Bab 1 – Kerasukan (Berlawan Dengan Syaitan-BDS)

Spread the love

Bab 1 – Kerasukan

Sakit kepala aku hari ini tengok banyak fail bersepah di atas meja. Semalam aku balik lewat malam selepas menghantar abah pulang ke rumah dia. Aku rasa macam tak cukup tidur. Abah pula berpesan agar aku tidak lupa untuk datang ke rumah dia petang nanti. Aku mengambil sebotol minyak cap kapak di dalam laci dan membuka penutupnya. Ku tuangkan sedikit dihujung jari yang ku letakkan dimuncung botol tersebut; lalu ku sapu minyak itu di kiri dan kanan dahiku. Kepalaku rasa ‘berangin’ kerana kesan dari sapuan minyak berkenaan. Aku menyandarkan tubuhku ke kerusi. Aku cuba menenangkan minda. Teringat aku dengan ayat yang abah ajar untuk sakit kepala. Aku pegang ubun-ubun kepalaku. Aku baca ayat yang abah ajar, perlahan-lahan sakit kepala aku beransur kurang. Aku menyambung kerja sehingga ke petang. Sedar tidak sedar masa berlalu, dipendekkan cerita aku dah sampai di rumah abah.

Lepas bagi salam, aku pun naik menuju ke pintu rumah abah apabila terdengar suara abah menjawab salam aku. Aku tengok tiada sesiapa di ruang tamu. Aku pun duduk di sofa. Kemudian, aku nampak abah datang membawa dua buah cawan berisi air. Aku bangun dan bersalam sambil mencium tangan orang tua ku ini.

Selepas kami berdua duduk dan meneguk air di dalam cawan tersebut, abah bertanya kepadaku, “Banyak kerja ke hari ini?” tanyanya spontan.

“Bolehlah tahan banyaknya..” jawabku ringkas tetapi penuh tanda tanya. Aku mengerut kening sebentar apabila memandang ke arah abah.

Abah bertanya lagi, “Sakit kepala lagi ke hari ini?”

Terus tegak bulu roma aku. Aku tertanya-tanya dalam hati,”Bagaimana abah boleh tahu ni…?” Aku pun mengiakan perkataan abah itu.

“Ada baca ke ayat yang abah ajar tu?” tambahnya lagi. Aku cuma mengangguk-anggukkan kepala.

“Boleh bawa kereta tak? Kita nak pergi dua tempat jauh sedikit ni” tanya abah semula.

Aku cakap dengan abah yang aku boleh pandu kereta dan bawa dia ke tempat yang dikehendaki.

“Insya Allah abah” jawabku pendek.

Abah pun segera masuk ke dalam semula, menukar pakaiannya dan keluar semula selepas 15 minit dengan sebuah beg kecil ditangan kanannya. Dia terus mengajakku beredar. Aku pun ikut dia turun sekali. Abah mengunci pintu rumah sebelum masuk ke dalam keretaku. Dalam masa 10 minit kami sudah berada dilebuhraya. Aku pun tidak tahu ke mana destinasi yang aku hendak pergi. Cuma abah yang tahu dan dia hanya membantu menunjuk arah sahaja. Segala arahan yang dia beri, aku hanya menurut sahaja. Sekiranya ke kiri, ke kirilah aku, sekiranya ke kanan, ke kananlah aku. Dalam masa yang sama, aku teringat perkara yang dia beritahu aku semasa aku pulang dari rumah dia kelmarin. Memang sebelum aku keluar rumah abah, aku ada dengar bunyi macam orang berlari keliling rumah dia.

Aku memandang muka abah dengan perasaan terkejut. Abah meletakkan jari dibibirnya, memberikan isyarat supaya aku mendiamkan diri. Kira-kira 1 minit kemudian, bunyi tapak kaki orang berlari di keliling rumah tidak kedengaran lagi. Aku terus bertanya dengan abah berkenaan bunyi tersebut. Abah hanya menjawab ringkas iaitu ada orang hantar ‘spy’. Aku faham maksud tersirat abah tetapi aku tidak faham sebab ‘spy’ itu dihantar ke rumah abah. Abah tidak menjawab persoalan aku tetapi hanya terus ke pintu dan membukanya.

