Bab 8 – Perjanjian Syaitan (BDSII)

Spread the love

Bab 8 – Perjanjian Syaitan

Maria terus memandu menuju jalan ke rumah Pak Ramlan. Keadaan semakin sunyi dikiri dan kanan jalan tetapi demi hatinya yang panas membara, diberanikan juga dirinya untuk mencari rumah bomoh yang terkenal dengan ilmu mistik hitam itu. Ada dendam kesumat yang bersarang dihatinya dan perlu disembuhkan dengan segera. Dia melihat dengan tekun aplikasi navigasi yang dipasang di hadapan cermin.

Maria sudah tiba ke destinasinya ketika hari sudah bertambah gelap. Dia memberhentikan keretanya dihadapan rumah Pak Ramlan. Hatinya berdebar-debar kerana perasaan takut bercampur dengan perasaan sakit hatinya.

Dia melangkah keluar dari keretanya dan mendapati keadaan sangat sunyi. Dia memandang ke arah sekeliling. Hanya kegelapan malam yang dapat dilihat selain angin yang bertiup kuat di seluruh kawasan berkenaan. Pokok-pokok yang ada di sekeliling kawasan itu kelihatan melintuk-lintuk kerana angin yang berada dikawasan berkenaan.

Maria melangkah menuju ke beranda rumah berkenaan. Sebelum sempat dia bersuara, pintu hadapan rumah berkenaan sudah terbuka dan kelihatan seorang lelaki separuh umur yang berdiri di muka hadapan pintu tersebut. Pakaiannya umpama orang jawa dengan kain yang pakai dikepalanya bercorak seakan kain batik berwarna coklat.

‘Cik Maria bukan?” sapa Pak Ramlan kepada Maria.

“Mana Pakcik tahu nama saya?” balas Maria.

“Ohh…Cik Arina dan Cik Arini sudah bagi tahu dengan saya yang Cik Maria nak datang hari ini…” jawab Pak Ramlan.

“Oh..okay…” balas Maria semula ketika dia memasuki rumah berkenaan.

“Silakan duduk Cik Maria…” jemput Pak Ramlan.

“Panggil saja saya Maria Pakcik..” gesa Maria sambil melabuhkan punggungnya untuk duduk disofa.

Pak Ramlan menganggukkan kepalanya.

“Pakcik nama siapa? Arina dan Arini tak beritahu saya pun…” soal Maria pula.

Pak Ramlan yang sedang duduk di sofa berhadapan dengan Maria menyalakan rokok daunnya.

“Panggil sahaja saya Pak Ramlan” jawab Pak Ramlan sambil menghembuskan asap rokok daunnya ke udara. Dia kemudian menjeling pakaian Maria yang agak singkat dan ketat.

“Ada hal apa yang boleh saya bantu Maria? Nak jadi cantik? Rasanya Maria dah cukup cantik dah…mungkin ada apa-apa permintaan yang diperlukan?” soal Pak Ramlan.

Wajah Maria terus berubah menjadi merah seakan-akan ingin meluahkan kemarahan yang meluap-luap dalam hatinya. Pak Ramlan hanya tersenyum melihat perubahan wajah Maria yang memang sudah dijangkakan.

“Saya nak Pak Ramlan bunuh seorang perempuan ni dengan cara halus yang polis tak dapat kesan…” ucap Maria tegas.

“Itu mudah sahaja Maria…Cuma cara halus tu cara yang macam mana Maria nak? Mati terseksa atau mati dengan cepat?” balas Pak Ramlan semula.

Maria terdiam sejenak. Dia memandang ke arah Pak Ramlan.

“Saya nak dia mati dengan cara terseksa…” ucap Maria dengan penuh kebencian.

Pak Ramlan hanya ketawa kecil dan mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Baiklah Maria…akan diaturkan. Bayarannya bukan murah. Pak Ramlan harap Maria faham ya” balas Pak Ramlan sambil menghembuskan asap rokok daunnya lagi.

Maria menganggukkan kepalanya tanda faham. Dia membuka beg tangannya dan mengeluarkan sebuah sampul yang agak tebal dan menghulurkannya kepada Pak Ramlan. Pak Ramlan menyambut sampul tebal itu dan mejenguk ke dalamnya dan mengukir senyum. Pak Ramlan bangun dari sofa.

“Mari Maria…” ajak Pak Ramlan sambil menudingkan jarinya ke arah sebuah bilik.

