Bab 7 – Gangguan Azazil (BDSII)

Spread the love

Bab 7 – Gangguan Azazil

Sofea kelihatan gelisah di atas katilnya. Dia terdengar bunyi pasir bertabur di tepi katilnya. Namun dia terlalu mengantuk untuk membuka mata. Bunyi yang semakin kuat itu semakin dekat dengan pendengaran Sofea yang masih tidur. Dia semakin gelisah. Tangannya mencengkam kuat cadar di atas katil. Bunyi pasir itu ibarat air terjun yang menjunam berkali-kali ke lantai sungai. Dia terasa seperti diangkat ke udara namun dia masih tidak mampu untuk membuka matanya dan melihat kejadian yang sedang berlaku ke atas dirinya.

Sofea cuba untuk memegang sesuatu tetapi dia mendapati seolah-olah terapung di udara dan tiada apa-apa yang dapat dipaut oleh tangan atau kakinya. Matanya seperti sudah digam sehingga kelopak matanya terasa sangat berat untuk dibuka.

Kemudian telinganya mendengar bunyi tapak kaki orang sedang berjalan disekitarnya. Namun dia tidak dapat membuka matanya untuk melihat siapa gerangannya yang masuk ke dalam bilik tidurnya pada malam-malam sebegini.

Dia mula meronta-ronta untuk bergerak dan secara tiba-tiba dia terasa dirinya terjatuh dari sebuah tempat yang tinggi dan terhempas di atas katilnya semula dengan kuat.

Dia terasa sangat sakit dibahagian belakangnya dan cuba untuk membuka matanya secara perlahan-lahan. Apabila dia sudah dapat melihat semula, matanya melihat ke langit terbuka.

Sofea menggagahkan dirinya untuk bangun dan duduk. Puas dicubanya berulang kali namun tidak ada daya untuk mengangkat tubuhnya walau untuk duduk. Dia mencuba berulang kali sebelum akhirnya dia dapat duduk dan mula memandang sekeliling yang hanya diterangi cahaya bulan di sebuah kawasan yang sangat luas.

“Macam mana aku boleh ada kat sini?” soal Sofea kepada dirinya sendiri berulang-ulang kali. Dia sangat pasti bahawa dia berada di rumah dan di biliknya sebentar tadi.

Dia cuba untuk mengeluarkan suaranya namun tiada apa yang keluar. Suaranya seakan tersekat dan tidak mendatangkan sebarang bunyi. Kemudian dia tiba-tiba mendengar bunyi tapak kaki yang sangat kuat dihadapannya.

Dia memalingkan mukanya lurus ke hadapan dan tidak melihat apa-apa yang datang. Dia kemudian memandang ke langit dan melihat cahaya bulan penuh di atas langit.

Pada waktu dia menundukkan kepalanya semula dia terasa seperti tercekik kerana ada seseorang yang sedang mencekik lehernya sehingga dia merasa susah untuk bernafas. Dia cuba untuk memegang tangan orang berkenaan yang sedang mencekiknya tetapi dia terasa seperti tangannya sendiri yang sedang memegang lehernya dengan kuat.

Dia mengusap-usap lehernya yang sedikit sakit kerana cekikkan sebentar tadi. Sofea kembali cuba untuk mengeluarkan suara memanggil nama ibunya namun suaranya masih tidak keluar dari kerongkongnya. Dia merasa ada sesuatu di dalam mulutnya dan merasa mual pada waktu yang sama. Dia kemudian memuntahkan sesuatu yang keluar dari mulutnya secara tiba-tiba. Dalam kesuraman cahaya bulan itu dia melihat sesuatu yang bergerak-gerak ditempat dia memuntahkan sesuatu yang keluar dari dalam mulutnya sebentar tadi. Di lihatnya banyak cacing yang meliang lintuk di atas tanah di hadapannya. Sofea terkejut dan menggerakkan tubuhnya ke belakang sedikit kerana cacing berkenaan semakin banyak dihadapannya.

Dia mengambil keputusan untuk bangun dan beredar dari tempat dia berada sekarang namun dia tidak tahu ke mana arah yang harus ditujuinya.

Sebelum sempat dia bangun muncul sesusuk tubuh yang kehitaman berdiri dihadapannya. Lembaga tidak dikenali itu mempunyai fizikal yang tinggi dan besar. Sofea cuba untuk bersuara namun suaranya masih tidak mahu keluar. Lembaga berkenaan menarik hud kepalanya yang berwarna kehitaman. Kelihatan wajahnya yang buruk dan hodoh dengan mata yang menyala merah. Tanduknya yang panjang meruncing seakan berwarna kemerah-merahan. Lembaga berkenaan meletakkan jarinya dibibir kepada Sofea.

Sofea yang terlalu takut cuba menjerit sekuat hatinya dengan harapan ada seseorang yang akan datang menolongnya. Pada ketika dia merasakan nyawanya sedang terancam, dia terdengar seseorang yang berbisik ditelinganya. Suara yang didengarnya kelihatan sayup-sayup ditelinganya namun arahannya sangat jelas. Suara itu memintanya menenangkan diri dengan istighfar perlahan-lahan di dalam hatinya dengan konsisten. Sofea cuba menenangkan dirinya dan mula menurut arahan suara msiteri itu. Dia merasakan ketenangan umpama berada ditepi laut dengan angin bayu bertiup perlahan di telinganya. Ketika dia sudah mencapai ketenangan tersebut, suara itu mengarahkan dia untuk membaca ayat kursi dengan perlahan dengan bimbingan suara tersebut. Sofea hanya menurut sahaja suara tersebut dan dia memejamkan matanya dan menumpukan sepenuh perhatian kepada bacaan yang didengarinya. Dia juga turut membaca surah tersebut dengan perlahan-lahan. Selepas membaca beberapa kali surah tersebut dia terbau sesuatu yang terbakar. Namun dia tidak berani untuk membuka matanya kerana dia masih takut dengan lembaga yang berada dihadapannya pada waktu ini.

