Bab 16 – Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BDSII)

Spread the love

Bab 16 – Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah

Sofea berjalan menuju ke kerusi pengerusi ditemani oleh Asad yang berjalan di belakangnya sambil membawa beberapa buah fail.

Sofea kemudian mengambil tempat duduknya dan mula memegang mikrofon kecil dihadapannya untuk diselaraskan bagi memudahkan dia untuk menyampaikan ucapan kepada semua ahli yang hadir pada hari ini.

“Baru-baru ini saya telah diculik…” ucap Sofea.

Audien agak terkejut dengan berita yang disampaikan oleh Sofea.

“Saya percaya ada usaha-usaha pihak tertentu yang cuba untuk mensabotaj syarikat Cemerlang Venture ini…” tambahnya lagi.

“Saya telah membuat laporan polis dan polis akan menjalankan siasatan selepas ini…saya mohon kerjasama anda semua untuk membantu pihak polis menjalankan siasatan terperinci…” tambah Sofea seterusnya.

“Cik Sofea ada suspek yang Cik Sofea kenal pasti ke?” soal Datuk Murad secara tiba-tiba.

“Saya tidak ada cukup bukti lagi. Walaubagaimanapun, saya serahkan kepada kebijaksanaan pihak polis untuk menjalankan siasatan..” balas Sofea.

“Saya harap tiada sesiapa keluar negara dalam waktu terdekat ini bagi melicinkan siasatan. Tolong beri kerja sama…” ucap Sofea lagi.

“Cik Sofea tak sepatutnya buat laporan polis…ini akan menyebabkan harga saham kita jatuh…” sampuk Datuk Halim.

“Bukan itu sahaja, ..saya dah beri amaran sebelum ini…saham kita dalam keadaan tidak stabil selepas Datuk Hisyam tidak lagi menerajui syarikat tetapi digantikan dengan anaknya iaitu Cik Sofea sendiri…” komen Datuk Halim seterusnya.

“Betul Cik Sofea, kalau saham tu dibahagikan sama rata, ini akan menyelamatkan syarikat dari terus jatuh dan mengalami kerugian yang tidak munasabah. Sekiranya kami semua mempunyai nilai saham yang sama…kita boleh serap kerugian itu bersama-sama dan baki modal yang kita ada boleh disuntik semula untuk meningkatkan prestasi saham dengan nilai modal yang lebih tinggi…” terang Datuk Kassim bagi menyokong hujah Datuk Halim yang duduk disebelahnya.

“Baiklah saya akan mempertimbangkan usul tuan-tuan dalam sedikit masa lagi…” komen Sofea sebelum menundakan mesyuarat pada hari ini. Dia bingkas bangun dan keluar dari bilik mesyuarat diikuti oleh Asad juga.

Ahli lembaga pengarah berpandangan sesama sendiri. Datuk Murad mengekor Sofea dengan anak matanya. Dia terasa meluap-luap kemarahannya dengan anak rakan bisnesnya itu yang seolah-olah berlagak pandai dalam semua hal. Dia mengigit-gigit bibirnya sambil berfikir berkenaan rancangannya ke atas Sofea dan ahli-ahli lembaga pengarah yang lain. Dia mempunyai agendanya sendiri. Dia amat yakin rancangannya akan berjaya. Dia tersenyum sendirian dan menyaksikan bahawa tinggal dia seorang dalam bilik mesyuarat berkenaan.

Matanya menangkap seseorang yang berdiri di sudut bilik berkenaan. Dia amat mengenali susuk tersebut dan mula mengukir senyum. Dia kemudian memanggil lelaki berkenaan yang kemudian berjalan perlahan-lahan menuju ke arah Datuk Murad.

“Pak Ramlan…” sapa Datuk Murad.

Pak Ramlan duduk di sebelah Datuk Murad. Mukanya kelihatan aneh dan tidak menunjukkan sebarang reaksi dengan sapaan Datuk Murad.

“Pak Ramlan…?” Datuk Murad menyapanya semula sambil memegang bahu lelaki berkenaan.

Kemudian, Pak Ramlan memandang ke arah Datuk Murad dengan pandangan tajam. Dengan suara yang agak garau dan lain dari biasa dia menepuk dahi Datuk Murad sebanyak tiga kali menyebabkan Datuk Murad terasa kepalanya terlalu sakit dan matanya tertutup rapat kerana menahan kesakitan yang teramat sangat.

Setelah beberapa ketika apabila matanya sudah boleh dibuka Datuk Murad mendapati Pak Ramlan sudah tiada lagi disebelahnya tetapi satu makhluk yang amat menyeramkan dan bertanduk sedang memandang tepat ke arahnya.

“Murad…kau perlu melakukan satu perkara untukku…” ucap Azazil kepadanya dengan nada garau dan kasar.

Datuk Murad terasa terkunci suaranya untuk keluar kerana tersangat takut dengan wajah Azazil yang sangat hodoh dan menakutkan.

“Jangan gagal lagi kali ini kerana aku tidak mahu kegagalan kau menjadi kegagalan buatku jua…” ucapnya lagi sambil menjentik kening Datuk Murad kiri dan kanan sambil membaca sesuatu.

Datuk Murad melihat rupa Azazil yang hodoh dan menakutkan berubah perlahan-lahan menjadi seorang lelaki yang sangat tampan dan elok paras rupanya. Pada masa itu barulah suaranya baru dapat dikeluarkan.

“Siapa kau ini? Mana Pak Ramlan?” soalnya tersekat-sekat.

“Siapa aku tidak perlulah kau tahu…kalau kau berurusan dengan Ramlan, bermakna kau juga berurusan denganku Murad…aku tahu segala-galanya tentang kau Murad…isteri kau, anak kau, perempuan-perempuan yang kau tiduri dan semuanya…” bisik Azazil perlahan.

Datuk Murad terkejut dengan kata-kata Azazil itu.

“Apa yang kau nak aku lakukan untuk kau?” soalnya semula kepada lelaki berkenaan.

“Aku mahukan Sofea…kau dapatkan dia untukku…” ucapnya perlahan sebelum Datuk Murad tersedar dari siumannya dan mendapati dia bersendirian di situ.

Kemudian dia terasa bahunya disentuh oleh seseorang dan mendapati Pak Ramlan berdiri disisinya. Dia mencuba mencari Azazil tetapi tidak kelihatan sesiapapun disitu melainkan beliau dan Pak Ramlan yang muncul secara tiba-tiba di bilik mesyuarat tersebut.

“Siapa yang kau cari?” soal Pak Ramlan.

Datuk Murad menjadi keliru buat seketika kerana dia sudah tidak dapat membezakan khayalan dan realiti yang dialaminya. Dia menarik nafas dalam-dalam dan cuba menenangkan dirinya semula.

20 total views, 1 views today

Leave a Reply