Hari memang sangat gelap. Apa yang kelihatan dalam kesamaran malam itu hanyalah pokok-pokok buah asam abah yang melintuk-lintuk ditiup angin. Pada masa itulah aku rasa tiba-tiba angin yang sepoi-sepoi bahasa itu bertukar menjadi agak kuat dan kelihatan satu lembaga hitam yang menyerupai tubuh manusia berlari mengelilingi rumah tersebut dihadapan kami dengan sepantas kilat seiring derapan tapak kakinya yang kuat.

Abah segera menenangkan aku dan berpesan agar segera membaca surah al-kursi. Aku mengikut arahan abah dan membaca dengan perlahan-lahan sambil mataku masih meliar ke sekeliling kawasan rumah dalam usaha untuk mengesan semula dimana lokasi lembaga hitam itu sekarang. Kami masih mendengar derapan tapak kaki di belakang rumah dan di sekelilingnya.

Pada masa itulah, pintu di belakang kami tertutup dengan kuatnya seolah-olah seperti dihempas dari dalam. Aku agak terkejut namun abah segera menenangkan aku dan mengarahkan aku meneruskan pembacaan ayat al-kursi. Abah juga terus membaca ayat-ayat dari al-quran. Tiba-tiba angin yang kuat tadi berhenti. Bunyi orang berlari sudah tiada lagi. Keadaan menjadi sunyi sepi. Pada masa itulah abah memberikan keizinan untuk ku pulang ke rumah. Pesannya hanya satu, berhati-hati dijalan raya.

Tiba-tiba aku dengar suara abah mengarahkan aku agar memberikan isyarat lampu untuk keluar dari lebuhraya. Mengelamun aku dengan kejadian kelmarin. Aku terus memandu keluar dari lebuhraya dan selepas membayar tol kami menuju ke sebuah gerai makan di tepi simpang keluar dari plaza tol.

Dalam masa 15 minit, aku dan abah kembali ke dalam kereta dan bergerak menuju ke destinasi. Aku hanya ikutkan sahaja arahan abah ibarat ‘waze’ bergerak. Akhirnya sampai juga kami ke lokasi yang dicari. Jalan ini yang menuju ke destinasi yang dituju agak lurus dan panjang sehingga ke hujung jalan. Kelihatan sebuah rumah banglo besar di tengah hutan. Agak sunyi kerana landskapnya dikelilingi pokok-pokok yang lebat dan tinggi. Tiada rumah lain yang dapat dilihat disekitarnya dan bagiku rumah ini terletak umpama dalam hutan kecil.

Setelah meletakkan kenderaan dihadapan rumah tersebut. Kami berdua keluar dari kereta dan bergerak menuju ke pintu rumah. Agak pelik kerana tiada langsung pagar atau tembok yang dibina di kawasan rumah. Sebaik-baik tiba di hadapan pintu rumah, bulu romaku terus naik. Abah sedar berkenaan kebimbanganku dan terus berpesan kepadaku agar beristighfar sebanyak-banyaknya sehingga aku kembali tenang.

Abah memberi salam. Tidak lama kemudian, tuan rumah membuka pintu dan keluar bersalaman dengan abah. Rupanya anak buah abah, abang Kimi. Aku memang kenal abang Kimi, anak kakak abah. Aku turut bersalaman dengan abang Kimi. Kami dijemput masuk dan duduk di sofa diruang tamu.

Sungguh besar rumah abang Kimi. Aku tengok abah dan abang Kimi rancak bersembang. Mataku terlihat ke atas apabila aku nampak kelibat warna hitam kat bucu siling kat atas tangga ke bilik atas. Aku rasa terkejut apabila terlihat kelibat berkenaan. Tiba-tiba abah perasan dan bertanya kepadaku, “Kenapa bang?”

