CERITA SANTAI IV

Spread the love

Cerita Santai IV

Petang tu hujan turun dengan lebat. Aku berhenti sekejap kat hentian motor bawah jambatan menghala ke jalan parlimen. Masa aku buka helmet nampak macam ada orang tengah mencangkung kat atas bukit kat tepi tempat aku parking motor. Aku buat tak tahu sahaja sebab aku beranggapan gelandangan kot. Aku mengelap muka dan kepala dengan tangan. Mata aku sekali lagi menjeling kat orang yang mencangkung tadi.
“Eh…ke mana pula hilangnya?”
Mataku memandang sekitar kawasan. Tiada sesiapa di bawah jambatan ni. Sesekali terpancar kilat dilangit menerangi kawasan bawah tempat aku berteduh ni. Suasana makin bertambah gelap disamping hujan yang turun mencurah-curah dari langit. Aku melihat jam ditangan, baru jam 6.40 petang. Kalau melihat keadaan sekitar ni dah nampak macam jam 7.30 malam. Aku memerhatikan persekitaran dan mendapati ada 2 buah motor berada dihadapan aku, turut berteduh.
“Eh…bila masa motor ni ada kat depan aku?”
Aku semakin resah melihat motor dihadapan aku. Kelihatan ada dua orang yang tidak dikenali sedang duduk di atas motor masing-masing. Aku tidak dapat melihat wajah mereka kerana masing-masing menghadap ke hadapan.
“Boleh jadi masa aku lap muka tadi kot motor-motor ni masuk sini”
Aku kembali tenang dengan diriku sendiri. Bunyi guruh yang berdentum kuat bergema dibawah tempat aku berteduh. Ini menyebabkan aku terkejut dan beristighfar panjang. Mataku menangkap kilat yang memanah dua penunggang motor dihadapanku dengan serta merta dan sekaligus. Mereka terjatuh dari motor dan menggelepar seperti ayam baru disembelih. Dalam kesamaran suasana itu aku terdengar jeritan kuat. Aku panik. Aku terus melompat turun dari motor untuk melihat keadaan mereka yang disambar kilat sebentar tadi. Baru sahaja aku ingin melangkah, terdengar lagi satu dentuman yang sangat menyilaukan. Aku terpaksa menghentikan langkahanku. Aku melindungi cahaya terang itu dengan belakang tapak tangan yangku letak diposisi mataku. Sebaik sahaja keadaan kembali normal, aku bergegas ke tempat orang-orang yang terkena panahan kilat tadi. Aku menjadi bingung sebentar.
“Eh, mana diorang ni?”
Apa yang dapat ku lihat pada masa itu hanya air hujan yang membasahi kawasan itu akibat turun dari atas bukit tersebut. Tiada sesiapa disitu. Tiada jasad, tiada manusia yang terbaring ditempat aku melihat mereka dipanah kilat tadi.
Aku kembali resah. Dadaku berdebar-debar. Mataku meliar. Aku rasa terancam dengan serta-merta. Dalam keadaan jiwa yang kacau itu aku bercadang untuk segera pergi dari tempat perteduhan ini. Baru sahaja aku ingin melangkah menuju ke motorku, terlihat seseorang diatas motorku.
Kakiku seolah-olah terpaku. Begitu berat rasanya. Dengan spontan sahaja aku melafazkan azan dibawah jambatan tersebut. Kedengaran gema azan seolah-olah menggegarkan persekitaran. Ku lihat makhluk yang sedang duduk diatas motorku menutup telinganya.
Jelas sekali makhluk itu bukan manusia. Ia melompat pantas dan menyusup laju naik ke kawasan bukit tersebut. Selesai aku melaungkan azan, aku terasa kakiku tidak lagi terpaku. Aku berjalan laju menuju ke motorku. Tiba-tiba aku tersadung sesuatu menyebabkan aku tersungkur diatas jalan. Mukaku terpercik air hujan yang bertakung. Apabila aku cuba bangun dan duduk, aku melihat tiada apa-apa yang menyebabkan aku terjatuh. Aku bingkas bangun dan kembali berdiri. Aku perlu segera pergi dari kawasan berpuaka ini.
Mataku melihat motorku diterbalikkan menyebabkan kedua-dua tayar motor naik ke atas dan tempat duduk di atas tanah. Aku semakin panik. Dengan sekuat tenaga ku, suara ku berkumandang dipersekitaran dengan bacaan ayat kursi. Kemudianku sambung dengan bacaan tiga kul dan diakhiri dengan ayat 21-24 surah al-hasyr.
Perlahan-lahan ku buka mataku. Keadaan terang. Hujan sudah reda. Aku dapati diriku berlutut di hadapan motorku. Aku melihat sekitar. Keadaan tenang. Aku mengucapkan syukur berkali-kali…alhamdulillah ya allah, alhamdulillah ya allah, alhamdulillah ya allah…terima kasih!

172 total views, 2 views today

Leave a Reply