Bab 29 – Pembalasan Azazil (BDSII)

Spread the love

Bab 29 – Pembalasan Azazil

Aku memandu keluar dari kawasan persembunyian kami ketika datang ke rumah Pak Ramlan. Memandangkan rumah berkenaan sudah hangus terbakar, aku dan abah beredar dari kawasan berkenaan secepat mungkin. Abah kelihatan keletihan dan aku terasa juga. Hari sudah semakin lewat petang dan kami menghampiri waktu alam berpindah masa dari siang ke malam dalam beberapa jam lagi. Dikepalaku berlegar berbagai persoalan ke mana hilangnya Pak Ramlan. Aku sangat pasti Azazil membantu dia melarikan diri dari kami.

Telefon abah berdering kuat menyebabkan abah terkejut kerana dia seakan hendak terlena buat seketika tadi. Dilihatnya tiada nama tertera ditelefonnya. Dia menjawab panggilan berkenaan sambil memandang ke arahku dengan perasaan penuh tanda tanya.

“Hello…” ucap abah dengan pemanggil dihujung talian.

Kedengaran suara garau yang agak marah.

“Sulaiman…dengar sini baik-baik…” balas suara berkenaan kepada abah. Dengan pantas abah menukar kepada ‘loud-speaker’ agar aku juga turut mendengar suara berkenaan.

“Aku nak kau dan anak kau berjumpa dengan aku di sebuah kawasan lapang disini…” sambung suara itu lagi. Kemudian talian tersebut terputus.

“Azazil…” respon abah selepas talian terputus.

Aku meneruskan pemanduanku dan memerhatikan kawasan di kiri dan kanan kami yang mungkin ada kawasan lapang seperti yang dikatakan oleh Azazil sebentar tadi. Dalam masa lebih kurang sepuluh minit perjalanan aku dapat mengesan sebuah kawasan lapang di hadapan kami disebelah kiri. Aku memandang ke arah abah dan menunjukkan kawasan berkenaan. Abah menganggukkan kepala tanda setuju dengan pendapatku.

Aku memberhentikan kenderaan dan keluar dari kenderaan diikuti dengan abah. Kami memerhatikan keadaan persekitaran. Kawasan berkenaan sangat sunyi. Aku melangkahkan kaki menuju ke arah kawasan berkenaan bersama-sama dengan abah. Kawasan berkenaan benar-benar lapang dan sejauh mata memandang. Aku menarik keluar parang dan bersedia dengan sebarang kemungkinan. Tiba-tiba aku mendapati diriku berseorang di kawasan berkenaan. Kawasan yang hanya diliputi tanah kosong tiba-tiba mengalami perubahan ekologi. Aku melihat kawasan tersebut bertukar menjadi sebuah taman yang sangat cantik dengan sekelip mata. Tumbuh-tumbuhan menghijau dan buah-buahan tumbuh dengan sekelip mata. Aku masih lagi bersiap sedia dengan parang ditangan. Aku sangat pasti ini adalah permainan syaitan. Ini adalah kerana aku gagal mengesan sebarang aura terhadap pandangan yang ku lihat pada masa ini. Aku berpusing-pusing seketika melihat sekelilingku. Aku kini berada disebuah taman yang indah dan cantik.

Pada waktu itu aku terlihat sesusuk lembaga yang berada dikejauhan sedang berjalan menuju ke arahku. Aku tidak dapat memastikan apakah lembaga berkenaan. Apa yang ku harapkan adalah lembaga berkenaan adalah Sofea yang masih hilang sehingga ke saat ini. Jika Sofea tiada di rumah Pak Ramlan, maka aku pasti Azazil telah menyorokkan beliau disuatu  tempat yang tidak diketahui. Ketika aku asyik berfikir, lembaga berkenaan semakin hampir denganku dan aku sudah dapat mengenalpasti lembaga berkenaan yang mempunyai susuk seorang wanita. Aku masih tidak berganjak dari tempat aku berdiri dan masih menanti kedatangan perempuan berkenaan.

