Bab 5 – Halangan (BDSII)

Spread the love

Bab 5 – Halangan

“Sebenarnya Abang Sulaiman, kami sekeluarga ada masalah besar” Datin Nina memulakan bicara.

“Masalah besar macam mana tu?” soal abah pula sambil meneguk air minumannya yang dihidangkan oleh pembantu rumah sebentar tadi.

Datin Nina terdiam seketika. Kemudian dia memandang Sofea yang duduk disebelahnya.

“Pak cik dan Shah memang pakar dalam bidang menentang makhluk halus kan?” Sofea memandang ke arah abah dan aku serentak selepas mengajukan soalan tersebut.

Abah ku lihat menganggukkan kepala.

Aku hanya tersenyum memandang Sofea.

“Sofea tidak ada orang lain yang Sofea boleh percaya pakcik…Shah..” dengan nada sedih Sofea menyambung kata-katanya.

“Perkara ini melibatkan soal hidup dan mati. Bukan sahaja nyawa manusia tetapi juga masa depan syarikat Cemerlang Venture  ini” Sofea terus memanjangkan percakapannya.

“Sofea mengalami apa-apa gangguan ke?” soal abah selepas itu.

“Ya pak cik. Sofea kadang-kadang tidak pasti samada perkara-perkara yang Sofea lalui setiap hari semasa gangguan itu adalah realiti atau fantasi” terangnya lagi.

“Macam mana rupa makhluk yang Sofea nampak tu?” aku pula mula menyiasat.

“Selalu gangguan itu pada waktu siang atau malam?” abah pula menambah.

“Dia mempunyai tubuh yang besar dan tegap. Jarang dapat melihat wajahnya kerana sentiasa tertutup dan seolah-olah tidak berwajah” jawab Sofea semula.

“Biasanya gangguan itu datang macam mimpi dan tidak mengira waktu. Kadang-kadang siang dan ada juga pada waktu malam” Sofea menerangkan kepada aku dan abah dengan riak wajah yang serius.

“Sejak bila Cik Sofea mengalami gangguan ini?” tanyaku kepada Sofea.

“Sejak ayah meninggal dunia…” jawab Sofea.

Aku memandang ke arah abah. Abah turut sama memandang ke arahku. Kami bertentangan mata dan seolah-olah ada suatu perhubungan telekinesis diantara kami berdua selepas Sofea memaklumkan perkara berkenaan. Namun kami ketepikan persoalan tersebut buat seketika. Aku kembali memandang ke arah Sofea.

“Maaf saya bertanya, ayah Cik Sofea pernah tak maklumkan perkara-perkara pelik sebelum beliau meninggal?” lagi soalan ku aju kepada Sofea.

“Shah, panggil ja Sofea. Tak payah ber cik cik dengan dia” celah Makcik Nina sambil tersenyum kepadaku dan abah.

Aku hanya mampu tersenyum kambing selepas mendengar ucapan Makcik Nina.

“Ayah ada cerita mengenai satu perkara sebelum dia meninggal dunia pada Sofea” ucap Sofea semula.

“Ya benar apa yang diperkatakan oleh Sofea” Makcik Nina menyokong.

“Apa yang ayah Sofea perkatakan?” soal abah pula.

“Ayah cakap ada sesuatu yang pelik di pejabat terutamanya di dalam bilik beliau” sambung Sofea semula.

“Pelik yang macam mana tu Cik Sofea…err…Sofea” tanyaku pula tersasul.

Sofea hanya tersenyum dan kemudian menyambung semula percakapannya.

