Cerita Santai…

Spread the love

CERITA SANTAI

Ada kawan saya ni sangat rajin bangun malam. Saya tanya kenapa? Dia jawab adalah. Oklah, saya tak tanya dah kenapa sebabnya. Suatu hari tu, dia datang pejabat muka sugul macam sedih pun ada, macam tak berapa gembira pun ada. Saya pun cuba dapatkan cerita dia. Saya tanya dia, kenapa muka tak ceria macam selalu? Ada masalah ke kat rumah? Mungkin saya boleh bantu. Boleh sahaja kalau nak berkongsi asalkan tak berkaitan dengan perkara peribadi. Maka, sahabat ini pun berceritalah perihalnya.

“Aku selalu juga bangun malam. Asal jam tiga pagi mata aku ni macam alarm clock mesti terjaga. Aku pun pelik kenapa. Tapi takpa la, aku bangun sahaja dan terus pi ambil wuduk untuk solat sunat. Macam biasalah, rumah aku time-time tidur memang semua lampu padam. Lampu yang menyala hanya dibahagian dapur sebab senang kalau anak-anak aku terjaga nak ke tandas, mereka tak lah takut sangat. Bukan apa takut mereka terkencing kat bilik tidur ja kalau takut sangat nak pergi tandas ataupun masuk bilik aku kejut untuk teman pergi tandas”

Sahabat aku terus bercerita selepas meneguk minumannya.

“Malam tu lepas aku terjaga, aku berjalan keluar dari bilik memang terasa gelap sangat. Aku jalan perlahan-lahan keluar dari bilik kemudian aku nampak bilik anak perempuan aku menyala. Aku jadi pelik sebab, jarang anak aku tidur lampu terpasang. Aku pun berjalan ke bilik dia dan berdiri kat depan bilik tu. Aku nampak lampu kat bawah pintu. Pada pandangan mataku ketika itu, seolah-olah lampu tu menyala dan menyebabkan bawah pintu tu bercahaya. Aku pun pusing tombol pintu dan cuba buka pintu bilik tu. Berkunci pula, lagilah aku pelik. Kenapa kakak kunci pintu? Panggilan anak perempuan aku ni kakak sebab dia seorang ja puteri dalam istana ini. Pastu aku teringat kunci pintu bilik ada dalam laci kat bilik. Aku pun patah balik ke bilik aku nak ambil kunci. Sampai ja depan bilik aku, ada lampu macam kat bilik anak perempuan aku pula. Pintu bertutup dan lampu menyala juga. Hatiku terus berdebar. Masya Allah, perkara  apa ini yang sedang berlaku. Aku cuba pusing tombol pintu bilik aku. Aku sangat pasti selepas aku keluar bilik tadi memang aku biar sahaja pintu terbuka, lagipun aku tak pernah kunci bilik sebab nanti kalau ada apa-apa kecemasan, anak aku boleh terus masuk bilik aku. Tapi sekarang ini keadaan menjadi sangat pelik. Pintu berkunci dan bilik aku menyala lampunya dari dalam. Sama juga hasilnya macam dihadapan bilik anak perempuan aku tadi, tombol tersebut berkunci”

Tiba-tiba akak gerai bawa mee goreng yang sahabat aku order tadi. Sambil mengucapkan bismillah, sahabat tadi segera membaham makanan yang masih panas tersebut. Aku hanya memerhatikan sahaja. Selepas beberapa suapan dilakukan, beliau menyambung semula ceritanya.

“Aku kemudian berpusing semula ke arah bilik anak perempuan aku dan melihat lampu dah terpadam sebab aku dah tak nampak cahaya dari bawah pintunya. Aku menyangka mungkin anak perempuan aku sudah menutup suis lampunya. Pintu juga ku lihat terbuka dan tidak lagi berkunci. Kemudian aku berpaling ke arah pintu bilik aku semula dan didapati lampu masih menyala dari arah bawah pintu. Aku cuba untuk membuka pintu tersebut tetapi gagal kerana ianya berkunci. Macam mana aku nak buka pintu ni? Semua kunci kat dalam laci bilik ini. Nak tak nak terpaksalah aku mengetuk pintu bilik untuk mengejutkan isteriku yang sedang tidur dengan harapan dia terdengar ketukan pintu tersebut. Mula-mula perlahan aku ketuk sambil memanggil-manggil namanya. Kemudian ku ketuk kuat sedikit dari yang mula-mula. Masih juga tiada jawapan. Keadaan sunyi sepi kerana aku tidak mendengar sebarang reaksi dari dalam. Alamak, isteriku tak dengarlah, macam mana nak kejutkan dia ni? Hatiku terus berdebar-debar sebab pintu bilik itu masih tidak terbuka dan lampu masih menyala dibawah kaki pintu. Aku kemudian menarik nafas panjang di hadapan bilikku ini. Aku bertekad nak mengetuk pintu bilik dengan kaki pula. Mungkin kekuatan kaki akan memberikan kesan yang maksima kepada orang yang berada didalam. Sebaik-baik sahaja aku nak menendang pintu dengan kaki, bahuku seperti dicuit orang. Aku terus berhenti untuk menghayunkan kaki ku ke pintu tersebut. Aku segera menoleh ke belakangku untuk melihat siapa yang mencuit bahuku sebentar tadi”

