Bab 27 – Menerima Pembalasan (BDS)

Spread the love

Bab 27 – Menerima Pembalasan

Selesai menikmati makanan dan minuman yang disediakan oleh isteri abang Kimi dan Alisha, mereka berbual-bual kosong sehinggalah mereka semua menunaikan solat fardhu subuh berjemaah di surau mini di rumah abang Kimi.

Selepas itu, abah memberikan sedikit tazkirah agama kepada semuanya.

Selesai perkara itu, masing-masing keluar ke ruang tamu untuk berbincang mengenai masalah terbaru yang dihadapi oleh Alisha. Ibu dan bapanya ke dapur untuk menyediakan makanan pagi.

“Sha, boleh bagitahu atuk, apa yang terjadi kepada Sha selepas pulih dari gangguan syaitan sebelum itu.” tanya abah kepada Alisha.

Alisha mengerutkan keningnya seolah-olah sedang cuba mengingat kembali peristiwa yang menyeramkan yang berlaku kepadanya sejak kebelangan ini.

Setelah berjaya mengingati kembali, dia menceritakan semua peristiwa itu satu persatu kepada abah. Abah mendengar dengan khusyuk sambil sesekali mengemukakan pertanyaan kepada Alisha bagi sesetengah perkara yang tidak berapa jelas. Alisha akan menjelaskan perkara itu dengan panjang lebar dan sempurna. Abah mengangguk-anggukkan kepalanya sesekali apabila mendengar Alisha menceritakkan rupa bentuk makhluk yang sentiasa mengganggunya diwaktu malam dan diwaktu tidurnya.

Aku juga turut mendengar dengan daya penumpuan yang tinggi kerana aku sangat pasti ini adalah perbuatan bekas kekasihnya iaitu Azim yang merupakan anak kepada Dato’ Ramli. Aku masih ingat ketika aku pergi bersua muka dengan Azim di pejabatnya gara-gara dia cuba mengugut Alisha yang memutuskan perhubungan mereka.

“Azim memang nak balas dendam kepada Alisha.  Pasti, aku sangat pasti…” bisik hatiku.

Alisha terus menceritakan perihal makhluk yang bertanduk dan membawa sebilah senjata menyerupai sebilah lembing yang berwarna kuning keemasan. Katanya, mahkluk itu sentiasa hadir dalam mimpinya dan cuba membunuhnya.

Aku berpandangan dengan abah apabila Alisha memberikan gambaran makhluk yang sering mengganggunya di dalam tidur itu.

“Jin rupanya…” ucap aku.

“Ya, Jin. Pasti ada orang yang suruh dia buat begitu. Orang yang mengupahnya mahukan Alisha dibunuh dengan secepat mungkin” sambung abah pula.

Alisha hanya memandang kedua-dua lelaki dihadapannya itu dengan perasan tanda tanya, Namun yang demikian, perkara yang paling menjadi tanda tanya pada Alisha adalah tasbih ghaib yang terbang yang sentiasa menyelamatkan nyawanya.

“Apa? Tasbih terbang?” ulang abah kepada Alisha.

Alisha hanya mengangguk-anggukkan kepalanya.

Abah memandang aku dengan perasaan pelik. Aku masih berfikir tujuan tasbih tersebut datang dalam mimpi Alisha.

“Dari mana pula datangnya…” bisik hatiku sambil terus mendengar Alisha meneruskan ceritanya.

Kemudian, abang Kimi dan isterinya datang ke arah kami sambil menjemput untuk menikmati sarapan pagi. Kami semua bergerak ke arah meja makan yang kelihatan penuh dengan makanan-makanan untuk sarapan pagi. Perut aku terus berkeroncong sebaik-baik terhidu bau nasi lemak dan sambal sotong di atas meja tersebut. Kami semua menikmati sarapan pagi sambil berbual-bual.

Selepas sudah menikmati makan pagi, kami kembali semula ke ruang tamu untuk mendapatkan penjelasan lanjut terhadap mimpi-mimpi aneh yang dialami oleh Alisha pada setiap malam apabila gadis berkenaan ingin melelapkan mata.

“Malam ini, atuk dengan pak cik akan tidur di rumah Sha” terang abah.

Alisha hanya menganggukkan kepalanya.

“Maknanya atuk akan tolong Sha malam ni kalau makhluk tu datang lagi ke?” Soal Ida kepada abah yang terus menganggukkan kepalanya.