Dalam bilik Datuk Hisyam sering kali terbau sesuatu yang tidak menyenangkan pada sesuatu masa tertentu. Kadang-kadang apabila Datuk bersendirian melakukan kerjanya ada seseorang yang suka menyentuh bahunya tanpa disedari. Apabila disiasat ternyata tiada sesiapa yang berada di pejabat pada waktu itu. Ada sekali tu, pekerja syarikat mendengar seperti ada orang di dalam bilik Datuk walaupun sebenarnya Datuk diluar kawasan atau pun tiada dipejabat pada waktu itu. Tetapi peristiwa yang paling tidak dapat dilupakan adalah apabila Sofea bertembung dengan Datuk ketika menuju ke ‘pantry’ untuk membuat air. Ayahnya hanya berjalan terus tanpa menegurnya seolah-olah tidak menyedari kehadirannya. Dengan erti kata lain, ayahnya berkelakuan aneh dan tidak seperti biasa dimana beliau merupakan seorang yang sangat peramah. Setelah pulang ke rumah pada hari tersebut, Sofea ada menyebut perkara itu kepada Datuk Hisyam tetapi Datuk hanya membulatkan matanya sebesar-besarnya kerana merasa sangat pelik dengan cerita anaknya Sofea berkenaan perkara tersebut. Menurut Sofea, pada hari tersebut, ayahnya tiada dipejabat dan telah keluar berjumpa dengan client penting syarikat di Sabah.

“Itulah antara perkara-perkara pelik yang berlaku Shah” cerita Sofea dengan ringkas kepada aku dan abah.

Abah mengangguk-anggukkan kepala tanda fokus dengan penjelasan Sofea sebentar tadi. Sesekali, abah memandang ke arah aku. Aku juga memberikan sepenuh perhatian dengan maklumat-maklumat tersebut.

“Boleh tak abang pergi melawat bilik Datuk Hisyam esok Nina?” soal abah kepada Makcik Nina. Makcik Nina menoleh ke arah Sofea.

“Boleh pakcik, kalau Shah nak pergi sekali pun boleh” balas Sofea sambil memandang ke arah Makcik Nina semula. Makcik Nina menganggukkan kepala tanda setuju.

Abah mengukir senyum dan memandang  ke arah aku. Aku turut menganggukkan kepala.

“Ya, saya pun nak pergi tengok bilik tu” respon aku semula.

§§

“Kita nak kena pergi rumah Makcik Nina ke abah? soal aku kepada abah setelah dia melabuhkan punggungnya ke tempat duduk sebelah pemandu.

“Tak perlu, abah dah ada lokasi pejabat tu. Semalam Makcik Nina dah share dengan abah dalam WhatsApp” terang abah ringkas.

Kami terus bergerak ke destinasi yang diberikan oleh Makcik Nina kepada abah semalam. Biarpun agak jauh dari rumah, kami bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan.

“Kenapa abang tak nak tumpang tidur rumah Makcik semalam?” tiba-tiba abah bersuara.

“Bukan tak mau abah, tapi abang segan lah. Sofea ada kat rumah tu..” jawabku pendek sambil mata menumpukan ke arah pemanduan.

“Kenapa dengan Sofea?” soal abah lagi.

“Ya Sofea la abah…” respon aku semula.

“Ya lah, abah tanya kenapa dengan Sofea?” balas abah pula.

Aku hanya ketawa kecil tanpa menjawab soalan abah. Aku terus memandang ke depan dan sesekali memandang ke arah abah. Aku lihat dia tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.

Aku faham riak wajah itu. Abah pasti akan bertanya lagi.

Kami terus menuju ke tempat yang dikatakan pejabat syarikat Cemerlang Venture yang terletak di Kuala Lumpur. Jikalau melihat kepada E.T.A (Estimated Time Arrival) dalam tiga jam kami akan tiba ke destinasi. Biasanya kalau perjalanan jauh sebegini, abah akan terlena ditempat duduk dia. Seperti yang ku jangkakan, apabila aku menoleh sekali lagi ke arah abah, dia sudah pun memejamkan matanya. Aku kembali teringat perbualan semalam.

“Abang Sulaiman dan  Shah tidur la disini. Nanti esok boleh terus pergi pejabat dengan Sofea” jemput Makcik Nina kepada kami untuk bermalam dirumahnya.

