanya…” ucapku perlahan sambil memandang ke arah abah.

“Kita mesti berhati-hati…” amaran abah perlahan.

Kami berlindung dibalik sebuah batu besar yang berada dalam jarak lima puluh meter dari rumah berkenaan. Aku menghadap abah sambil meletakkan jari telunjuk ke bibirku. Abah segera memahami maksudku dan membongkok dengan pantas.

Salah satu lembaga berkenaan terlihat memandang ke arah Shah Iskandar dan abahnya berselindung. Ia seolah-olah merasakan suatu kehadiran manusia disekitar kawasan berkenaan. Namun demikian, Shah dan abahnya sudah membaca beberapa potong ayat agar Allah melindungi mereka daripada penglihatan makhluk jahat berkenaan. Setelah beberapa ketika, lembaga berkenaan kembali berlegar-legar di kawasan berkenaan apabila tiada apa-apa ancaman dikesan olehnya.

Abah memanjangkan lehernya untuk memerhatikan keadaan semasa setelah Shah memberikan isyarat untuk memerhatikan situasi berkenaan. Abah memberikan isyarat selamat kepadaku.

Aku menyusup perlahan ke sebuah pokok yang rimbun dengan daunnya. Pada ketika itulah aku terlihat sebuah pedang panjang dilibas separa badan ke arahku. Aku segera menundukkan kepalaku dengan pantas bagi mengelak libasan pedang itu dari menebas leherku. Aku segera bangkit dan berundur segera ke belakang. Kemudian keluar seorang lelaki berbadan besar dan tegap dari balik pokok berkenaan. Kemudian dia ditemani oleh beberapa lagi lelaki yang masing-masing memegang senjata tajam di tangan masing-masing. Abah segera datang ke arahku dan menyertaiku bersiap sedia dengan serangan para penjaga rumah berkenaan.

Kesemua mereka bermata merah dan berada dalam keadaan seolah-olah dirasuk. Dengan pantas mereka berjaya mengepung kami dalam bentuk sebuah bulatan. Abah berdiri dibelakangku dengan menghadap orang-orang berkenaan. Aku pula berdiri dibelakang abah sambil menghadap musuh kami juga.

“Aku rasa baik korang berambus dari sini sebelum aku bunuh kamu semua” gertakku kepada mereka yang mengelilingi kami berdua.

Mereka tidak mengendahkan amaranku. Abah memberikan isyarat kepadaku dengan menyentuh belakangku agar bersiap sedia untuk bertempur dengan talibarut Azazil ini. Kami berdua masing-masing menarik keluar parang yang diselit dipinggang masing-masing perlahan-lahan.

Salah seorang lelaki berkenaan cuba menetakku dengan pedang panjangnya dan aku segera melompat kesebelah kananku dan abah pula melompat kesebelah kanannya. Kini tiga orang lelaki bergerak ke arahku dan tiga orang lagi bergerak ke arah abah.

Aku cuba ditikam dari belakang oleh seorang lelaki berkenaan secara tiba-tiba. Aku mengelak dan menjatuhkan badanku ke sebelah kiriku sambil menahan diriku dengan tangan kiriku diatas tanah. Kaki kananku menyepak pergelangan tangan lelaki berkenaan yang sedang memegang sebilah parang menyebabkan parang berkenaan tercampak ke udara. Kaki kiriku dihayun tepat ke dadanya dengan laungan Allahuakbar menyebabkan lelaki berkenaan tercampak beberapa meter dari tempat dia berdiri sebentar tadi. Lelaki berkenaan terhumban ke arah semak-samun disebelah belakangnya sambil mengerang kesakitan. Selepas melihat rakannya tercampak jauh, seorang lagi cuba menerkam sambil menghunus sebilah parang tepat ke arahku yang sedang berada di atas tanah dalam keadaan tidak bersedia. Aku segera menangkap pergelangan tangannya yang sedang memegang senjata dan melibas parangku ke arahnya tetapi dia juga berjaya menangkap pergelangan tanganku. Kami berdua seakan terkunci dengan pergerakan kami sendiri. Dia memegang tanganku dan aku memegang tangannya. Aku kemudian mengangkat kedua-dua kakiku ke arah dadanya dan membuat balik kuang ke arah belakang menyebabkan lelaki berkenaan tercampak ke belakang dengan laungan Allahuakbar. Dia tercampak dan menghempas batang pokok besar dibelakangku. Selepas itu, aku dapat merasakan satu libasan pedang yang berjaya ku tahan dengan parang yang ku pegang. Kuat bunyi perlanggaran pedang dan parangku yang menyelamatkanku dari dipancung oleh lelaki seorang lagi. Aku membuat pusingan kaki untuk menjatuhkannya tetapi tidak berjaya kerana dia berjaya melompat mengelak seranganku itu. Kemudian dia membuat balik kuang diudara untuk berada dalam jarak lima kaki dari kedudukanku. Dengan lafaz bismillah dan laungan Allahuakbar aku membaling parangku tepat ke arahnya dan lelaki berkenaan jauh terlentang dengan parang yang terpacak didadanya.