Aku turut bersetuju dengan cadangan abah untuk bermalam di rumah abang Kimi pada malam ini. Lagipun, aku terdengar semasa makan tadi abah meminta izin dengan abang Kimi untuk bermalam di rumahnya.

Apabila malam menjelma, abah sudah bersedia bersama dengan abang Kimi dan aku di bilik Alisha. Alisha mengadu matanya terlalu mengantuk sangat pada ketika ini. Abah mengarahkan Alisha untuk tidur. Namun ada beberapa perkara yang perlu dilakukanya sebelum memejamkan matanya. Alisha di ajar beberapa ayat dan doa untuk dibaca.

Selepas dia selesai, dia melelapkan matanya dan tidak sampai beberapa saat, Alisha sudah tidur dengan nyenyak sekali.

Dalam mimpinya, dia berada di tempat yang sama seperti mimpi-mimpi sebelum ini.

Dia masih melihat sekelilingnya untuk mengesan lelaki bertanduk berkenaan. Dia berjalan ke arah sebuah bukit yang berada tidak jauh dari tempat dia berdiri.

Dia hairan kerana, tiada ketakutan lagi didalam dirinya. Dia seolah-olah mempunyai kekuatan istimewa yang luarbiasa untuk menghadapi lelaki berkenaan. Ini kerana atuknya sudah memberikan motivasi secukupnya untuk melawan lelaki bertanduk berkenaan. Semangat Alisha berkobar-kobar untuk melakukan perhitungan terakhir dengan makhluk berkenaan. Dia tidak mahu lagi diganggu dan ditakutkan oleh lelaki bertanduk berkenaan.

Dengan tiba-tiba dia terlihat biasan cahaya berwarna keemasan dari kejauhan. Dia tahu, ini adalah biasan cahaya lembing lelaki itu. Makhluk itu pasti ada berdekatan.

Mulutnya masih tidak henti-henti berzikir untuk memberikan dia kekuatan itu bagi melawan makhluk berkenaan. Saat yang di tunggu sudah tiba kerana makhluk berkenaan turun dari bukit dengan membawa lembingnya menuju ke arah Alisha.

Alisha juga berjalan menuju ke arahnya. Tiba-tiba ada sebilah pedang di tangan kanannya. Biarpun nampak besar, namun ia sangat ringan sekali. Alisha pun tidak tahu dari mana datang pedang berkenaan namun dia menjadi semakin bersemangat.

Makhluk berkenaan berhenti di pertengahan bukit. Dia menimang lembingnya dengan tangannya separas bahu dan akhirnya merejamnya ke arah Alisha. Alisha tidak berganjak dan meneruskan langkahanya. Lembing berkenaan di halang oleh tasbih yang terbang menyebabkan ia jatuh ke bawah sebelum mengenai Alisha. Kali ini tasbih berkenaan melilit lembing berkenaan menyebabkan ia kekal di atas tanah.

Lelaki bertanduk berkenaan menjadi kehairanan kerana lembing tersebut tidak kembali semula ke pangkuannya biarpun telah dijampi untuk kembali semula. Dia tiba-tiba menjadi takut melihat riak wajah Alisha yang sangat menggerunkannya untuk menatap. Dilihatnya ditangan Alisha ada sebilah pedang yang berkilauan. Baru sahaja dia membelakangkan Alisha dan ingin melarikan diri, dia terasa satu libasan kuat di bahagian belakangnya menyebabkan dia menjerit kesakitan. Darah terpercik keluar dari luka berkenaan dan lelaki berkenaan terjatuh ke tanah sambil menjerit kesakitan.

Alisha terus menghampiri lelaki berkenaan yang sedang terbaring kesakitan. Dihayunnya sekali lagi pedang ditangannya ke arah tanduk lelaki berkenaan yang menyebabkan ia terputus dari kepalanya. Lelaki berkenaan menjerit kuat sambil memegang bahagian yang terputus. Dan akhir sekali Alisha melibaskan pedang berkenaan ke arah lehernya dari belakang apabila lelaki itu cuba bangun dan melarikan diri dengan cara membelakangkan Alisha. Ini menyebabkan kepala lelaki itu terputus dari badannya. Badannya rebah ke tanah dan kepalanya bergolek-golek menuruni bukit tersebut. Tiada lagi jeritan dan suara lelaki berkenaan. Keadaan menjadi sunyi. Sekelip mata tubuh lelaki itu tiada lagi di hadapan Alisha. Ia telah ghaib. Pedang di tangan juga sudah ghaib. Alisha merasa sangat letih. Dia bersujud ke tanah tempat dia berdiri. Dia mengucapkan syukur ke hadrat Allah swt yang telah membebaskan dia dari gangguan tersebut. Dia pasti Allah telah memberikan pertolongan dengan memberikan tenaga dan keberanian yang luarbiasa bagi dia menentang lelaki berkenaan yang sering menghantuinya di dalam mimpi.

