Bab 14 – Perancangan Azazil (BDSII)

Spread the love

Bab 14 – Perancangan Azazil

Pak Ramlan membakar kemenyan diruang tengah rumahnya. Sambil itu mulutnya terkumat-kamit membaca mantera yang telah diajar untuk memanggil sahabatnya. Matanya terpejam penuh. Mindanya difokuskan sepenuhnya kepada ritual yang sedang dijalankan. Waktu itu menunjukkan tepat jam tiga pagi. Kedengaran bunyi lolongan anjing berdekatan kawasan rumahnya. Pak Ramlan mengukir senyum. Dia masih memejamkan matanya. Pembacaannya semakin pantas dan berterusan. Dia masih duduk bersila ditengah rumah. Suasana begitu hening sekali. Anjing masih menyalak diluar rumah walhal Pak Ramlan tidak membela seekor anjing pun!

Tiba-tiba Pak Ramlan membuka matanya. Dia memandang tepat ke penjuru ruang rumah dan melihat kelibat seseorang. Dia bingkas bangun dan duduk di atas sofa. Kelibat itu menghampirinya dan berdiri dihadapannya.

“Apa yang kau nak laporkan Ramlan?” kedengaran suara garau menyoal Pak Ramlan.

“Aku ingin berbicara dengan kau…mengenai rancangan kita” sahut Pak Ramlan kepada makhluk tersebut.

Makhluk itu tertawa nyaring dan kuat. Seakan bergegar rumah Pak Ramlan akibat bunyi ketawa tersebut.

“Kau tak perlu khuatir…aku akan jelaskan kepada kau!” balas makhluk berkenaan lagi.

“Tapi, keadaan agak kacau buat masa ini…” soal Pak Ramlan semula.

Makhluk tersebut menyalakan matanya umpama api yang membara. Dia tiba-tiba menjadi marah mendengar kata-kata Pak Ramlan.

“Apa maksud kau?” gerutu makhluk berkenaan kepada Pak Ramlan.

“Shah Iskandar…” jawab Pak Ramlan.

Sebaik sahaja mendengar kata-kata Pak Ramlan mengenai Shah Iskandar, makhluk itu terus menjadi berang. Dia mengamuk di dalam rumah Pak Ramlan. Habis semua barang-barang di ruang tamu itu berterbangan dan berselerakan selepas dia menjerit kemarahan.

“Kenapa dengan Shah Iskandar…?” soalnya semula kepada Pak Ramlan sambil merenung tajam.

“Aku rasa dia sudah tahu mengenai kita…” ucap Pak Ramlan dengan terketar-ketar.

Makhluk itu ketawa secara tiba-tiba. Dia kemudian menghilang dan muncul dipenjuru rumah. Kemudian menghilang semula dan muncul di atas palang rumah bertenggek. Pak Ramlan tidak sedar sehinggalah dia bersuara semula dan dilihat makhluk itu sedang berfikir tentang sesuatu.

“Ramlan, aku mahu kau jumpa dengan Adli dan masukkan ini dalam minumannya…” arah makhluk berkenaan sambil mencampak sesuatu ke arah Pak Ramlan. Pak Ramlan menyambut barang berkenaan dan apabila menoleh semula ke arah makhluk berkenaan, makhluk tersebut sudah ghaib dari pandangan.

Kemudian dia terasa seseorang menyentuh bahunya dan apabila ditoleh didapati makhluk berkenaan meletakkan tangannya di atas bahu Pak Ramlan.

“Baiklah, aku akan pastikan barang ini masuk dalam minuman Adli” janji Pak Ramlan kepada makhluk berkenaan.

“Aku pasti kau tahu apa yang kau lakukan…” ucap Pak Ramlan lagi apabila mengetahui makhluk berkenaan ghaib sekali lagi. Dia menoleh kekiri dan kanan dan tidak nampak makhluk berkenaan. Pak Ramlan mengutip dan menyusun semua barang-barang yang bersepah dilantai akibat perbuatan makhluk berkenaan. Setiap kali dia mengutip bekas-bekas berkenaan dia akan lihat wang kertas yang padat terisi didalam setiap bekas yang bersepah itu. Pak Ramlan sangat gembira kerana sahabatnya faham apa yang diperlukannya. Dia mengeluarkan wang-wang tersebut dan memasukkan ke dalam satu karung wang. Sekejap sahaja karung berkenaan menjadi penuh dengan wang yang banyak.

53 total views, 1 views today

Leave a Reply