Bab 1 – Mencari Sofea (BERLAWAN DENGAN SYAITAN II – BDSII)

Spread the love

Bab 1 – Mencari Sofea

“Apa yang dimenungkan tu?” tanya abah kepadaku.

“Takde apa-apa abah” jawabku perlahan.

“Abah tak jadi ke nak pergi rumah Mak cik Nina?” soalku pula.

“Sebab tu abah tanya abang. Termenung ja. Jadi tak nak bawa abah?” jawab abah pula.

Aku tersengih mendengar jawapan abah.

“Maaf abah, terlupa” ucapku.

Abah hanya tersenyum.

“Teringat dengan Sofea ke?” usik abah lagi.

Aku ketawa kecil sambil bangun menuju ke pintu rumah.

Abah berjalan mengikutiku dari belakang. Kami menuruni tangga dan berjalan menuju ke kereta. Hari tiba-tiba jadi mendung. Aku menekan alarm kereta dan membuka pintu kereta. Abah masuk ke dalam kereta dari pintu sebelah kiri dan aku masuk ikut pintu sebelah kanan.

Aku menghidupkan enjin kereta. Ku lihat abah leka membelek kertas-kertas kecil yang dikeluarkan dari beg kecilnya. Dia membaca sesuatu dari salah satu keratan kertas itu. Mungkin abah sedang mengesan alamat rumah Makcik Nina yang ditulis dan disimpan dalam kertas tersebut.

Bila ku kenang semula saat kali terakhir aku menziarahinya adalah pada tahun lepas. Suatu jangkamasa yang agak panjang selepas suaminya meninggal dunia tahun lepas.

Aku memandu kereta keluar dari kawasan perkarangan rumah abah. Hari tiba-tiba dihujani dengan air-air yang turun dari langit dalam bentuk titis-titis air yang kecil menyirami cermin hadapan keretaku.

Aku masih dapat melihat sedikit walaupun titisan itu sudah menutupi kesemua permukaan cermin. Tindakan refleks tanganku membolehkan wiper bergerak pantas menepis air dari cermin dengan kemas.

Pandanganku kembali jelas namun titisan yang semakin laju turun dari atas langit menyebabkan cermin kembali kabur. Wiper di tetapkan untuk bergerak lebih pantas bagi menyamai kepantasan air hujan yang sudah semakin lebat.

Abah menyimpan baki kertas-kertas yang dikeluarkannya dengan hanya meninggalkan satu sahaja yang dipegang erat. Dia memberitahuku bahawa Makcik Nina sudah berpindah ke rumah baru dan alamatnya ada ditangannya sekarang.

Aku meminta abah membaca alamat berkenaan. Alamat berkenaan agak jauh dari rumah abah. Aku menganggukkan kepala selepas abah membaca alamat berkenaan kerana abah bertanya samada aku tahu atau tidak lokasi alamat berkenaan.

Kami meneruskan perjalanan menuju ke rumah Makcik Nina. Tiba-tiba abah bertanya kepadaku,

“Abang ingat lagi tak dengan Makcik Nina?”

“Ingat abah. Tahun lepaskan kita ziarah Makcik bila suaminya meninggal” jawabku pendek.

“Oh…maknanya abang tak datang masa dia buat kenduri doa selamat bila pindah rumah baru tu?” soal abah lagi.

Aku terus berfikir dan cuba mengingat semula situasi itu. Puas aku mencuba mendapatkan ingatan tersebut namun tiada apa yang aku perolehi.

“Abah, boleh bagitahu tarikh nya tak?” balasku kepada abah.

Selepas mendapatkan tarikh berkenaan baru aku dapat mengingatinya.

Pada hari itu, aku ditugaskan oleh bos aku untuk berjumpa dengan client di Sabah. Aku berada di luar kawasan selama dua hari untuk mendapatkan projek berkenaan.

“Dah ingat ke?” kejut abah apabila aku dilihat mengelamun seketika.

“Dah abah. Abang kan ada kerja kat Sabah masa tu” jawab aku pantas.

“Hah, ingat pun.. Abah saja tanya abang.. Nak tengok ingat ke tidak” terang abah.

Abah melemparkan senyumannya kepadaku.

Aku turut tersenyum.

“Makcik suruh datang sebab apa abah?” soalku semula.

Abah kembali merenungku dengan wajah penuh tanda tanya. Kemudian dia memandang ke arah depan. Aku sekali sekala cuba memandang abah kembali dengan harapan abah akan memberikan jawapan kepada soalanku tadi.

Namun abah masih mendiamkan diri. Aku terus memfokuskan pemanduan aku apabila tiba-tiba abah memberitahuku dengan nada yang dalam kerisauan.