Maria segera bangun dan mengikut dari belakang pergerakkan Pak Ramlan.

Mereka berdua masuk ke dalam bilik berkenaan. Maria melihat bilik berkenaan tidak dimasuki cahaya dengan sempurna. Suasananya agak kelam dan suram. Maria dijemput duduk ke sebuah bangku ditepi dinding. Pak Ramlan berjalan ke tengah-tengah bilik dan duduk bersila serta bertafakur.

Maria hanya memerhatikan tingkah laku Pak Ramlan yang agak luarbiasa di matanya. Namun Maria tidak bersuara atau berkata apa-apa melihat tindakan Pak Ramlan. Dia duduk diam di bangkunya sambil memerhatikan keadaan sekeliling didalam bilik berkenaan.

Sedar tidak sedar Pak Ramlan tiba-tiba berdiri di hadapan Maria dengan segelas air. Dia menyuruh Maria untuk minum air berkenaan. Tanpa sebarang pertanyaan ataupun penolakan, Maria segera meneguk air berkenaan sehingga habis dan mendapati kepalanya berpusing-pusing selepas itu. Dia terasa mahu pitam tetapi dirinya masih sedar dengan keadaan sekeliling. Dia melihat wajah Pak Ramlan bertukar-tukar menjadi pelbagai wajah yang tidak dikenalinya. Namun yang demikian dia masih lagi duduk dibangku dan fikirannya melayang-layang ke udara.

Pada ketika itulah dia melihat sesuatu yang kehitaman berada di sudut gelap bilik berkenaan. Lembaga hitam itu berjalan ke arahnya tanpa dapat dilihat wajahnya yang tertutup dengan hud kepala. Susuknya yang agak besar sedikit menggerunkan Maria yang masih dalam keadaan separuh sedar. Lembaga berkenaan berdiri dihadapannya ketika Pak Ramlan menghulurkan sehelai kertas yang tertulis sesuatu diatasnya. Pak Ramlan menghulurkan sebatang pen dan mengarahkannya untuk menandatangani surat berkenaan. Maria hanya menurut tanpa paksaan. Kemudian dia merasakan dunia ini menjadi gelap dengan tiba-tiba.

§§

Maria cuba membuka matanya dan mendapati dirinya sedang terbaring di atas sofa. Kepalanya agak pening dan dia tidak ingat apa-apa. Dia cuba duduk dan memerhatikan keadaan sekeliling. Dia masih di rumah Pak Ramlan. Dia menjerit nama Pak Ramlan berulang kali. Kemudian kedengaran seseorang berjalan ke arah ruang tamu. Apabila dipaling terlihat Pak Ramlan datang menghampiri Maria.

“Maria dah okay?” soal Pak Ramlan.

Maria masih terasa kepalanya berpusing-pusing.

“Apa yang dah berlaku Pak Ramlan?” soal Maria pendek.

“Dah selesai semua. Maria boleh balik sekarang” balas Pak Ramlan sambil menghulurkan sebuah plastik kecil berisi sesuatu seperti serbuk. Maria menyambut plastik berkenaan dan cuba untuk berdiri tapi dia hampir tumbang semula sebelum Pak Ramlan menahannya dari terjatuh. Pak Ramlan kemudian memapah Maria menuju ke keretanya dan membantunya masuk ke dalam kereta. Pak Ramlan menutup pintu kereta Maria sebelum berjalan menuju ke rumahnya. Maria menghidupkan enjin kereta dan keadaannya kembali pulih dengan perlahan-lahan. Setelah dia mendapati kekuatannya sudah pulih seperti biasa, dia memandu keretanya untuk keluar dari kawasan rumah Pak Ramlan. Dia dapat melihat Pak Ramlan melambai-lambaikan tangannya. Disebelahnya seperti terlihat lembaga hitam yang mempunyai mata yang kemerah-merahan. Maria mengerlipkan matanya seketika sebelum mendapati lembaga berkenaan sudah hilang dari pandangannya.

Dia masih cuba mengingati kejadian yang berlaku dirumah Pak Ramlan namun fikirannya seakan sudah dipadamkan memorinya. Dia terus memandu keretanya untuk pulang ke rumahnya kerana apabila dia melihat jam di dashboard kereta menunjukkan hampir jam 3.29 pagi. Dia sedar bahawa dia sudah terlewat untuk pulang ke rumah.

52 total views, 1 views today

Leave a Reply