Aku pun memandang muka abah dan muka abang Kimi. Aku terasa kaku sekejap. Kemudian abah mula menumpukan perhatiannya kepadaku dan berkata, “Takpa, beritahu apa yang abang nampak tu”

Aku pun mengumpulkan tenagaku semula dan bercerita kepada abah tentang mahkluk yang ku lihat sebentar tadi. Kami semua berpandangan diantara satu sama lain. Kemudian pandangan kami terarah ke sudut yang aku ceritakan itu. Walaupun susuk warna hitam itu sudah tiada, ia masih tetap misteri kepada kami buat masa ini.

Tiba-tiba ada seorang perempuan datang ke arah kami sambil membawa minuman. Perempuan itu adalah isteri abang Kimi. Dia tidak nampak gembira. Raut wajahnya dalam keadaan sedih dan tertekan. Selepas dia menghidangkan minuman di atas meja kami, dia terus menuju ke dapur semula tanpa sebarang kata-kata. Isteri abang Kimi hanya melemparkan senyum terpaksa kepada abah dan aku sahaja. Kami pun hanya membalasnya dengan terpaksa juga.

Abah terus menjalankan edisi siasat berkenaan kes yang menimpa anak abang Kimi semasa percutian dua bulan lepas. Abang Kimi bercerita dengan pantas dan pendek. Dia memberitahu abah bahawa pada dua bulan sudah, dia membawa ahli-ahli keluarganya untuk bercuti dan menyewa sebuah banglo ‘homestay’. Lokasi ‘homestay’ ini agak terpinggir namun disebabkan kemudahan yang ada di dalamnya menyebabkan abang Kimi sekeluarga bersetuju untuk menyewanya buat beberapa hari.

Didalam ‘homestay’ ini ada sebuah kolam renang terletak betul-betul di tengah-tengah bahagian rumah ini. Bukan itu sahaja, bilik untuk penginapan juga banyak. ‘Mod’ ceria sudah terpampang disetiap wajah ahli keluarga abang Kimi namun apa yang berlaku seterusnya amat memeranjatkan semua termasuk abang Kimi sendiri.

Pada malam itu, iaitu malam pertama mereka semua menginap dirumah tersebut, Alisha iaitu anak abang Kimi tiba-tiba diserang ‘histeria’ di hadapan kolam mandi tersebut tepat selepas maghrib. Semua anggota keluarga menjadi panik dengan keadaan tersebut kerana tiada sesiapa pun yang menjangkakannya. Ini adalah kerana, Alisha seorang gadis yang mempunyai susuk tubuh yang kecil dan kurus. Oleh kerana itu, apabila Alisha mampu ‘menerajang’ sepupunya yang bernama Adam sehingga remaja berkenaan terjatuh ke dalam kolam renang tersebut, sememangnya ada sesuatu yang luarbiasa sedang berlaku ke atas Alisha.

Abang Kimi terus menghubungi pemilik ‘homestay’ berkenaan memandangkan Alisha sudah bertindak ganas dan membahayakan keselamatan anggota keluarga yang lain. Ini adalah untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan rumah yang mereka sewa.

Apabila ditanya melalui telefon, pemilik rumah menyatakan kepada abang Kimi bahawa tiada perkara ganjil yang pernah berlaku di rumah berkenaan sehingga ke hari apabila abang Kimi menyewa rumah tersebut. Walaubagaimanapun, pemilik bertanya kepada abang Kimi sebab beliau dihubungi kerana dia bersedia membantu sekiranya ada apa-apa masalah dirumah berkenaan. Oleh itu, abang Kimi menceritakan perihal anaknya Alisha yang sedang ‘kerasukan’ di dalam rumah berkenaan sehingga ‘menerajang’ sepupu lelakinya sehingga jatuh ke dalam kolam renang di tengah rumah.  Apabila mendengar abang Kimi memaklumkan masalah tersebut, beliau berjanji akan datang dengan seberapa segera ke rumah miliknya itu.

