Bab 2 – Korban Pertama (BDSII)

Spread the love

Bab 2 – Korban Pertama

Rahim berjalan terdengkot-dengkot menuju ke pintu rumah. Tongkat itu diangkat perlahan-lahan bagi setiap langkahan. Wajahnya tidak ceria. Setelah berjalan beberapa ketika akhirnya sampai juga ke pintu rumah.

“Pak Ramlan…oo… Pak Ramlan!” jerit Rahim dari luar rumah tersebut.

Keadaan agak sunyi. Kemudian terdengar suara dari dalam.

“Siapa tu?” soal suara itu.

“Saya Pak…Rahim” balas Rahim semula.

“Rahim mana?” soal suara itu lagi.

“Saya lah Pak, semalam saya datang” jawab Rahim yang mula rasa tidak senang dengan pertanyaan demi pertanyaan dari suara itu.

“Pakcik tak ingat lah” jawab suara itu lagi.

“Takpela…naiklah masuk…” jemput suara itu  semula.

Rahim menolak daun pintu perlahan-lahan. Keadaan agak gelap. Kemudian ada cahaya memancar umpama kilat. Rahim agak terkejut, namun kembali tenang setelah mendapati Pak Ramlan muncul sambil lampu di ruang tamu menyala.

“Rahim…” Pak Ramlan tersenyum melihat tetamu yang datang.

“Pak…apa khabar?” soal Rahim sambil tersenyum melihat Pak Rahim.

“Khabar baik Rahim. Pak cik tak cam suara Rahim…maaflah” ucap Pak Rahim sambil menjemput Rahim duduk di ruang tamu rumahnya.

“Takpa Pak…” balas Rahim pendek. Dia menyandarkan tongkatnya di dinding sebelum duduk di kerusi.

“Rahim kemalangan ke?” tanya Pak Ramlan apabila melihat keadaan Rahim.

“Ya Pak..semalam kat simpang tiga depan rumah saya..” balas Rahim apabila ditanya oleh Pak Ramlan.

“Tangkal yang Pak cik bagi tu, Rahim tak pakai ke?” tanyanya lagi.

“Ni yang saya datang balik hari ni. Nak tanya pasal tu la” balas Rahim.

“Eh…tak mungkin tak berkesan. Pak cik buat khas untuk Rahim tu ” terang Pak Ramlan lagi.

“Tangkal tu boleh buat Rahim jadi kuat dan digeruni orang” sambung Pak Ramlan lagi.

“Masalahnya Pak, jatuh motor boleh retak tulang buku lali saya, apa cerita ni? Kata boleh bagi kuat? Macam ni susah lah Pak…” rungut Rahim kepada Pak Ramlan.

“Kalau macam tu, Pak cik kena buat baru lah…” ucap Pak Ramlan semula.

“Berapa pula saya kena bayar tu Pak?” soal Rahim risau. Semalam dah terbang RM5,000 fikirnya sendirian.

“Oh..jangan risau. Tambah duit sedikit ja” jawab Pak Ramlan sambil tersenyum. Beliau memberi isyarat kepada Rahim untuk mengikut dia masuk ke dalam.

Rahim bangun dengan perlahan sambil dibantu oleh Pak Ramlan. Mereka berdua berjalan menuju ke sebuah bilik di dalam rumah berkenaan.

Pak Ramlan membuka pintu bilik. Kedua-duanya masuk ke dalam.

Rahim duduk di atas sebuah kerusi di tepi katil. Pak Ramlan membantunya seketika sebelum duduk di lantai untuk bertafakur.

Rahim hanya memerhatikan sahaja Pak Ramlan duduk membatu buat seketika. Orang tua itu memejamkan matanya dan tidak bergerak langsung dalam 10-15 minit.

Rahim agak resah dengan keadaan Pak Ramlan. Berbeza dengan semalam, dia datang dan membayar sahaja tangkal yang ditempahnya seminggu yang lalu.

Tapi hari ini berbeza.

Tiba-tiba Pak Rahim menghulurkan segelas air kepada Rahim.

Rahim tersedar dari lamunannya.

“Air apa ni Pak?” soal Rahim.

“Minumlah. Nanti kaki Rahim boleh cepat baik. Lagipun, ada kawan Pak cik nak jumpa Rahim” terang Pak Ramlan.

