Bab 4 – Pertembungan Pertama (BDSII)

Spread the love

Bab 4 – Pertembungan Pertama

“Hello, assalamualaikum cik Kiah” ucap Kamal perlahan ditelefonnya.

“Waalaikumsalam, siapa ya? Nama tak keluar dalam telefon saya…” soal suara dihujung talian.

“Saya Kamal” balas Kamal pendek.

“Ohh..Kamal. Lama tak dengar berita. Abang Yim pun lama juga tak telefon akak..” terang Rokiah pendek.

“Oh ye ke” Kamal menjawab dengan nada terkejut.

“Ya Kamal. Akak pun tak tahu apa khabarnya Abang Yim. Minggu lepas dia ada telefon bagitahu yang dia tak dapat balik kampung sebab ada urusan penting..” sayu suara Rokiah menjawab respon Kamal.

“Okay kak, macam ni. Saya ada berita nak maklum pada akak. Terlebih dulu saya mohon maaf banyak-banyak..” ucap Kamal dalam nada sedih.

“Kenapa Kamal?” soal Rokiah dalam nada terkejut.

Kamal memberitahu berita kematian Rahim kepada isterinya yang bernama Rokiah. Dia terpaksa menceritakan sedikit sebanyak beberapa kejadian yang berlaku sebelum arwah meninggal dunia semalam. Dia juga telah menguruskan penghantaran jenazah untuk dibawa pulang ke kampung arwah di utara semenanjung. Jenazah dijangka tiba selewat-lewatnya jam sepuluh malam nanti.

Isteri Rahim menangis teresak-esak mendengar berita yang disampaikan oleh Kamal. Rokiah tidak dapat menahan sedih dan hibanya kerana suaminya meninggalkannya tanpa sebarang berita. Dia hanya berserah kepada Allah swt atas perkara yang menimpa keluarga mereka.

§§

“Encik Kamal, pihak syarikat ada menjalankan derma kilat untuk arwah Encik Rahim” ucap Asad sewaktu menyerahkan sampul bersaiz A4 kepada  Kamal.

“Baik Encik Asad. Terima kasih saya ucapkan bagi pihak keluarga arwah. Saya akan sampaikan kepada isteri arwah” jawab Kamal.

“Saya mohon pelepasan awal Encik Asad untuk bantu keluarga arwah menguruskan jenazah Rahim” balas Kamal lagi.

“Baiklah Encik Kamal” angguk Asad.

§§

Asad memandu pulang seperti biasa pada hari ini. Dia sudah menguruskan urusan kematian Rahim. Dia mengarahkan pemandu syarikat untuk membawa Kamal pulang ke kampung Rahim bagi menguruskan urusan jenazah dan pengkebumian arwah. Dia juga mengarahkan agar sedikit bantuan barangan runcit disediakan kepada keluarga waris dan juga kutipan derma kilat dapat diserahkan kelak.

“Nasib baik Sofea bagi tahu aku pagi tadi, kalau tidak aku pun tak baca berita dalam suratkhabar tu dan tiada siapa yang perasan musibah yang menimpa Rahim” bisik hati kecilnya.

“Sofea cuti lagi sampai minggu depan. Balik kampung juga katanya. Tapi kenapa ya agaknya” Asad tertanya-tanya di dalam hati punca Sofea, anak Datuk Hisyam dan Datin Nina, iaitu tuan punya syarikat Cemerlang Venture bercuti panjang dikampung.

“Ala, nanti Sofea balik nanti dia mesti cerita dengan aku…” Asad tersenyum sendirian sambil meneruskan perjalanan pulang ke rumahnya.

Asad tiba-tiba terpandang seorang budak berdiri di tengah jalan. Dia terkejut dan mengelak keretanya dari terlanggar budak tersebut. Dia berusaha keras untuk mengawal kenderaan yang dipandunya dengan seberapa pantas sebelum ia hampir melanggar tiang lampu jalan. Kelihatan asap kecil keluar dari tayar kereta yang diberhentikan dengan cemas ditepi jalan menghadap tiang lampu yang hampir dirempuh pemandunya.

Asad mengangkat kepalanya dan melihat ke cermin pandang belakang. Dia membetulkan cermin berkenaan agar dapat melihat dengan lebih jelas apa yang berlaku dibelakang kenderaannya. Tiada apa yang dapat dilihat. Dia melihat jam di dashboard keretanya. Waktu menunjukkan jam 6.06 petang. Asad memegang lehernya yang sedikit sakit akibat kemalangan ini. Dia membuka tali pinggang keledar dan membuka pintu kereta.

Asad turun dari kereta dan menutup pintu kereta. Dia melihat sekeliling lokasi dia ditimpa kemalangan ini. Asad tidak dapat mengecam lokasinya. Namun yang demikian, dia berjalan ke arah belakang untuk melihat keadaan sebenar yang berlaku sebentar tadi. Dia mahu mengetahui nasib budak yang hampir dilanggarnya dengan segera. Sekiranya budak tersebut tercedera dia harus membantu untuk membaca budak itu ke hospital.

Asad sampai ke belakang keretanya. Dia melihat ke jalan raya dan terlihat kesan tayar keretanya yang melakukan perberhentian kecemasan.

Asad tidak melihat kelibat budak itu. Dia memandang sekeliling dan gagal untuk mengesan sesiapa di kawasan itu. Dia berjalan terus sambil matanya mengeksplorasi kawasan disekitar dimana dia ternampak seorang budak yang berdiri ditengah-tengah jalan sebentar tadi.