“Jangan bimbang Sofea, bukalah matamu dan bangun dengan segera…” bisik suara itu.

Sofea cuba untuk membuka matanya perlahan-lahan dan akhirnya dia melihat dia berada disuatu kawasan yang sangat cantik seolah-olah berada disebuah taman bunga. Dia bangun dan mula berdiri dengan menggunakan tenaga yang masih dimiliki dirinya.

“Pergilah berjalan menghala ke arah cahaya pertama yang Sofea nampak…” tambah suara itu lagi.

Sofea kemudian cuba berjalan dan melihat sekelilingnya untuk mencari cahaya yang boleh dilihatnya. Dalam beberapa langkah dia berjalan dia terlihat suatu cahaya dikejauhan. Dia pasti cahaya itu yang perlu dicarinya. Dia kemudian mengorak langkah untuk berjalan ke arah cahaya tersebut. Dalam waktu yang sama, dia masih tidak tahu kemana lembaga hitam berkenaan telah menghilangkan diri. Baginya apa yang menjadi keutamaan adalah segera untuk sampai ke arah cahaya yang dilihatnya tadi. Cahaya yang kelihatan agak jauh tadi tiba-tiba sudah berada dihadapannya. Apabila diamati ia merupakan sebuah loket yang memantulkan cahaya. Loket berkenaan tergantung dihadapan sebuah pintu.

“Ucaplah salam Sofea…” bisik suara itu lagi.

Sofea memandang sekeliling dan mendapati tiada sesiapa disitu. Namun demikian suara yang didengarinya seakan berada disisinya.

Sofea melangkah kehadapan dan memberi salam. Pintu berkenaan tiba-tiba terbuka dan terlihat seakan sebuah bilik yang terang benderang dengan cahaya. Sofea kelihatan teragak-agak untuk memasuki bilik itu kerana dia tidak pasti apa yang dilihatnya adalah realiti atau khayalannya.

“Jangan takut Sofea, masuklah bilik itu dengan ucapan bismillah…” bisik suara itu lagi.

Sofea kembali yakin dengan suara itu. Dia melafazkan ucapan bismillah sebelum melangkah masuk dan setelah berjaya memasuki bilik itu, dia terperanjat kerana bilik itu adalah bilik tidurnya sendiri. Dia kemudian cuba untuk melihat semula pintu masuk yang dimasukinya tadi. Pintu tersebut sudah ghaib dan dia berada betul-betul dalam biliknya sendiri.

Sofea berjalan pantas ke arah pintu biliknya untuk keluar dari bilik tersebut. Tiba-tiba berdiri ibunya dihadapan bilik tersebut. Sofea dengan segera memeluk ibunya dengan erat sambil menangis. Ibunya turut menangis dan memeluk anaknya dengan kuat.

“Puas ibu cuba untuk masuk bilik Sofea tapi pintu berkunci dan tidak dapat dibuka” ucap ibunya.

Sofea masih lagi menangis sambil memeluk ibunya. Dia tidak dapat berkata-kata kerana terlalu gembira dapat bertemu dengan ibunya semula.

§§

“Syukurlah Sofea tak apa-apa…” ucap abah kepada Makcik Nina dan Sofea yang sudah kelihatan tenang.

“Ya abang Sulaiman. Syukur kepada Allah SWT…” balas Makcik Nina.

Kemudian kelihatan Shah Iskandar turun dari tingkat atas perlahan-lahan menuruni tangga berjalan menuju ke arah mereka yang sedang duduk di ruang tamu.

“Macam mana bang? Okay dah ke?” soal abah kepadaku.

“Alhamdulillah abah…semua dah okay” balas ku perlahan sambil menjeling ke arah Sofea yang masih memegang erat tangan ibunya.

Aku mengambil tempat duduk disebelah abah. Abah kemudian meneguk airnya sebelum duduk bersandar semula.

“Sofea jangan bimbang. Serah sahaja kepada Allah SWT. Dia lah tuhan yang kita sembah dan dia lah tempat kita mohon perlindungan…” ucap abah perlahan.

Sofea kelihatan mengangguk-angukkan kepalanya. Biarpun rupanya agak kusut masai dengan rambut yang tidak terurus dan muka yang agak kotor sedikit, Shah Iskandar tidak berkelip-kelip menatap wajah Sofea. Kemudian Sofea tersedar yang Shah Iskandar sedang merenung tajam ke arahnya Dia memandang Shah Iskandar dan mengukir senyum. Bibirnya melafazkan bisikan tidak bersuara seolah-olah menyebut perkataan thank you kepada Shah Iskandar. Shah Iskandar hanya memberikan isyarat dengan mata sebagai tanda makluman kepada Sofea. Shah Iskandar terasa jantungnya berdebar kencang melihat senyuman Sofea. Namun dia segera mengawal perasaan dan menetapkan dirinya semula.

“Sofea cakap dia dibantu oleh seseorang ketika dia diganggu dalam tidurnya…” ucap Makcik Nina kepada aku dan abah.

“Ohh…yang itu…barangkali perasaannya sahaja…” balas abah ringkas.

“…tapi abang Sulaiman, katanya suara itu mirip suara Shah Iskandar…” ucap Makcik Nina lagi.

Abah memandang ke arah aku dan mengukir senyum. Aku juga turut tersenyum.

21 total views, 1 views today

Leave a Reply