Bab 19 – Pembunuhan (BDSII)

Spread the love

Bab 19 – Pembunuhan

“Kau kena bunuh Datuk Kassim dan Datuk Halim hari ini juga!” bentak Pak Ramlan.

Datuk Murad hanya menganggukkan kepalanya tanpa banyak soal.

“Mereka berdua sudah tahu hubungan sulit kau dengan isteri mereka…” sambung Pak Ramlan lagi.

Datuk Murad masih diam membisu di kerusinya.

“Ambil ini untuk bantu kau!” desak Pak Ramlan sambil menyerahkan sesuatu kepada Datuk Murad.

Datuk Murad melihat ditangan Pak Ramlan senjata berkenaan dan mengambilnya sambil bangun dari kerusi dan berjalan menuju ke pintu keluar bilik mesyuarat berkenaan. Pak Ramlan sudah ghaib entah kemana sebaik sahaja Datuk Murad keluar dari pintu berkenaan dengan membawa senjata yang diberikan olehnya.

Datuk Murad kelihatan seperti orang yang terpukau dan berjalan sepantas kilat sebaik sahaja dia keluar dari bilik mesyuarat berkenaan. Dia merangkak ke siling dan bergerak pantas tanpa disedari oleh sesiapa pun yang berada di laluan yang dilaluinya kerana di merangkak di atas siling.

Dia kelihatan sedang mencari seseorang dan bergerak pantas sehinggakan tiada sesiapapun yang perasan kehadirannya di situ. Dia terlihat mangsanya memasuki tandas dan dia bergerak pantas di atas siling untuk mencari mangsanya yang sudah dikenal pasti.

Datuk Kassim sedang mencuci mukanya ketika itu dan menadah air di sinki untuk disapukan ke mukanya. Setelah dia selesai dia mendengar bunyi aneh dari dalam tandas. Bunyi berkenaan berbunyi seolah-olah ada seseorang didalamnya. Dia bergerak ke arah tandas dan menolak daun pintu dan melihat tandas berkenaan baru sahaja ditarik pamnya tanpa ada sebarang kelibat dilihat. Dia menjadi bertambah pelik selepas itu apabila mendengar bunyi air paip di sinki dibuka.

Dia kembali berjalan ke sinki dan mendapati paip air berkenaan telah dibuka dan menyebabkan airnya mengalir keluar. Tiba-tiba sahaja bulu romanya tegak setelah secara sekilas dia melihat sesuatu yang menyeramkan di dalam cermin yang dilihat. Dia melihat refleksi wajahnya di dalam cermin berkenaan melambai-lambaikan tangannya dengan tiba-tiba walaupun dia tidak pun melakukan yang demikian. Datuk Kassim menoleh ke arah belakang dan mendapati Datuk Murad berada di belakangnya dan terus menikamnya berkali-kali tanpa henti. Dia cuba menjerit tetapi mulutnya ditutup oleh tangan Datuk Murad yang terus-menerus menikam perut, dada dan celah kelangkangnya dengan kuat. Darah pekat yang mengalir terus membasahi lantai dan Datuk Kassim yang sudah tidak berupaya menahan kesakitan terus rebah ke lantai. Matanya terbeliak dan dia sudah menghembuskan nafasnya yang terakhir di dalam bilik air berkenaan. Datuk Murad melangkah perlahan keluar dari bilik berkenaan.

§§

Datuk Halim baru sahaja masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin. Beliau juga menghidupkan suis penghawa dingin dan radio di dalam keretanya. Kemudian tiba-tiba ada sesuatu yang menghempas bumbung keretanya dengan kuat. Beliau terkejut dan memasang telinga semula untuk mengenalpasti apa sebenarnya yang terjadi sebentar tadi. Dia mendengar seperti bumbung keretanya dicakar-cakar dengan sesuatu yang tajam. Bulu roma Datuk Halim naik dengan tiba-tiba dan dia bercadang untuk keluar dan melihat apa yang telah menghempap bumbung keretanya.

Dengan tiba-tiba radio kereta bertukar-tukar siaran tanpa henti dan menyebabkan bunyi yang pelik dari dalam kereta kerana saluran yang diubah-ubah ke pelbagai saluran radio. Wiper kereta juga bergerak secara tiba-tiba dan menyebabkan suasana panik selepas alarm kereta berbunyi berulang-ulang kali.

Datuk Halim segera keluar dari keretanya dan mendapati beliau sudah semeter jauh dari keretanya sendiri. Selepas sahaja beliau keluar, keadaan kembali normal. Datuk Halim baru teringat perkara yang menyebabkan bumbungnya seperti dihentam dan dicakar sebentar tadi. Dia mencuba memeriksa bumbung keretanya dan didapati ada kesan cakaran di merata-rata tempat. Dia tersangat terkejut dan merasakan nyawanya terancam. Dia memandang sekeliling kawasan meletak kenderaan berkenaan dan dilihatnya tiada satupun kenderaan berada di tingkat berkenaan. Datuk Halim menggosok-gosok matanya untuk melihat sekali lagi kawasan persekitaran tersebut. Ternyata matanya tidak melihat sebarang kenderaan yang diletakkan ditingkat berkenaan.

Tangannya terketar-ketar mengapai pemegang pintu dan dia membukanya sebelum masuk semula ke dalam kereta dalam keadaan yang terlalu takut dengan situasi yang dihadapinya kini. Sekali lagi bumbung keretanya dihempap sesuatu yang berat dan besar. Kali ini Datuk Halim menekan butang lock kereta menyebabkan semua pintu terkunci secara automatik. Dia memegang stereng kereta dan cuba menjenguk ke atas melalui cermin hadapan. Tiada apa yang dapat dilihat dan dia kembali bersandar ke kerusinya.

Tiba-tiba ada satu tangan menjerut lehernya dan dia terasa tubuhnya ditikam berkali-kali dengan sesuatu yang tajam oleh penyerannya yang duduk di kerusi belakang pemandu. Datuk Halim sempat melihat ke cermin pandang belakang dan melihat raut wajah kegilaan Datuk Murad yang tanpa belas kasihan menikam perut, dada dan celah kelangkangnya berkali-kali sehingga dia menghembuskan nafasnya yang terakhir di dalam kereta berkenaan. Tempat duduk pemandu itu sudah basah lencun dengan darah Datuk Halim yang sudah tamat riwayatnya.

Datuk Murad keluar dari kereta berkenaan.

Sepertimana CCTV merakam dirinya di luar bilik Datuk Kassim, begitu juga CCTV merakam dirinya di kawasan meletak kenderaan tersebut pada waktu yang sama dan pakaian yang sama. Namun Datuk Murad tidak mengendahkan CCTV berkenaan dan terus berlalu dari situ tanpa ada perasaan. Beliau seolah-olah sengaja membiarkan imejnya dirakam.

15 total views, 1 views today

Leave a Reply