Aku mendengar cerita abah dengan tekun.

Sesekali aku menganggukkan kepala dan sesekali menggelengkan kepala.

Perjalanan masih jauh. Aku sudah mula menguap beberapa kali. Abah mengarahkan aku agar memandu ke hentian rehat untuk seketika.

Dalam jarak satu kilometer terdapat hentian rehat dihadapan kami. Aku membelokkan kereta masuk ke simpang berkenaan dan memberhentikan kereta dihadapan surau.

Tiba-tiba ku lihat ada seorang lelaki berdiri tidak jauh dari tempat aku berhenti. Aku tidak mengendahkannya sangat. Lalu aku keluar dari kereta dan aku terdengar salam dari arah sebelah kananku.

Aku menolehkan mukaku dan aku terkejut tiada sesiapapun di sebelah kananku itu. Aku cuba mencari arah suara tadi. Aku memerhatikan sekeliling dan cuba mengesan orang yang memberi salam tadi.

Abah perasan dengan keadaanku. Abah bertanya kepadaku. Namun aku memaklumkan kepadanya tiada apa-apa yang perlu dirisaukannya.

Aku masih tercari-cari suara itu. Adakah ia perasaan atau sememangnya ada seseorang yang memberi salam kepadaku tadi?

§§

Aku terus berjalan menuju ke surau. Ku lihat abah sudahpun sampai di pintu surau sambil membuka kasut. Tiba-tiba aku melihat seorang lelaki di balik pokok. Dia berselindung disitu tanpa ku tahu sebabnya.  Aku mengalihkan langkahanku dari ke surau menuju ke pokok tersebut. Aku masih boleh melihat dia berdiri sambil tangan kanannya menahan pokok dan tangan kirinya rehat di sisi kirinya.

Dia berpakaian seperti orang Arab yang biasa ku lihat di televisyen. Oleh kerana dia membelakangkan cahaya, mukanya tidak jelas ku lihat. Namun, aku tidak mengalihkan pandanganku saatku berjalan laju menuju ke arahnya.

Pada masa aku sedang berjalan itu aku terlanggar kanak-kanak yang sedang berlari dihadapanku. Aku terkejut dan hampir terjatuh kerana perlanggaran tersebut. Aku memandang ke arah kanak-kanak yang ku langgar itu kerana aku mendengar dia terjatuh selepas berlanggar denganku yang mata asyik memandang lelaki di balik pokok.

Aku memandang ke bawah, di sekeliling tempat yang mungkin ada susuk tubuh kanak-kanak terjatuh namun tiada apa-apa langsung. Aku melihat ke kiri dan kananku untuk mengesan kanak-kanak itu. Tiada kanak-kanak yang berada di kawasan ini. Aku memang yakin aku mendengar suara kanak-kanak yang terjatuh tadi.

Aku kembali mencari lelaki di balik pokok. Lelaki itu sudah hilang dari pandangan. Mataku meliar mencari di semua sudut dan tidak berhasil melihat lelaki berkenaan semula. Aku beristighfar beberapa kali kerana aku tidak pasti samada ini angkara gangguan syaitan atau sebaliknya.

Aku kembali berpatah balik menuju ke surau. Aku berjalan pantas kerana aku tahu aku telah membazirkan waktu kerana perkara tadi. Ku lihat abah duduk didepan surau sedang memakai kasut. Aku menghampirinya dan duduk membuka kasut.

“Pergi mana tadi?” tanya abah kepadaku.

“Tak pergi mana. Cari orang tadi” balasku pendek. Kemudian aku berjalan masuk ke surau.

Sesudah melakukan solat, aku bangun hendak menuju ke pintu apabila ku lihat seorang lelaki mirip lelaki arab sedang bersolat di penjuru kanan sebelah belakang.

Aku berdiri kaku sebentar. Lama aku memerhatikan lelaki berkenaan untuk mengenalpasti samada lelaki itu adalah lelaki yang ku lihat di balik pokok sebentar tadi.

Aku kembali duduk di sebelah kiri penjuru surau. Aku ingin menunggu lelaki berkenaan. Aku pasti dia adalah lelaki yang ku lihat tadi. Oleh itu aku ingin bersemuka dengannya dan bertanya beberapa soalan.

Aku bersandar ke dinding buat seketika. Aku memalingkan semula pandanganku ke arah lelaki berkenaan. Alangkah terkejutnya aku kerana lelaki itu sudah tiada.

Aku bingkas bangun dan berjalan ke arah pintu. Aku bergegas keluar dan tiada sesiapa diluar kawasan surau itu yang dapat ku lihat. Sekali lagi aku terlepas lelaki itu. Siapa lelaki ini? Ilmu apa yang dia miliki sehingga boleh hilang begitu sahaja.