Manakala abah pula turut berjaya menewaskan kesemua musuhnya dan berdiri tegak ditempatnya kira-kira sepuluh kaki dari tempat aku berdiri. Dia memberikan isyarat bagus kepadaku dan berjalan ke arahku. Kini kawasan rumah berkenaan sudah tiada sebarang kawalan keselamatan lagi.

Kami berdua berjalan pantas ke arah rumah berkenaan. Sampai di depan rumah tiba-tiba pintu rumah berkenaan terbuka dan kelihatan seorang lelaki separa usia berdiri dihadapan pintu berkenaan. Dia berjalan perlahan keluar dari rumahnya dan menepuk-nepuk tangannya.

“Shah Iskandar dan abahnya…akhirnya sampai juga ke sini…” ucap Pak Ramlan kepada kami berdua.

“Pak Ramlan…dimana syaitan yang kau damping tu?!” balasku dengan kuat.

Pak Ramlan hanya tersenyum mendengar jeritanku dari atas tanah depan rumahnya. Dia berjalan ke tepi beranda rumahnya dan memaut kayu palang diatas kepalanya. Terlihat tasbih berbentuk bulat yang bersaiz besar berwarna hitam tergantung dilehernya.

“Kau dah banyak menyusahkan aku Shah!” bentak Pak Ramlan pula.

“Sudahlah Ramlan! Baik kau menyerah sahaja sebelum nasib kau sama seperti orang-orang kau kat balik pokok sana..” ucap abah kepada Pak Ramlan.

Pak Ramlan melihat ke arah yang ditunjukkan oleh abah. Dilihatnya semua orang-orangnya sudah tumbang. Dia kemudian memalingkan pandangannya ke arah aku dan abah.

“Celakalah korang…” ucap Pak Ramlan sambil membaca serapah mantera dan menghembus ke arah kami berdua.

Dengan tiba-tiba ada rangka tangan keluar dari dalam tanah dan memegang dan mencengkam kedua-dua kakiku dan juga kaki abah menyebabkan kami tidak dapat bergerak. Abah dengan segera mencangkung dan menepuk tanah dengan kedua-dua telapak tangannya dengan laungan Allahuakbar. Dengan serta merta rangka tangan berkenaan masuk semula ke dalam tanah dan tanah yang lobos itu terkatup semula.

Aku dan abah lebih berhati-hati lagi selepas itu kerana Pak Ramlan bermain dengan ilmu hitam untuk menentang kami. Kami berjaga-jaga dengan kawasan sekitar kami kerana tidak mahu sesuatu yang tidak dijangka berlaku lagi.

Belum habis aku memikirkan apa lagi sihir yang ingin dilakukannya, tiba-tiba keluar dari dalam tanah dua ekor ular besar berwarna hitam yang berada di kiri dan kanan kami berdua. Pak Ramlan memberi isyarat kepada ular-ular berkenaan untuk menyerang aku dan abah.

Abah memberikan isyarat secara telepati kepadaku agar memacakkan dulu parang kami ke dalam tanah dan menarik keluar parang berkenaan sebelum melibas kepala ular-ular berkenaan. Aku menganggukkan kepala dan aku memacakkan parangku ke dalam tanah ketika ular itu datang menyerang. Sebelum sempat dia melakukan serangan, parangku sudah memutuskan kepalanya dari badannya. Bangkai ular berkenaan terbakar dan bertukar menjadi abu dalam sekelip mata. Abah juga berjaya membunuh ular berkenaan.

Pak Ramlan masih lagi berdiri diberanda rumahnya. Dia berpeluk tubuh dan mula membaca mantera semula. Dia memejamkan matanya. Kami berdua bersiap sedia dengan serangan yang seterusnya. Aku memerhatikan keadaan sekeliling dan abah juga melakukan perkara yang sama.

Secara tiba-tiba juga Pak Ramlan sudah ghaib dari beranda rumahnya. Aku segera bergegas naik ke rumah berkenaan diikuti dengan abah. Ketika aku bergerak ingin memasuki rumah berkenaan abah menahanku dari memasukinya.

“Tunggu abang…” ucap abah kepadaku.