Kini Asad berdiri ditengah jalan. Dia memandang tepat ke arah keretanya yang berada kira-kira 15 kaki dari tempat dia berdiri sekarang. Disinilah kesan tayarnya bermula. Ia jelas dapat dilihat di atas jalan tersebut. Namun yang menjadi misteri sekarang adalah keberadaan budak yang dilihatnya tadi. Budak itu seolah-olah lesap ditelan angin.

Asad merasakan seseorang menyentuh bahunya. Dia menoleh ke belakang dengan serta-merta. Tiada sesiapa yang dapat dilihat ditambah pula tiada langsung kenderaan yang melalui jalan ini pada waktu ini. Kemudian dia terlihat sesuatu yang sedang bergerak ke arahnya. Makhluk itu tidak menyerupai manusia langsung tetapi mempunyai dua kaki yang sangat panjang dan ketinggian lebih kurang 3-4 meter. Makhluk itu berjalan dengan pantas sebelum tiba-tiba mengorak langkah berlari ke arah tempat Asad sedang berdiri sekarang.

Asad berundur ke belakang sedikit secara perlahan-lahan. Dia kini semakin laju berundur dan akhirnya dia berlari ke arah keretanya. Dia memasuki kereta dengan pantas dan cuba untuk menghidupkan enjin kereta. Namun, enjin kereta tidak mahu hidup dan berbunyi lemah. Asad tidak putus asa, dia melihat ke arah cermin pandang belakang sekali lagi untuk mengagak kedudukan makhluk tadi. Dia tidak melihat sesiapa dibelakang. Tiada makhluk tadi yang dilihat seolah-olah mengejarnya. Keadaan menjadi sedikit aneh dengan situasi yang berlaku sekarang.

Asad kembali memandang ke arah cermin depan. Tiba-tiba ada seorang lelaki duduk di kerusi sebelah penumpang. Asad beristighfar kerana agak terkejut dengan kehadiran lelaki misteri itu.

“Siapa kau?” tanya Asad.

“Siapa aku tidak penting Asad” jawab lelaki itu.

“Bagaimana kau boleh masuk ke dalam kereta aku?” tanya Asad lagi sambil bersikap berani. Dia sempat menjeling jari lelaki itu yang mempunyai kuku-kuku yang panjang-panjang setiap satunya.

Lelaki itu menjeling ke arah Asad. Kemudian dia memandang semula ke hadapan.

“Usah kau tanya perkara itu” jawab lelaki itu lagi.

“Apa yang kau nak hah?” soal Asad.

“Bagus soalan kau Asad” puji lelaki berkenaan.

“Aku tak kenal kau, bagaimana kau tahu nama aku hah” gertak Asad pula kepada lelaki itu.

“Aku tahu semua pasal kau Asad” ucap lelaki misteri itu.

Asad terdiam apabila mendengar ucapan lelaki tersebut. Dia mula rasa nyawanya agak terancam ketika ini.

“Kau jangan risau Asad. Aku hanya mahu kau sampaikan pesanan aku kepada cik Sofea kita…” ucap lelaki itu lagi.

Asad rasa berderau darahnya apabila mendengar pesanan lelaki itu. Dari mana pula dia boleh kenal dengan cik Sofea. Selama ini pun tidak pernah cik Sofea menyebut tentang lelaki ini kepadanya. Terlalu banyak persoalan yang berlegar-legar difikirannya pada ketika ini.

“Apa yang kau nak pesan dengan cik Sofea?” soal Asad pula.

Lelaki itu mendiamkan diri buat seketika. Kereta itu seakan bergegar-gegar selepas Asad membuat pertanyaan kepada lelaki misteri tersebut.

“Apa nama kau? Kalau cik Sofea tanya kepadaku” Asad bertanya lagi.

Tiba-tiba radio berfungsi sendiri dan siarannya bertukar-tukar secara rawak. Jarum meter di dashboard kereta bergerak-gerak umpama jarum jam. Wiper kereta tiba-tiba bergerak dengan sendirinya. Asad menjadi kaget dengan situasi tersebut.

“Aku nak kau cakap dengan dia, aku sedang mencarinya sekarang. Budak yang nak tolong dia tu pun tak mungkin dapat selamatkan dia dari takdirnya. Aku akan sampai tidak lama lagi.” ugut lelaki misteri tersebut.

Keadaan menjadi agak pelik kerana semua kebisingan tadi bertukar menjadi senyap sunyi. Asad semakin tidak faham dengan apa yang terjadi dihadapan matanya sekarang. Nafasnya turun naik dan bergerak kencang. Ini adalah kerana fungsi-fungsi elektronik dalam keretanya kembali semula bertindak aneh yang Asad sendiri tidak dapat menjelaskan dengan tafsiran dari akalnya kepada dirinya sekarang.

Tiba-tiba segalanya menjadi senyap sepi.

Asad kembali melihat lelaki tadi disebelahnya. Lelaki tersebut sudah ghaib. Asad tiba-tiba berpeluh dengan banyaknya. Dia semakin tidak faham dengan peristiwa yang baru dilaluinya tadi. Asad masih tidak tahu siapa lelaki misteri tersebut.

Dia memegang butang start enjin kereta dan menekannya. Kereta tersebut berjaya dihidupkan dengan sekali tekan sahaja.

Asad tidak berlengah lagi dan terus memecut keretanya untuk pulang ke rumah. Terlalu banyak perkara yang perlu di beritahu kepada cik Sofea. Dia harus segera sampai ke rumah!

53 total views, 1 views today

Leave a Reply