“Abang setuju ja tapi kena tanya si Shah ni…macam mana?” balas abah sambil memandang ke arah aku.

“Takpa la aunty, saya rasa biar kami balik dulu ke rumah. Nanti esok kami akan terus gerak ke pejabat syarikat. Lagipun saya ada barang yang saya tak sempat bawak untuk persediaan ke pejabat syarikat tu. Kita tak tahu apa yang kita akan hadapi” jawabku dengan serius.

“Oh begitu, rumah ni ada banyak bilik kosong untuk tetamu. Shah dan pakcik tak perlu kongsi bilik” pujuk Sofea pula sambil tersenyum. Kemudian dia memandang ke arah ibunya yang turut menganggukkan kepala tanda setuju dengan pernyataan Sofea.

Abah turut tersenyum mendengar kata-kata Sofea yang cantik manis. Sememangnya mana-mana lelaki akan cair melihat raut wajahnya.

“Bukan sebab tak perlu kongsi bilik yang menjadi masalah. Cumanya saya perlu mengambil beberapa barang untuk persediaan menghadapi segala kemungkinan. Mungkin lain kali kita kan terima jemputan Sofea ni” terang ku semula kepada Sofea dan Makcik Nina.

Sofea dan Makcik Nina tersenyum dan menganggukkan kepala.

Aku dan abah memohon untuk minta diri dan berjanji akan datang esok ke pejabat syarikat Sofea dengan seberapa segera.

“Boleh tak Sofea minta nombor telefon Shah?” tiba-tiba Sofea bersuara selepas aku dan abah melangkah keluar pintu.

Abah terus menyebut nombor telefon aku dan melihat Sofea merekodkan nombor tersebut dalam telefonnya. Aku jadi terpinga-pinga dan memandang wajah abah dengan perasaan terkejut kerana tindakannya memberikan nombor telefon aku kepada Sofea.

Aku dan abah masuk ke dalam kereta dan terus beredar dari rumah Makcik Nina untuk pulang ke rumah abah.

Tiba-tiba aku dikejutkan dengan arahan dari aplikasi navigasi yang memaklumkan bahawa aku sudah sampai ke destinasi yang dituju.

“Dah sampai dah…” ucap abah kepada ku.

Abah segera mencapai telefon dan membuat panggilan ke seseorang.

“Hello, assalammualaikum Sofea, pakcik dan Shah dah sampai. Nak parking kat mana ni? “ soal abah kepada Sofea yang berada dalam talian.

“Ok baiklah. Terima kasih Sofea. Assalammualaikum..” ucap abah semula sebelum mengakhiri panggilan telefon.

“Nak parking mana abah?” soal ku pula.

“Sofea cakap lalu kat depan foyer tu, tanya dengan pengawal keselamatan yang bertugas. Dia akan bantu kita” jawab abah ringkas.

Aku terus memandu menuju ke tempat yang diarahkan dan seorang pengawal keselamatan melambai-lambaikan tangan dan memberi arahan agar kenderaan kami diletakkan di lokasi khas yang telah disediakan.

Aku dan abah keluar dari kereta dan mengucapkan terima kasih kepada pengawal tersebut sambil bertanyakan lokasi pejabat Sofea di bangunan berkenaan. Setelah memperolehi maklumat tersebut, aku dan abah bergegas ke pejabat Sofea di tingkat paling atas bangunan.

Kami didatangi oleh seorang lelaki di lobi pejabat.

“Encik Sulaiman?” tanya beliau kepada abah. Kemudian dia menegur aku pula. Kami berdua menganggukkan kepala kepada beliau.

“Saya Asad. Saya difahamkan Cik Sofea sedang menanti kedatangan tuan-tuan berdua” terangnya kepada aku dan abah. Abah tersenyum dan menganggukkan kepala. Kami semua bersalaman dan dibawa menuju ke lif untuk naik ke tingkat atas. Kelihatan pegawai yang bertugas di kawasan lobi itu sangat mengenali Encik Asad kerana hampir kesemuanya menegur dan mengucapkan selamat pagi kepada beliau.