Aku memandang ke arah abah dan melihat wajahnya yang curiga. Aku menganggukkan kepala. Kami berundur dari rumah berkenaan dan turun ke bawah. Dengan tiba-tiba satu halilintar menyambar rumah berkenaan menyebabkan rumah berkenaan terbakar dengan pantas sekali. Kami hanya mampu melihat rumah berkenaan hangus terbakar dihadapan kami. Tiba-tiba hujan gerimis dan abah memberi isyarat agar kami segera pulang dan meninggalkan kawasan berkenaan.

 282 total views

Bab 27 – Datuk Murad Tewas (BDSII)

Bab 27 – Datuk Murad Tewas

Datuk Murad di tangkap ketika ingin keluar dari Malaysia melalui exit KLIA. Pihak polis yang sedang mencari suspek yang disyaki ada kaitan dengan pembunuhan dua orang ahli lembaga pengarah syarikat Cemerlang Venture berjaya ditahan selepas pihak imigresen memaklumkan kepada pihak polis kerana Datuk Murad telah disenaraihitamkan untuk keluar negara. Beliau yang tidak memberikan sebarang reaksi ketika ditahan hanya mengikut sahaja arahan pihak polis agar memberikan kerjasama.

Pihak polis telah membawa Datuk Murad untuk ditahan bagi menjalankan siasatan lanjut berkenaan kes pembunuhan misteri rakan bisnis Datuk Murad dalam syarikat Cemerlang Venture. Pihak polis juga percaya bahawa kehilangan Sofea yang masih gagal ditemui ada kaitan dengan Datuk Murad yang dikatakan antara suspek utama kes selain tragedi yang menimpa Asad.

Apabila ditanya oleh wartawan, Datuk Murad hanya bersikap pasif dan bersahaja. Dia hanya melihat sahaja para wartawan yang mengerumuni KLIA pada hari ini mengambil gambarnya dan merakam video penahanannya oleh pihak polis.

Tiada langsung unsur-unsur terkejut mahupun tentangan dari Datuk Murad ketika dia dibawa menuju ke kereta peronda polis. Dia dimasukkan ke dalam kereta dan dibawa pergi oleh pihak polis untuk membantu siasatan lanjut berkenaan kematian tragis Datuk Kassim dan Datuk Halim.

 255 total views

Bab 26 – Kembar Ditahan (BDSII)

Bab 26 – Kembar Ditahan

Shah Iskandar dan abahnya telah memaklumkan lokasi mayat Asad ditemui kepada pihak polis dan menyalurkan beberapa bukti yang mengaitkan Arina dan Arini dengan kes pembunuhan tersebut berdasarkan maklumat-maklumat yang telah dikumpul. Memang jelas kembar berkenaan merupakan orang terakhir yang dilihat bersama Asad dan mempunyai motif ke atas pembunuhan tersebut.

Arina dan Arini tidak mengaku salah atas tuduhan yang dilontarkan kepada mereka namun terpaksa menelan sahaja apabila bukti melalui CCTV menunjukkan mereka memasukkan Asad ke dalam bonet kereta yang merupakan kenderaan milik mereka di salah sebuah stesen minyak yang paling dekat dengan lokasi mayat Asad ditemui.

Bonet kereta mereka juga didapati ada kesan-kesan darah walaupun ianya telah dicuci bersih oleh kedua-dua suspek. Pakaian yang berlumuran darah juga ditemui dan didapati mempunyai DNA kedua-duanya. Darah yang ada dipakaian berkenaan disahkan adalah darah mangsa yang dibunuh iaitu Asad.

Setelah memberikan keterangan kepada pihak polis aku dan abah keluar dari balai dan berbincang pula mengenai keberadaan Sofea yang masih tidak ditemui sehingga kini. Pihak polis telah pun memulakan siasatan dan masih belum berhasil untuk menemui wanita malang berkenaan.

Aku difahamkan bahawa Sofea dikatakan dipanggil oleh seorang pegawai penyiasat polis untuk diambil keterangannya tetapi pihak polis menafikan ada membuat temujanji ataupun memohon kehadiran beliau ke balai. Aku percaya ini tentu kerja Azazil dan hambanya Pak Ramlan yang menipu Sofea untuk keluar dan seterusnya menculik wanita berkenaan.

Abah mengajakku untuk ke lokasi dimana Sofea dikatakan terbabas ketika memandu keretanya. Aku menggelengkan kepala tetapi aku mengesyorkan kepada abah agar kami ke rumah Pak Ramlan. Mungkin ada sesuatu disana yang boleh membantu kami untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kehilangan Sofea, usulku. Abah menganggukkan kepala dan kami bergegas menuju ke rumah Pak Ramlan.

Abah mengingatkan kepadaku bahawa kami mesti bersiap-sedia untuk menghadapi segala kemungkinan. Ini adalah kerana kami tidak tahu apa yang akan kami hadapi apabila tiba disana nanti.

 289 total views,  1 views today