Susuk itu semakin mendekati dan akhirnya berdiri dihadapanku. Wajahnya tidak menampakkan sebarang emosi dan dia seperti seseorang yang kehilangan arah. Apabila dia mengangkat wajahnya untuk memandangku, baru kusedari perempuan itu adalah Sofea yang sudah lama hilang. Tubuhnya kelihatan lemah dan dia hampir terjatuh ke tanah. Aku berjaya memangku badannya sebelum dia terhempas. Aku kemudian meletakkannya perlahan-lahan ke atas tanah. Rambutnya menutupi wajahnya. Aku cuba menyisir rambutnya dan aku terperanjat kerana perempuan itu bukan Sofea tetapi hanya rangka manusia. Aku segera melepaskan rangka berkenaan dan bingkas bangun. Ku perhatikan sekeliling dan aku masih tidak nampak sesiapa hatta abah sekalipun.

“Permainan apa yang kau mainkan ini Azazil?!” jeritku dalam hati.

Tanganku menggenggam erat semula parang dan bersedia untuk digunakan pada bila-bila masa. Aku memanggil-manggil abah sambil mataku berkeliaran ke seluruh kawasan berkenaan. Masih tiada apa-apa respon dari abah. Aku tidak mengetahui ke mana menghilangnya abahku. Aku terus melangkah dan aku mendengar bisikan-bisikan pelik di sekitarku. Aku menoleh ke kiri dan ke kanan untuk mengesan dari arah manakah bunyi bisikan tersebut. Aku terasa ada sesuatu dibalik rumput-rumput panjang yang tumbuh tinggi dikawasan persekitaran aku berada sekarang.

Tiba-tiba mataku menangkap sesuatu yang bergerak disebelah kananku. Ia sesuatu yang besar dan panjang. Mataku berjaya menangkap sesuatu yang mirip seperti ekor. Aku mengesyaki ada sesuatu yang besar akan menyerang aku pada bila-bila masa sahaja lagi. Lama aku bersedia menerima sebarang serangan tetapi tiada apa-apa yang berlaku. Kemudian kau mendengar satu suara. Aku mula melangkah mencari suara berkenaan. Mataku tidak henti-henti memerhatikan keadaan disekelilingku sepanjang perjalanan mencari dan mengesan suara yang ku dengar.

Aku sampai disebuah tembok besar dan tinggi. Aku melihat ke kiri dan ke kananku. Tampak seolah tidak ada pengakhiran kepada tembok yang ku hadap ini. Seolah-olah tiada penghujung di kedua-dua arah. Aku menadah tangan dan berdoa kepada Allah. Ku pejamkan mataku buat seketika. Kemudian ku buka mataku semula dan melihat tembok berkenaan sudah hilang. Aku mengucapkan syukur dan melangkah semula mencari suara berkenaan dan sampai disebuah rumah usang. Aku amat pasti suara berkenaan datang dari dalam rumah berkenaan.

Baru sahaja aku ingin melangkah menuju ke pintu rumah, aku mendengar jeritan menjerit kesakitan. Suara itu mirip suara abah. Aku menjadi sedikit bimbang dengan keselamatan abah. Aku menghunus semula parang ditanganku dan berjalan pantas ke arah pintu rumah. Aku memberi salam dan tiada sebarang sahutan dari dalam. Aku kemudian menendang pintu berkenaan dengan lafaz Allahuakbar dan pintu berkenaan terbuka. Aku berhati-hati memasuki rumah berkenaan dan melihat rumah berkenaan kosong. Tiada apa-apa yang ku temui di dalamnya. Aku mengambil keputusan untuk melangkah keluar dari rumah berkenaan.

Selepas sahaja aku berada di luar, aku melihat aku sudah berada di tempat lain. Aku berada di tepi jalan raya dan berada dalam jarak sepuluh kaki dari tempat aku meletakkan kenderaanku. Cumanya yang ku hairankan hari sudah siang. Kalau tidak silap semasa aku dan abah sampai di kawasan lapang ini hari sudah menjengah malam. Aku memusingkan kepalaku dan aku bertambah terkejut kerana kawasan lapang yang ku sangkakan semalam sudah berubah menjadi jirat cina. Ternyata pandanganku telah dipermainkan oleh Azazil.

Kini, aku bertambah risau dengan keselamatan abah. Parang yang ku genggam ku simpan semula ke dalam sarungnya dipinggangku. Abah dan Sofea hilang sekarang dan aku tidak tahu keberadaan mereka berdua. Nyawa mereka mungkin terancam dan aku tiada pilihan lain selain mencari mereka dengan kadar segera.

54 total views, 1 views today

Leave a Reply