Kami bertiga menaiki lif untuk menuju ke tingkat atas. Aku dapat lihat Encik Asad menekan butang tingkat 41 di panel suis lif. Lif bergerak laju sehingga tidak terasa kami semua sudah tiba ke tingkat tersebut.

Selepas menekan beberapa nombor kod dipanel sebelah kanan pintu kaca untuk memasuki pejabat, kami dijemput masuk oleh Encik Asad dan dibawa ke bilik mesyuarat yang sudah tersedia makanan dan minuman. Kami dijemput duduk dan makan pada waktu yang sama. Oleh kerana perut yang sudah lapar, aku dan abah terus duduk dan menjamah makanan yang disediakan diatas meja.

“Asad dah lama kerja disini?” soal abah memecah kesunyian selepas masing-masing khusyuk menikmati juadah.

“Lama la juga tuan Sulaiman, sejak Datuk membuka perniagaan ini” jawab Asad.

“Eh, janganlah panggil saya tuan, panggil Abang Man pun okay ja” jawab abah jujur sambil tersenyum.

“Oh…maafkan saya Abang Man” balas Asad.

“Takpa Asad…” respon abah ringkas.

“Saya difahamkan oleh Cik Sofea, Abang Man dengan Shah datang hari ni untuk melawat bilik Datuk ya?” soal Asad kepada kami berdua.

“Ya benar…Asad ada apa-apa pengalaman yang boleh dikongsi berkenaan bilik tersebut?” soal abah pula.

Asad menggelengkan kepalanya.

“Hai…assalammualaikum semua…” sapa Sofea yang tiba-tiba muncul di depan pintu bilik mesyuarat tersebut.

Kami semua menjawab salam Sofea hampir serentak. Abah menjemput Sofea untuk turut menikmati juadah. Sofea mengambil tempat duduk di sebelah aku. Jelingannya beserta senyumannya sudah cukup aku faham maksudnya. Kemudian abah berdehem kecil. Cepat-cepat Sofea membetulkan duduknya dan menjamah kuih yang ada di atas meja.

“Asad akan bantu pakcik dan Shah hari ini. Kalau tak cukup masa hari ni, maybe esok boleh datang lagi..” ucap Sofea.

Asad menganggukkan kepala.

“Pakcik akan cuba selesaikan seberapa segera yang boleh Sofea” ucap abah pula.

“..kan bang…” sambung abah lagi sambil memandang ke arah aku.

“Ya abah..” jawabku perlahan sambil tersenyum.

“Terima kasih pakcik dan Shah kerana sudi membantu Sofea…” ucap Sofea dengan nada gembira.

“Perkara kecil ja ni Sofea…lagipun pakcik kenal ibu kamu lama dah…sebelum dia kahwin lagi…” jelas abah kepada Sofea.

“Itulah ibu ada cakap dengan Sofea pasal pakcik dan Shah…jadi Sofea usaha untuk hubungi pakcik dan Shah melalui ibu…tengok kalau-kalau kami ni boleh dibantu…” komen Sofea panjang lebar dengan nada sedih.

“Insya Allah…sekiranya diizinkan Allah…pakcik dan Shah akan berusaha bersungguh-sungguh untuk bantu selagi ada daya kami…halangan besar atau kecil, kita akan cuba harungi…” balas abah semula dengan nada memujuk.

Sofea tersenyum mendengar kata-kata abah. Aku juga lega melihat riak wajah Sofea. Tapi aku rasa ada sesuatu yang jahat di dalam bilik Datuk. Aku dapat rasakan yang kali ini bukan biasa-biasa. Ada kemungkinan halangan yang sangat sulit dan besar menanti aku dan abah.

57 total views, 1 views today

Leave a Reply