Cerita Santai II

Spread the love

Cerita Santai II

Malam tu aku balik kerja lewat. Tapi aku dah maklum dengan isteriku yang tersayang. Aku tak mahu dia tertunggu-tunggu aku balik. Lebih baik dia tidur sebab aku faham kerjanya dirumah banyak. Dahlah kerja kat ofis menimbun balik rumah  nak uruskan anak, suami dan macam-macam lagi. Sebagai seorang suami yang amat memahami seorang isteri, aku tak boleh biar dia hadap sorang-sorang, mana yang aku boleh hulur bantuan, aku akan salurkan dengan seberapa segera sebab tanggungjawab mengurus keluarga adalah peranan kami berdua selaku top level management. Berbalik kepada cerita asalnya, aku lepas punch kad keluar , aku pun terus menuju ke pintu lif untuk turun. Dalam masa menunggu lif sampai, aku rasa keadaan masa tu sunyi sesunyinya. Aku pandang keliling aku. Tiada sesiapa. Jam hampir menunjukkan 1.01 pagi pada ketika itu. Dadaku tiba-tiba berdebar. Aku sekali lagi memandang ke kiri dan ke kanan. Pada waktu tu aku terlihat seorang wanita yang agak tua kerana dia agak bongkok sedikit dan memegang sebatang tongkat ditangan kanannya, sedang menunggu lif yang sama.  Aku menjeling ke arah wanita tersebut untuk melihat wajahnya namun tersorok kerana dia memakai tudung yang sangat pelik sehingga menutupi hampir keseluruhan wajahnya. Aku pun bersangka baik sahaja dan tidak memikirkan sangat hal wanita tersebut. Kemudian aku dikejutkan dengan satu suara sapaan yang menegur aku. Aku segera menoleh namun tiada sesiapa disekeliling aku. Mana wanita tua tadi? Puas aku memerhati sekitar, langsung tiada bayangnya lagi. Ah, sudah semakin pelik situasi ini. Waktu berlalu pantas dan tak sedar waktu sudah menjangkau jam 2.30 pagi. Dua tiga kali aku lihat jam ditangan dan waktu tetap sama. Takkan lif sampai sejam lebih tak sampai-sampai. Aku mulalah fikir yang bukan-bukan. Pada waktu itu aku tak pasti samada aku berhalusinasi atau ini benar-benar sedang berlaku. Aku berjalan ke arah butang lif yang masih menyala dan menekan-nekan berulang kali untuk memastikan bahawa butang tersebut adalah berfungsi. Kemudian ada satu suara kat belakang aku menyapa. “Good evening sir”. Aku pun menoleh ke belakang dan melihat seorang pengawal keselamatan berdiri sambil tersenyum. Setelah melihat dia, aku menganggukkan kepala. “You naik lif ka naik tangga?”. “Saya naik tangga”. “Lif ok ka?”. “Lif ok”. Aku kembali menganggukkan kepalaku. Mendengar perkataan pengawal tu aku pasti lif ni akan terbuka sebentar lagi. Aku menoleh semula ke arah pengawal keselamatan tadi untuk bertanya sesuatu. Ku lihat dia sudah berjalan turun mengikut tangga kecemasan. Aku segera mengekorinya berdasarkan bunyi tapak kaki menuruni tangga. Aku mempercepatkan langkahanku menuruni tangga. Tiba-tiba aku sudah tidak mendengar bunyi tapak kaki tersebut lagi. Aku menghentikan langkahku. Keadaan sunyi sepi. Aku melihat ke atas. Aku tidak melihat ada sesiapa dan kelihatan agak jauh aku menuruni tangga. Kemudian aku melihat ke bawah, keadaan yang hampir serupa. “Ke mana pergi pengawal tadi. Laju betul dia..” bisik hati kecilku. Aku berjalan perlahan dan keluar melalui pintu kecemasan untuk mengenalpasti kedudukan tingkat dimana aku berada sekarang. Setelah menolak daun pintu aku terus berjalan keluar dan menuju ke lif. Terus berderau darahku melihat nombor tingkat yang terpapar! Ini tingkat ofis aku dan memang pasti sebab aku boleh lihat pintunya dan tempat yang sama ketika aku menuruni tangga mengejar pengawal sebentar tadi. Keadaan semakin mengelirukan apabila ku lihat jam ditanganku tepat jam 1.01 pagi. Inilah waktu yang sama selepas aku punch out keluar untuk menunggu lif tadi. Dan fikiranku terus berfikir laju, kerana pada waktu inilah aku bertemu dengan wanita tua tadi. Aku toleh ke belakangku dan ku lihat tiada sesiapa disekelilingku buat masa ini. Kemudian terasa seseorang menyentuh bahuku. Aku segera menoleh dan melihat pengawal keselamatan tadi. Kali ini rupanya agak mengerikan berbanding pada pertama kali aku bertemu dengannya. Aku terus dengan spontan melaungkan azan. “Allahu akbar allahu akbar!” Ketika selesai azan ku buka mata dan kulihat tiada sesiapa lagi yang berada disekitarku. Ku lihat semula jam ditanganku. Jam sudah menunjukkan 5.30 pagi. Pada ketika itu pintu lif terbuka. Aku dengan segera masuk dan menekan butang tutup lif!

68 total views, 1 views today

Leave a Reply