Sementara itu, Pak Heryanto tiba-tiba terjaga dari tidurnya kerana mendengar jeritan kuat dari bilik pemujaannya. Dia bingkas bangun dan berjalan keluar dari biliknya dan menuju ke bilik suara yang didengarinya. Apabila sampai dimuka pintu bilik berkenaan, dia mendengar seolah-olah ada orang yang sedang mengamuk didalam bilik berkenaan. Dia terdengar seperti benda-benda di lempar dan bunyi bising yang dia sendiri tidak pernah alami.

Dia membuka pintu berkenaan dan memasang lampu bilik dan alangkah terkejutnya dia apabila dia melihat segala peralatan pemujaan bersepah-sepah dan bilik berkenaan menjadi haru-biru seolah-olah ada orang yang sedang mengamuk didalamnya. Ketika dia melangkah masuk, tiba-tiba ada satu objek keras di lempar ke arah kepalanya menyebabkan dia menjerit kesakitan. Pak Heryanto merasakan kepalanya tercedera kerana terdapat cecair yang mengalir turun membasahi dahinya akibat kecederaan itu.

Dia rasa pening yang amat sangat dan cuba untuk berjalan. Namun dia tersadung dan jatuh meniarap ke lantai. Ketika Pak Heryanto rebah, dia tidak perasan sebilah keris yang diletak menegak tanpa sarungnya menembusi jantungnya di lantai berkenaan. Pak Heryanto menghembuskan nafasnya yang terakhir di lantai bilik rumahnya sendiri. Darah pekat mengalir keluar dari bawah dadanya yang tertiarap. Pak Heryanto tidak bergerak lagi.

Keadaan menjadi reda dan sunyi sepi. Tiada lagi bunyi bising.

Di rumah Alisha, dia terjaga kira-kira jam 5.30 pagi. Dilihatnya keadaan gelap di dalam biliknya. Dia menyalakan lampu bilik tidur ditepi katil. Dilihatnya tiada sesiapa di dalam biliknya lagi.

“Mungkin mereka semua sudah masuk tidur dibilik masing-masing agaknya” bisik hatinya. Dia memadamkan lampu dan cuba untuk tidur semula.

Alisha terjaga semula pada jam 7.30 pagi. Dia terasa sangat segar pagi ini. Sudah lama dia tidak menikmati tidur yang berkualiti sejak dia di ganggu oleh lelaki bertanduk berkenaan setiap kali melelapkan mata di katil. Namun kini, gangguan itu sudah tiada.

Alisha bangkit dari tempat tidur dan menuju ke bilik air. Dia mandi dan membersihkan diri sebelum keluar dari biliknya menuju ke tangga untuk turun ke bawah. Di lihatnya Adam bersama-sama pak ciknya sedang berada di ruang tamu. Kemudian dia berjalan menuju ke dapur dan melihat ibu dan ayahnya sedang sibuk menyediakan makan sarapan.

“Morning ibu. Morning ayah” ucapnya kepada keduanya.

Ayahnya menoleh ke arahnya dan tersenyum.

“Morning Sha” jawab ayahnya.

“Morning Sha sayang…” balas ibunya pula yang memeluk Alisha yang datang ke arahnya.

“Macam mana tidur malam tadi okay tak?” soal ibunya.

“Okay…tak pernah Sha rasa macam ni best..” balas Alisha semula sambil terus mengukir senyum.

“Baguslah Sha” ucap ibunya.

“Sha panggil pakcik dengan Adam kat ruang tamu. Ajak mereka minum dan makan ya” arah ibunya kepada Alisha.

“Baiklah ibu..” pendek jawabnya.

Alisha berjalan keluar menuju ke ruang tamu. Dia mencari pakcik dan Adam. “Pakcik…abang Adam…ibu dan ayah jemput makan sekarang” pendek pelawaan Alisha kepada kedua-dua lelaki tersebut yang masih bersembang. Keduanya tersenyum dan menganggukkan kepala hampir serentak.

46 total views, 1 views today

Leave a Reply