Bab 17 – Mengikut Telunjuk Syaitan (BDS)

Spread the love

Bab 17 – Mengikut Telunjuk Syaitan

Tok Bomoh Siam tu masih lagi membaca serapahnya. Sesekali dia memandang ke arah Hakim dan kawannya. Renungannya sungguh tajam dan penuh dengan kemarahan. Kemudian, tok bomoh menyambung semula manteranya. Pergerakan tangannya penuh tanda tanya. Dia berusaha sedaya upaya untuk menjalankan ritualnya yang sangat aneh di mata manusia yang normal. Hakim sekali-sekala melihat jam ditangannya.

“Bila nak abis ni..”. bisiknya didalam hati.

Tiba-tiba kawan si Hakim melagakan lututnya ke peha Hakim. Muncung mulutnya menunjukkan gelagat Tok Bomoh Siam tu. Kelihatan darah di dalam besen itu di seru berkali-kali dengan bacaan-bacaan berbentuk sihir dan menyeru suatu makhluk yang tidak diketahui oleh Hakim dan kawannya. Kemudian, Tok Bomoh Siam menutup sehelai kain berwarna hitam ke atas besen berisi darah tersebut. Dipuja-pujanya berulang kali sambil matanya terpejam rapat. Hakim langsung tidak dapat memahami sepatah perkataan pun daripada kata-kata yang diucapkan oleh Tok Bomoh berkenaan.

Dalam kurang dari 15 minit rumah Tok Bomoh Siam seperti digegarkan oleh sesuatu diatas bumbung rumah tersebut. Hakim dan kawannya terkejut akibat gegaran kuat berkenaan. Kemudian kedengaran seperti ada sesuatu yang sedang berjalan di atas bumbung. Mata Tok Bomoh meliar melihat ke atas; sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Namun yang demikian, mulutnya masih lagi terkumat-kamit membaca sesuatu yang tidak dapat didengari oleh Hakim dan kawannya. Kemudian, keadaan menjadi sunyi sepi. Tok Bomoh menghentikan bacaannya. Dia kembali menumpukan perhatian kepada besen yang tertutup dengan kain berwarna hitam tersebut. Di selakknya kain hitam berkenaan dan didapati besen tersebut kering bersih tanpa ada lagi takungan darah yang pada mulanya ada tadi. Hakim memandang wajah kawannya dengan perasaan yang pelik dan cemas. Kawannya meminta dia bertenang. Kemudian Tok Bomoh Siam memanggil kawan Hakim dan mula menerangkan arahan-arahan lanjut yang harus dipatuhi. Kawan Hakim mengangguk-angguk kepala sambil menghulur tangannya mengambil sesuatu dari tangan Tok Bomoh Siam berkenaan. Kemudian, kawan Hakim memberi isyarat kepada Hakim agar menghulurkan bayaran wang kepada Tok Bomoh berkenaan. Hakim mengangguk dan menyeluk ke dalam begnya dan mengeluarkan satu sampul surat berwarna coklat yang agak tebal isi kandungannya. Sampul berkenaan diserahkan kepada kawan Hakim dan barangan yang dipegangnya diserahkan kepada Hakim. Hakim mengambil barangan tersebut dan disimpan didalam begnya. Kawan Hakim menyerahkan sampul berkenaan kepada Tok Bomoh. Tok Bomoh mengambil sampu tersebut sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Kemudian, kawan Hakim memohon izin dari Tok Bomoh untuk mengundurkan diri bersama-sama Hakim. Tok Bomoh memberikan izin kepada mereka untuk meninggalkan rumahnya kerana upacara ritual sudah selesai.

Mereka berdua segera turun dari rumah Tok Bomoh dan menuju ke arah kereta Hakim. Kedua-duanya masuk ke dalam kereta dan kenderaan berkenaan meluncur laju keluar dari kawasan rumah Tok Bomoh Siam. Dalam 20 minit perjalanan, Hakim memberhentikan keretanya di sebuah rumah di dalam kampung berkenaan. Kawan Hakim turun dari kenderaan dan Hakim bergerak pantas menuju ke jalan besar selepas selesai mendapatkan arahan dari kawannya melalui penjelasan Tok Bomoh tadi. Fikirannya hanya satu sekarang, dia harus segera pulang ke rumah. Ada banyak perkara yang harus dilakukannya terutamanya hal yang berkaitan dengan musuh ketatnya, Shah Iskandar.

45 total views, 1 views today

Leave a Reply