Tanpa membuang masa, air itu diteguk oleh Rahim sehingga habis. Rasanya agak pelik. Namun tidak menjadi masalah bagi Rahim. Kemudian dia terasa kepalanya berpusing-pusing buat sementara waktu.

Rahim melihat wajah Pak Ramlan berubah-ubah bentuk, sekejap memanjang dan membujur dan kembali normal. Kemudian mata Pak Ramlan memanjang ke bawah dan ke atas berulang-ulang kali.

Rahim melihat Pak Ramlan mengangkat tangannya dan jarinya menunjukkan di suatu sudut dalam bilik itu.

Rahim melihat ke arah yang ditunjukkan oleh Pak Ramlan. Dilihatnya ada seorang lelaki berdiri disitu sambil berpeluk tubuh.

Mukanya agar kabur dan gelap kerana dia berada di sudut yang agak kurang cahaya. Lelaki misteri itu menghulurkan sesuatu di tangan kirinya.

Rahim terasa seperti sedang berjalan menuju ke arah lelaki itu. Namun satu perkara yang paling dikaguminya adalah keupayaan dia berjalan seperti biasa tanpa penggunaan tongkat.

Rahim mencapai tangan lelaki tersebut. Barang yang ada di tangan lelaki itu diambil dan dia kembali berjalan duduk di kerusinya kembali.

Setelah dia duduk, Pak Ramlan menunjukkan sesuatu di tangannya. Rahim mencapai sehelai kertas kecil ditangan Pak Ramlan. Dia meletakkan barang yang diambilnya dari tangan lelaki misteri itu diatas meja. Kemudian dia mengambil sebatang pen dan menulis sesuatu di atas kertas tersebut dan menandatanganinya.

Rahim menyerahkan semula kertas itu kepada Pak Ramlan.

Pak Ramlan mengambilnya dan menyerahkan kepada lelaki misteri tersebut.

Dengan sekelip mata, lelaki itu hilang dari pandangannya.

Rahim kembali tersedar apabila mendengar suara Pak Ramlan.

“Rahim…” panggil Pak Ramlan.

Rahim terkelip-kelip mata memandang Pak Ramlan. Pengalaman yang dilaluinya tadi umpama mimpi nyata. Dia bangun dan hampir terjatuh kerana tidak menggunakan tongkatnya. Nasib baik Pak Ramlan sempat memegangnya sebelum dia terjatuh.

§§

Rahim melambaikan tangannya melalui tingkap keretanya ke arah Pak Ramlan yang berdiri di pintu. Matanya tiba-tiba menangkap sesusuk tubuh berdiri di sebelah Pak Ramlan. Lelaki misteri itu ada di sebelah Pak Ramlan sambil turut melambaikan tangannya.

Rahim mengubah pandangannya ke hadapan sebelum kembali memandang Pak Ramlan. Namun, lelaki itu sudah tiada.

Dia memandu keluar dari kawasan rumah Pak Ramlan menuju ke arah jalan besar.

Diihatnya tangkal baru yang diperolehinya hari ni. Sedikit berbeza dengan yang semalam. Tangkal yang baru ini membuatkan dia rasa begitu membara dan hebat.

Dia begitu gembira kerana esok dia akan dapat menguji kehebatan tangkal Pak Ramlan ini di tempat kerjanya.

“Ah…esok aku M.C. lagi…” bisik hatinya.

“Tak dapatlah aku uji dengan bos aku…” ucapnya lagi berseorangan dalam kereta.

Kemudian dia terlihat sesuatu melalui cermin pandang belakangnya. Sekilas susuk tubuh lelaki misteri di rumah Pak Ramlan tadi dilihat duduk di bahagian belakang keretanya.

Rahim terkejut dan memberhentikan keretanya di tepi jalan.

Dia perlahan-lahan mengangkat kepalanya dan melihat ke arah cermin pandang belakang.

Matanya tidak dapat mengesan lelaki tersebut. Dia memberanikan diri untuk memandang terus ke belakang.

Di toleh kepalanya ke arah tempat duduk belakang dan melihat tiada sesiapa di belakangnya. Puas di carinya dengan mata namun tiap sudut tempat duduk itu tiada apa-apa yang dapat dilihat untuk menyokong ilusi yang dilihat dari cermin pandang belakang sebentar tadi.