Sahabatku berhenti sejenak dan mengesat mulutnya dengan tisu selepas mee goreng telah selamat dimakan. Kemudian dia menyambung semula.

“Kau tahu tak siapa yang cuit bahu aku? Tanya sahabat ini kepadaku. Aku terus mengangkat bahuku untuk menyatakan bahawa aku tidak tahu siapa yang mencuit bahunya. Sahabat ini menceritakan bahawa tiada siapa yang dilihat dibelakangnya pada ketika itu dan siapa gerangannya yang mencuit bahunya menjadi misteri dalam sekelip mata. Aku pun tak tahu siapa yang cuit sebab bila aku pusing tiada siapa yang aku nampak atau lihat berada dibelakangku. Terus sahaja aku beristighfar berkali-kali kerana aku tidak mengerti apakah ujian yang sedang aku hadapi pada ketika itu. Kemudian aku berpaling semula ke arah pintu bilikku dan ku lihat lampu sudah terpadam dan pintu sudah ternganga seluas-luasnya. Ah! Tidak mungkin pintu ini terbuka dengan tiba-tiba kerana baru tadi ku lihat pintu ini berkunci dan lampu masih menyala di dalamnya. Aku terus melangkah masuk dan melihat isteriku sedang tidur. Apabila ku palingkan muka ku untuk keluar semula bagi mengambil wuduk kerana terbantut sebentar tadi, ku lihat bilik anakku kembali tertutup dan lampu menyala dari bawah pintu. Pada ketika ini, aku merasakan satu perasaan seperti sedang diperhatikan oleh sesuatu. Bulu romaku terus naik mendadak dan dadaku bergetar. Aku tidak pasti kenapa tiba-tiba aku menjadi gementar. Kenapa pintu bilik anak aku tertutup balik? Tadikan dah terbuka?”

Sahabatku ini kembali bersandar dikerusinya. Selepas meneguk air, dia menyambung ceritanya.

“Aku pun terus berjalan menuju ke bilik anak aku. Sampai kat depan pintu tu, aku terus masuk dan melihat isteriku sedang tidur! Eh! Mana anak perempuan aku? Baru tadi aku tengok isteriku tidur dibilik tidur kami sebentar tadi. Sekarang ni macam mana isteriku boleh tidur diatas katil anak perempuan ku pula? Tak masuk akal lah! Aku keluar semula dari bilik anakku dan berjalan menuju ke bilikku. Aku terperanjat sebab bilik tersebut tertutup dan ada lampu kat bawah pintu!! Aku jadi bertambah pelik dengan kejadian ini. Ku toleh semula ke arah bilik anak ku dan kulihat bilik tersebut juga sudah bertutup dan ada lampu kat bawah pintunya. Sekarang kedua-dua bilik sudah bertutup dan kelihatan seperti ada lampu menyala dari dalam. Aku menyandarkan badanku ke dinding rumah. Aku terus melabuhkan punggungku ke bawah dan duduk sekejap diantara bilikku dan bilik anakku. Aku mengusap-usap mukaku dengan kedua belah tanganku. Aku mula membaca surah kursi berulang-ulang kali. Aku pun tak ingat berapa kali aku dah baca sampai ke subuh rupanya sebab isteriku kejut aku yang sedang lena kat depan pintu bilik. Aku terpinga-pinga dan beristigfar berulang-kali. Kenapa abang tidur kat sini? Isteriku tanya”

Sahabat itu menggeleng-gelengkan kepala selepas selesai sesi dari hati ke hati bersama aku pada hari ni. Punya panjang cerita dia sampai dah nak masuk zohor.  Aku dan sahabat terus sahaja beredar dari tempat kami makan dan minum tadi. Moral of the story? Kawan-kawan boleh buat kesimpulan sendiri. Kalau sudi, boleh tinggalkan komen kat bawah ni. Kita boleh berbincang dan bertukar-tukar pandangan. Yang baik kita jadikan iktibar dan yang buruk kita jadikan sempadan. Santai-santaikan minda kita pada hari ini. Sekadar pengalaman yang diceritakan semula.

Shah Iskandar

80 total views, 1 views today

Leave a Reply