Cerita Santai “Mama Said”

Spread the love

Mama cakap aku ni umpama buku yang terbuka, macam-macam boleh ditulis di dalamnya. Jadi pastikan apa yang nak ditulis tu perkara-perkara yang baik-baik sahaja. Aku ingat lagi katanya, api yang paling hujung itu adalah api yang paling cepat terbakar dan aku kena ingat perkara ini elok-elok. Anak lelaki ni hatinya milik mamanya. Susah mamanya nak lepaskan sebab anak lelaki ini penawar kekuatan. Namun usiaku yang semakin meningkat menyebabkan aku terpaksa meninggalkan mamaku yang keseorangan kerana aku perlu belajar tentang dunia yang berada diluar rumahku. Bukan aku tidak sayang mamaku lagi tapi meneroka dunia baru adalah impianku yang terpendam. Kadang-kadang perkara yang paling sukar itu adalah mengambil keputusan untuk diri sendiri. Keputusan itu perit dan mungkin menyakitkan, terutamanya kepada orang yang tersayang. Mamaku cakap lagi, aku ada masa yang sangat panjang untuk meneruskan hidup ini tetapi dia tidak cukup masa lagi. Oleh itu mamaku cakap sentiasalah berdoa untuknya kalau dia sudah tiada lagi di dunia ini. Aku jadi bingung dan keliru. Aku anak mama yang tidak pernah melawan atau meninggikan suara sekalipun dalam hidup aku. Mamaku adalah mamaku yang seorang. Kami tinggal berdua sahaja sejak aku kecil sehingga aku dewasa. Aku bermain dalam duniaku yang mamaku cipta dan hasilkan.
Aku harus keluar hari ini. Aku terpaksa tinggalkan kau mamaku.
Mamaku sedih dan akur dengan keputusanku.
Mamaku cakap, wahai anakku, kau dah besar panjang, mama faham perasaanmu, mama faham kehendakmu sayang, mama tidak mahu lagi menghalangimu, pergilah anakku. Nikmatilah keindahan dunia ini, hadapilah dugaan dunia ini, rasailah apa yang kau ingini, cuma janganlah kau lupakan mamamu ini yang akan menantimu pulang suatu hari nanti.
Aku menatapnya buat kali terakhir. Aku meronta-ronta jiwaku. Jiwa yang terpasak kepada mamaku. Aku menahan cengkaman batinku ke wajahnya. Mamaku cakap, pergilah sayang, mama akan menunggumu selagi termampu. Air mataku berlinang, membasahi pipiku yang kering hatinya.
Aku melangkah keluar tanpa menoleh lagi.
Mama melambaiku tanpa ku sedari.
Aku memang terasa tetapi aku tidak sanggup menatapnya.
Aku akan kembali mama, percayalah.
Ya, aku kembali dan hanya dapat menatap tulisan namanya di atas batu. Batu simbolik. Batu yang menjadi tanda. Batu yang kejam. Batu yang tidak berperikemanusiaan kerana menyimpan mamaku jauh ke dalam perut bumi.
Alfatihah buat mamaku yang ku cintai sepenuh jiwa dan ragaku.

Fatimah Binti Mohamad
1953-2004
Al fatihah

31 total views, 1 views today

Leave a Reply