Tiba-tiba ada tangan yang memegang bahuku. Aku terkejut dan memandang ke belakang. Kelihatan di hadapanku seorang lelaki berumur yang berpakaian serba putih. Janggutnya panjang dan berserban putih juga. Dia mengucapkan salam kepadaku. Aku segera membalas salamnya.

“Kenapa anak ni? Adakah anak mencari seseorang?” tanyanya ringkas.

“Tidak pakcik. Saya tidak mencari sesiapa..” jawabku pendek.

“Benar? Sebab saya melihat anak berlari dengan tergesa-gesa tadi sewaktu keluar seolah-olah mencari seseorang” terangnya kepadaku.

Aku masih terus menafikan perkara berkenaan. Namun yang demikian, lelaki berumur itu menyerahkan sebuah beg kecil seperti beg abah yang biasa ku lihat sebelum ini. Itulah sebabnya dia mencari aku di luar ini semata-mata ingin menyerahkan beg tersebut.

Aku menolaknya namun dia berkeras menyatakan beg itu kepunyaanku. Oleh itu aku pun menerima beg itu dan cuba untuk menyiasat pemilik beg yang sebenar.

Ku buka zipnya dan ku lihat banyak keratan kertas-kertas kecil di dalamnya. Memang sah, beg ini milik abah.

§§

Apabila ku angkat kepalaku untuk mengucapkan terima kasih kepada lelaki berkenaan, lelaki itu sudah ghaib dari pandanganku.

“Allahuakbar” ucapku selepas satu lagi peristiwa pelik berlaku. Aku mendongak ke langit. Ku lihat awan hitam semakin menghampiri kawasan hentian rehat ini. Aku kembali melihat ke arah keretaku di hadapan surau ini.

“Mana abah?” bisik hati kecilku.

Aku berjalan perlahan menuju ke kereta.

“Macam mana abah boleh tertinggal beg dia ni?” lagi persoalan berlegar difikiranku.

“Bukan ke tadi aku terserempak dengan abah masa nak masuk surau tadi?” aku masih menyoal diriku sendiri.

Aku terus berjalan dan menekan alarm untuk masuk ke dalam kereta. Ku buka pintu kereta dan masuk ke dalam.

Kali ini kalau aku nampak lagi kelibat lelaki berkenaan akan aku kejar dia. Itulah niatku.

Aku menghidupkan enjin kereta. Kemudian aku mengeluarkan telefonku dan aku cuba untuk menghubungi abah. Aku tidak tahu ke mana perginya abah.

“Hello, assalammualaikum abah” ucapku didalam telefon.

“Waalaikumussalam” jawab abah.

“Abah ada mana?” soalku.

“Abah ada kat kedai ni, kenapa abang? Cari abah ke?” teka abah selepas mendengar intonasi suara aku.

“Kalau abah ada kat kedai tak pa la. Abang ingat abah hilang tadi” terang aku kepada abah dengan nada risau.

“Oh…maafkan abah buat abang risau. Tadi abah lupa nak minta kunci kereta bila abang solat tadi. Abah pun jalan pergi kedai sekejap. Abah jumpa kawan lama abah Haji Ahmad kat kedai ni” balas abah semula.

“Haji Ahmad?” soalku semula.

“Dia kata dia ada bagi barang dengan abang, beg abah. Dia tak sangka jumpa abah kat sini” jelas abah ringkas.

Aku berkerut dahi mendengar cerita abah. Adakah Haji Ahmad lelaki yang aku temui tadi? Apa yang menjadi tanda tanya adalah dari segi penjelasan munasabah keberadaan Haji ke lokasi abah berada dalam sekelip mata.

“Kuasa Allah, apa nak hairan. Ilmu dia memang tinggi..” ucapku sendiri.

Seketika kemudian abah kembali ke kereta dan masuk ke dalam. Abah tersenyum memandangku. Aku jadi pelik.

“Kenapa abah?” Soalku sebaik abah selesai memakai tali pinggang keselamatan.

“Kawan abah cakap abang cari kawan dia dalam surau. Selepas tu abang cari kat luar tapi tak jumpa kawan dia tu” cerita abah denganku.

“Kawan dia?” bisikku perlahan.

“Siapa kawan dia tu abah?” aku bertanya lagi.

Abah memandangku dengan penuh kehairanan. Walaubagaimanapun, dia bercerita juga denganku namun aku harus terus memandu untuk ke rumah Makcik Nina pintanya. Abah bimbang perjalanan akan menjadi lewat nanti.

Aku pun meneruskan pemanduanku.

