Bab 2 – Penyakit Misteri (BDS)

Spread the love

Bab 2 – Penyakit Misteri

Sudah hampir dua jam berlalu, ahli keluarga yang sedang menunggu sambil membaca ayat-ayat suci al-quran dan bacaan Yassin masih tidak mendapat khabar berita dari mereka yang menjalankan operasi mencari Alisha. Isteri abang Kimi mula bimbang tentang keselamatan Alisha. Dia segera mencapai telefon bimbitnya dan mula mendail nombor telefon suaminya. Kedengaran bunyi nada capaian telefon yang gagal ‘tut…tut…tut’ dan terputus dengan sendirinya. Apabila dia melihat skrin telefon, bar rangkaian penuh. Dia merasa pelik dengan situasi itu dan mencuba buat kali kedua, ketiga dan beberapa kali lagi namun hasil yang sama diperolehi.

“Takkan dalam rumah pun tak dapat call? Suami aku ada kat atas sahaja pun” bisik hati kecilnya sambil menyimpan semula telefon.

Tiba-tiba ada bunyi ‘gedebus’ seolah-olah ada sesuatu yang jatuh ke dalam kolam. Mak mertua abang Kimi menjerit terkejut dan begitu juga dengan yang lain yang berkumpul di ruang tamu. Mereka semua menghentikan bacaan dan berjalan keluar untuk menyiasat situasi yang berlaku.

Apabila mereka menyiasat di kawasan kolam renang tersebut, di dapati air kolam melimpah keluar membasahi kawasan di kolam renang berkenaan. Ini berikutan ‘sesuatu’ telah jatuh ke dalamnya menyebabkan kuakkan air keluar dari kolam tersebut.

Air kolam masih lagi berkocak tetapi yang anehnya tiada apa yang dapat dilihat di dalam kolam berkenaan kerana tiada apa-apa yang dilihat jatuh mahupun timbul akibat kejadian tersebut.

Keadaan menjadi sedikit genting apabila mereka yang baru sahaja dikejutkan dengan kuakkan kolam tadi mendengar pula suara mirip Alisha yang sedang meraung-raung dan menjerit-jerit secara sayup-sayup di kawasan sekitar rumah berkenaan. Bunyi mirip suara Alisha tersebut dikesan seolah-olah datang dari semua sudut dalam rumah tersebut.

Abang Kimi dan ahli-ahli pasukan mencari tiba di tepi kolam semula selepas hampir dua tiga jam menjalankan operasi mencari Alisha di dalam rumah tersebut. Kini mereka pula yang mendengar bunyi suara mirip Alisha berkenaan. Walaubagaimanapun, suara berkenaan semakin pudar dan menghilang. Tidak jelas butir-butir percakapan berkenaan melalui suara tersebut namun kedengaran seolah-olah Alisha meminta pertolongan kepada semua yang ada di dalam rumah berkenaan.

Malangnya, tiada sesiapa yang dapat mengenal pasti kedudukan sebenar Alisha pada masa ini. Ustaz tiba-tiba melaungkan azan dengan kuat di tepi kolam berkenaan. Suara ustaz bergema ke seluruh kawasan rumah dan kawasan disekitar kolam renang tersebut. Suara Alisha tiba-tiba menghilang terus. Dalam tempoh dua tiga minit ustaz melaungkan azan, yang kedengaran hanyalah suara tukang azan sahaja. Setelah selesai ustaz melaungkan azan, keadaan kembali sunyi dan sepi.

Tiba-tiba Adam terjun ke dalam kolam renang berkenaan. Tindakan mengejut Adam menyebabkan mereka yang ada tertanya-tanya. Adam berenang ke arah sesusuk tubuh yang terapung dalam kolam renang berkenaan.

Adam dengan pantasnya memaut leher Alisha dan dia berenang membawanya ke tepi kolam. Mereka yang lain bergegas ke tepi kolam bagi membantu Adam dan Alisha. Mereka menarik tubuh gadis berkenaan ke atas. Alisha masih tidak sedarkan diri.

“Lemas ke dia?” bisik hati kecil abang Kimi yang kelihatan sangat risau.

Mereka semua memerhatikan keadaan Alisha. Abang Kimi bergerak menghampiri anaknya dan meletakkan jarinya ke hidung Alisha. Dia merasakan ada nafas yang keluar melalui hidung Alisha. Lega hatinya pada waktu itu. Dia kemudian memohon bantuan Adam, Aaron, Ustaz dan tuan pemilik rumah untuk membantu dia untuk mengangkat Alisha untuk dibawa masuk ke dalam rumah kerana waktu sudah semakin lewat malam.

Alisha kemudian di usung dan dibawa masuk ke dalam rumah. Dia diletakkan di atas sofa di ruang tamu. Dia masih tidak sedarkan diri.