Dalam masa setengah jam, pemilik ‘homestay’ berkenaan sampai bersama-sama seorang rakannya yang dilihat berpenampilan seperti seorang ustaz. Selepas bersalam-salaman, ustaz sahabat pemilik rumah berkenaan cuba untuk memulihkan anak abang Kimi yang sedang dalam ‘kerasukan’. Ustaz tersebut datang mendekati Alisha. Gadis berkenaan masih lagi duduk dengan kaki lurus ke hadapan. Kepalanya masih tunduk ke lantai. Rambutnya yang panjang itu menutupi keseluruhan wajahnya.

Jari-jari tangannya mengerekot seolah-olah sedang memegang ‘sesuatu’ yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Ustaz tersebut memberi salam kepada Alisha dengan nama penuhnya selepas dia mendapatkan maklumat berkenaan dari abang Kimi ketika sampai tadi. Alisha tidak membalas salam tersebut.

Dia tidak bergerak langsung. Dia masih kaku di tepi kolam renang itu. Suasana pada ketika itu sangat-sangat sunyi. Ibaratnya, jikalau terjatuh sebarang jarum ke lantai pasti akan kedengaran. Ustaz semakin merapati Alisha.  Dia memberi salam buat kali kedua kepada gadis berkenaan.

Tiba-tiba ‘gedegang’ bunyi sesuatu jatuh ditepi kolam. Meja terbalik dengan tiba-tiba dan jatuh ke lantai. Semua orang terkejut dengan bunyi tersebut. Kesemua mata bertumpu ke arah bunyi barang jatuh tersebut. Lokasi berkenaan betul-betul disebelah kiri, dibelakang tempat Alisha terpaku pada masa ini.

Isteri abang Kimi tiba-tiba menjerit dengan kuat kerana dia terkejut apabila Alisha sudah ‘ghaib’ dari tempat dia duduk tadi. Ustaz juga terkejut kerana Alisha berada di depannya sebentar tadi. Hanya beberapa saat sahaja dia berpaling dan gadis berkenaan sudah tiada. Keadaan semakin genting. Kesemua mereka yang berada berpandangan diantara satu sama lain.

“Mana Alisha bang!” jerit isteri abang Kimi kepadanya.

Abang Kimi sedikit panik kerana dia sendiri tidak tahu ke mana perginya Alisha.

“Mana si Alisha ni? Diculik ke? Terbang ke dia? Takkan Alisha ghaib begitu sahaja?” bisik hatinya.

Pemilik rumah berkenaan tiba-tiba bersuara, “Encik Kimi, rasanya kita kena berpecah cari anak encik dalam rumah ini. Saya percaya dia telah disorok oleh makhluk yang telah merasuknya”

Oleh sebab itu, mereka bersetuju untuk memulakan operasi mencari Alisha didalam rumah berkenaan. Mereka dipecahkan kepada tiga kumpulan.

Kumpulan 1 merupakan pasangan tuan pemilik rumah dan ustaz. Abang Kimi berpasangan dengan anak lelakinya Aaron dalam kumpulan 2 dan abang iparnya berpasangan dengan anaknya Adam dalam kumpulan 3.

Isterinya di arahkan untuk tunggu di dalam rumah bersama-sama anggota keluarga yang lain sementara mereka memulakan operasi mencari Alisha di dalam rumah dan sekitar rumah. Sekiranya sesiapa yang berjaya menemui Alisha dikehendaki untuk memaklumkan kepada yang lain bagi mendapatkan bantuan. Mereka harus segera menjalankan operasi mencari dan menyelamat kerana waktu semakin lewat. Alisha mesti diselamatkan dengan segera. Mereka tidak mahu sesuatu yang lebih buruk berlaku kepada gadis berkenaan. Namun abang Kimi percaya, ini semua dugaan tuhan kepadanya kerana tuhan itu maha adil dan maha penyayang.

121 total views, 2 views today

Leave a Reply