§§

Hujan turun lebat semula sepanjang perjalanan. Aku memandu dengan berhati-hati di lebuh raya yang agak sesak sedikit pada hari ini. Kelihatan lori yang panjang-panjang dan lebar yang menggunakan lebuhraya pada masa-masa begini.

Aku berusaha memintas dan mengelak dari bergerak di belakang kenderaan-kenderaan berat ini. Satu demi satu ku potong demi melancarkan perjalanan kami.

Selepas memandu hampir dua jam, akhirnya kami sampai ke rumah Makcik Nina. Aku memberhentikan kereta di hadapan pintu pagar rumahnya.

Nasib baik ketika tiba di rumah Makcik Nina hari sudah sedikit cerah. Hujan sudah berhenti.

Aku melangkah perlahan mengekori abah yang memberi salam sejurus sampai di hadapan pintu pagar rumah berkenaan.

Kawasan rumah agak sunyi. Ting Tong sekali lagi abah menekan loceng di pintu pagar.  Abah memberi salam semula.

Ketika abah baru nak mengeluarkan telefon untuk menelefon Makcik Nina, tiba-tiba pintu pagar tersebut terbuka perlahan-lahan.

Abah membatalkan niatnya untuk menelefon dan berjalan masuk ke dalam kawasan rumah tersebut diikuti oleh aku.

Pagar berkenaan kemudiannya tertutup semula perlahan-lahan. Aku memerhatikan keadaan persekitaran. Tiada sesiapa yang dapat ku lihat. Keadaan begitu sunyi dan sepi. Ketika aku berjalan bersama-sama abah, aku dapat rasakan bahawa kami seolah-olah sedang diperhati.

Tiba di pintu depan rumah, pintu terbuka dan kelihatan seorang perempuan separuh umur berdiri disitu.

“Jemput masuk tuan” ucapnya.

Abah melirik ke arahku dan mengajakku masuk sekali.

Kami berdua melangkah masuk ke dalam rumah tersebut. Rumahnya penuh dengan lampu. Ada bermacam-macam jenis lampu di dalam rumah ini. Di atas meja, di dinding, di atas siling dan di tepi-tepi tingkap juga boleh dilihat lampu-lampu yang menyala. Aku dapat rasakan tuan rumah ini memang seorang yang taksub dengan lampu.

Kami dipersilakan duduk di ruang tamu oleh perempuan tadi.

“Tunggu sebentar tuan. Puan akan turun sebentar lagi” ucapnya kepada kami.

“Terima kasih…” balas abah.

Kami berdua duduk di sofa yang nampak seperti sofa yang sangat mahal. Abah hanya mengangkat keningnya apabila aku memandangnya ketika kami sama-sama melabuhkan punggung di sofa berkenaan.

Tidak lama kemudian, Makcik Nina datang ke ruang tamu bersama seorang wanita muda.

“Terima kasih abang Sulaiman…” ucapnya seraya hadir didepan kami.

Abah bangun dari tempat duduknya dan mengukir senyum.

“Ah..Nina. Kalau dijemput, Insya Allah sampai…” balas abah pendek.

Makcik Nina ku lihat seperti seorang datin.

Dia duduk bertentangan denganku. Perempuan muda itu turut duduk disebelahnya. Dia memakai seluar berwarna hitam dan baju blaus warna putih. Rambutnya dilepaskan ke belakang berwarna keperang-perangan. Bulu matanya lentik dan berhidung mancung. Kulitnya putih cerah seperti Makcik Nina.

“Anak dia barangkali…”  bisik hati kecilku.

Makcik Nina memandang ke arahku.

“Kamu tentu Shah Iskandar kan?” tanya Makcik Nina.

“Ya Makcik” jawabku pendek.

“Ayah kamu selalu ceritakan pasal kamu dengan aunty” balasnya semula.

“Abah cerita pasal aku dengan Makcik Nina?” bisik hatiku semula.

“Kenapa abah nak beritahu Makcik?” hatiku berkata lagi.

Aunty difahamkan kamu sudah berhenti kerja sebab nak bantu ayah kamu menolong orang” ucap Makcik Nina lagi.

“Benar Makcik…err aunty” jawabku kepadanya.

“Kita bukan datang sini nak bincang pasal saya kan?” soal ku pula. Cuba memotong sebarang perbincangan mengenai diriku.

“Ya benar. Aunty panggil ayah kamu dan kamu ke rumah pada hari ini kerana aunty perlukan bantuan” ucapnya.

“Bantuan macam mana tu Nina?” abah bersuara.

Makcik Nina memandang wajah wanita muda di sebelahnya. Wanita berkenaan menganggukkan kepalanya tanda memberi keizinan kepada Makcik Nina untuk memberitahu kami.

34 total views, 1 views today

Leave a Reply