Rahim memandang semula ke arah depan. Bulu romanya terus naik apabila dilihatnya di cermin hadapan keretanya terdapat kesan tapak tangan berbentuk wap betul-betul menghadap ke arahnya.

Seolah-olah sewaktu dia berpaling sebentar tadi makhluk atau benda tersebut sedang memerhatikannya dari hadapan cermin keretanya.

Rahim menarik nafas panjang dan cuba menenangkan dirinya.

“Aku ada tangkal ni. Buat apa aku nak takut?” Ucapnya perlahan.

Dia kemudian meneruskan perjalanannya semula.

§§

Tutt…tutt tutt…tutt tutt….bunyi telefon bimbit Rahim.

“Hello…siapa ni?” soalnya apabila nombor yang tertera tiada pengenalan nama dalam phone book.

Terdengar suara garau dan kasar menjawab panggilan itu.

“Rahim…” sebut suara itu.

“Siapa ni hah?” bentak Rahim seketika. Dia menyangkakan ada orang cuba untuk menyakatnya.

Dia terus memutuskan panggilan dengan emosi berapi.

Pada masa itulah Rahim terasa ada orang meniup lubang telinga kirinya. Dia berasa terkejut.

Ditoleh mukanya ke sebelah kiri di tempat duduk penumpang.

Panggg satu tamparan hinggap di pipi kirinya.

“Adoi!..” jerit Rahim.

Dia memberhentikan kenderaan di tepi jalan. Sebaik sahaja kereta sudah berhenti dia mengusap pipinya yang ditampar sebentar tadi.

Dia masih mencari punca dia seolah-olah menerima tamparan dari seseorang.

Puas matanya meliar di segenap ruang dalam keretanya dan dia masih tidak tahu apa atau siapa yang menamparnya.

Rahim kembali mengusap pipinya. Dia masih menyimpan perasaan geram dan sakit hati berkenaan perkara tersebut.

Telefonnya sekali lagi berbunyi. Tutt…tutt tutt…tutt tutt..

“Hello? Eh, kau jangan main-main dengan aku. Kalau aku…” belum habis Rahim berkata-kata tiba-tiba dia seakan terpukau.

Ada suara dalam telefon itu yang memberi arahan kepadanya.

Rahim hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Matanya tidak berkedip langsung.

Dia seakan tenang mendengar arahan melalui telefon itu. Suara yang didengari itu umpama bisikan yang menghembus bak angin ke dalam lubang telinganya dan mematikan sistem logik dalam mindanya.

Setelah panggilan tamat. Rahim meletakkan telefonnya di tempat duduk sebelah kiri.

Dia membetulkan duduknya di dalam kereta. Kemudian dia terpaku menghalakan wajahnya ke arah cermin hadapan kereta.

Keadaan Rahim tidak ubah seperti patung yang tidak bernyawa. Dia diam statik ditempat duduknya. Kemudian lampu dalam kereta terpadam.

Pada waktu itu, tiada bunyi apa-apa yang dapat di dengari. Sunyi sepi.

Dalam masa 10 minit Rahim terdiam kaku.

Tiba-tiba telefonnya berbunyi lagi.

Pada masa itulah Rahim menghantukkan kepalanya ke arah stereng kereta berulang-ulang kali.

Hentakkan itu sangat kuat sehingga dahinya mengeluarkan darah pekat. Stereng kereta itu bermandi darah Rahim yang seperti sudah hilang akal.

Rahim semakin galak menghentakkan kepalanya. Stereng itu bergegar kuat dek kuatnya hentakkan itu.

Mata Rahim terbeliak. Lidahnya terjelir keluar. Namun tenaganya masih bergerak aktif menghentakkan kepalanya sendiri terus-menerus sehingga darah itu memancut keluar dari kepalanya.

Cermin hadapan kereta sudah menjadi kabur kerana tindakkan seperti orang hilang akal ditunjukkan oleh Rahim.

Akhirnya Rahim menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah mengalami kecederaan yang parah di bahagian kepala.

Tubuhnya tidak bergerak lagi. Kepalanya terletak di atas stereng kereta.

Darah pekat membanjiri keretanya.

Rahim sudah menjadi mayat.

Tiba-tiba pintu kereta di buka dari luar.

Kelihatan Pak Ramlan di muka pintu kereta sambil mengukir senyum.

33 total views, 1 views today

Leave a Reply