Melihat keadaannya yang semakin cemas, abang Kimi memutuskan untuk memanggil ambulans untuk datang ke rumah agar Alisha dapat diberi bantuan secepat mungkin di hospital. Pada masa ini tiada apa-apa yang dapat mereka lakukan bagi membantu Alisha kerana mereka tidak tahu apa yang berlaku dan menyebabkan Alisha dalam keadaan begitu sekarang.

Dalam tempoh 15 belas minit, sebuah ambulans sampai ke perkarangan rumah. Anggota perubatan bergegas masuk ke dalam rumah dan menghampiri Alisha.

Alisha diperiksa untuk ujian awal. Setelah anggota perubatan berpuas hati dengan ujian awal berkenaan, mereka membawa Alisha ke dalam ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut di hospital dengan kadar segera. Ambulans kemudian meninggalkan kawasan perkarangan rumah berkenaan. Alisha ditemani oleh ibunya di dalam ambulans.

Manakala, abang Kimi dan beberapa orang anggota keluarga turut menemaninya untuk ke hospital. Anggota keluarga yang lain akan tinggal menunggu di rumah sahaja. Masing-masing agak resah dan berdoa agar Alisha dapat sembuh seperti sediakala semula.

Kemudian, pemilik rumah berkenaan berjumpa dengan abang Kimi untuk meminta izin pulang ke rumah. Beliau memohon abang Kimi menghubunginya setelah urusan berkaitan dengan Alisha selesai di hospital kelak. Beliau berjanji untuk menyerahkan semula wang deposit rumah berkenaan. Beliau juga menyatakan kekesalan atas perkara yang berlaku kepada abang Kimi kerana ini merupakan kali pertama mereka mengalami peristiwa aneh ini di rumah berkenaan.

Abang Kimi berjanji akan menghubunginya semula secepat mungkin. Kemudian kereta yang dipandu oleh Adam meluncur keluar dari perkarangan rumah menuju ke hospital dimana Alisha bakal ditempatkan dan diberi rawatan lanjut. Adam ditemani oleh ayahnya, bapa Alisha dan adiknya, Aaron.

Setelah memandu beberapa lama, akhirnya mereka tiba ke hospital yang dimaksudkan setelah Ida menghantar lokasi berkenaan kepada suaminya melalui applikasi ‘WhatsApp’.

Mereka semua bergegas ke unit rawatan rapi (ICU) bagi mendapatkan status terkini Alisha. Kelihatan diluar bilik ICU, ibu Alisha sedang menanti dengan penuh debar dan cemas. Mereka semua bergerak menuju ke arah ida. Abang Kimi segera mendapatkan isterinya bagi menenangkan keadaannya yang agak rungsing dengan segala yang berlaku pada saat ini. Dia bercakap dengan perlahan dan tenang untuk mendapakan maklumat berkenaan Alisha yang telah dimasukkan ke dalam wad ICU. Isterinya menerangkan satu persatu dan bukan sahaja abang Kimi yang menumpukan perhatian malah yang lain juga begitu.

Walaubagaimanapun, maklumat mengenai Alisha pada masa kini amat mengejutkan semua yang menunggu diluar bilik ICU tersebut. Doktor yang merawat Alisha memaklumkan bahawa Alisha masih hidup tetapi beliau berada dalam status ‘koma’ yang sangat luarbiasa.

“Ini mustahil. Sangat mustahil untuk berlaku” bisik abang Kimi kepada dirinya sendiri.

Masing-masing berpandangan sesama mereka setelah mendengar berita tersebut.

Ini adalah kerana sebelum peristiwa berkenaan berlaku, Alisha sihat dan sempat bergurau dengan adik dan sepupunya sepanjang hari. Semakin banyak tanda tanya dan semakin misteri kejadian yang menimpa Alisha. Abang Kimi semakin rungsing memikirkan dugaan yang diterima oleh keluarganya. Beliau redha dan pasrah dengan apa yang berlaku dan memohon kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan yang berkaitan dengan Alisha.

Tiba-tiba doktor yang merawat Alisha keluar dari bilik ICU berkenaan dan mencari Ida. Beliau sekali lagi berjumpa dengan ibu Alisha dan mengemaskini maklumat mengenai Alisha dengan serta-merta. Alisha didapati sudah stabil dan telah dipindahkan ke wad biasa. Namun demikian, Alisha masih belum sedar lagi. Dia mengusulkan kepada keluarga Alisha supaya bersabar dan banyakkan berdoa agar Alisha dapat pulih kembali. Doktor juga mencadangkan agar pihak keluarga Alisha mendapatkan bantuan dari perubatan tradisional bagi menyembuhkan Alisha.

94 total views, 1 views today

Leave a Reply