Bab 12 – Berkawan Dengan Syaitan (BDS)

Bab 12 – Berkawan Dengan Syaitan

Hakim terkebil-kebil melihat bomoh siam tu ‘menurun’. Lain macam gayanya macam orang kena rasuk syaitan. Kata orang kampung sini, ni lah bomoh paling ‘power’ dalam kampung ni. Hakim memandang muka rakan dia yang merupakan orang kampung ni. Hakim memberi isyarat tangan yang bermaksud apa hal bomoh ni. Bila dia nak ‘start’? Rakan Hakim hanya memberi isyarat sabar sahaja sambil mengarahkan Hakim jangan buat bising. Hakim akur dan terus memerhatikan gelagat bomoh siam tersebut.  Akhirnya setelah beberapa minit ‘menurun’ bomoh mula berkomunikasi. Rakan Hakim mendengar dengan teliti sambil sekali-sekala mengangguk- anggukkan kepala tanda faham. Setelah selesai bercakap dengan bomoh itu, rakan dia menerangkan apa yang diperkatakan oleh bomoh tersebut.

“Orang yang kau nak sihir ni bukan calang-calang orang. Dia sangat kuat beragama. Kalau kau nak tok bomoh buat, kau kena bawa korban manusia paling bagus” jelas rakan Hakim kepadanya. “Korban manusia? “, tanya Hakim.

“Ya…” balas kawannya sebagai wakil perantaraan.

“Ya..ya..ada dalam bonet kereta saya”, balas Hakim lagi.

Rakan Hakim menjelaskan kepada tok bomoh dengan segera. Tok bomoh tersenyum dan berkata-kata lagi dalam bahasa Siam. Rakan Hakim menjelaskan arahan tok bomoh. Kedua-duanya turun dari rumah tok bomoh menuju ke kereta.

Dibuka bonet belakang dan dapat dilihat seorang gadis yang diikat kaki dan tangan serta mulut disumbat dengan kain dalam keadaan tidak sedarkan diri. Gadis berkenaan dikeluarkan dan dibawa ke belakang rumah tok bomoh.

Di pintu belakang tok bomoh sudah menunggu dengan sebilah parang tajam berkilat. Gadis tersebut dibawa masuk dan dibaringkan diatas sebuah rak kayu panjang yang merupakan tempat perbaringan. Bau dalam bilik tersebut agak busuk dan hanyir seolah-olah sudah banyak tubuh yang menjadi korban disini.

Setelah dibaringkan kaki dan tangannya, dibuka ikatan dan dipasung semula diatas rak tersebut. Kepalanya diletakkan diposisi pengapit kayu. Oleh itu gadis berkenaan sudah tidak mampu menggerakkan kepalanya lagi kerana dalam keadaan statik.

Setelah semua sudah disediakan. Tok bomoh menghunus parang tersebut ke leher gadis tersebut. Kelihatan dibawah rak tersebut ada sebuah besen plastik besar untuk menadah darah sembelihan kelak. Dengan bacaan dan seruan yang tidak difahami, tok bomoh menyembelih gadis berkenaan dengan pantas. Disebabkan gadis berkenaan dalam keadaan tidak sedar, tiada rontaan atau jeritan kuat didengari. Darah yang mengalir akibat sembelihan tersebut terkumpul didalam bekas dibawah rak. Tiba-tiba kaki gadis berkenaan menggelepar kuat.

Hakim terperanjat buat seketika. Begitu juga dengan rakannya. Namun hanya sementara sahaja mungkin disebabkan ‘refleks’ dari simati. Tok bomoh mengarahkan Hakim dan rakannya kembali ke ruang tamu tetapi kena keluar dari pintu masuk tadi. Mereka berdua mengangguk dan bergerak turun. Mayat tersebut dibiarkan diatas rak. Darahnya masih mengalir turun menitis dalam bekas tersebut. Darahnya mungkin akan digunakan dalam upacara sihir tok bomoh kemudian nanti.

 266 total views

Bab 11 – Perhitungan (BDS)

Bab 11 – Perhitungan

Kelihatan sebuah kereta berwarna hitam memberhentikan kenderaan tersebut di sisi jalan. Lampu dipadamkan. Keadaan begitu sunyi. Hujan masih lagi turun biarpun tidak selebat tadi. Pokok-pokok disekitar berayun-ayun ditiup angin. Sesekali terpancar cahaya terang dilangit. Kemudian keadaan kembali gelap. Didalam kereta itu keadaan agak santai. Kedengaran muzik dari radio. Masing-masing leka dengan telefon masing-masing. Pemandunya sahaja yang sesekali memandang cermin pandang belakang. Kemudian dia akan lihat cermin sisi. Barangkali sedang menunggu seseorang. Atau sedang menunggu arahan lanjut. Tiba-tiba ada cahaya terang di belakang kereta mereka. Pemandu tidak dapat memastikan jenis kenderaan tersebut. Dia mencuba mendapatkan kepastian. ‘Girn’ itu dicapainya.

“Gagak hitam masuk!” laungnya.

Anggota yang lain terus menutup telefon masing-masing. Semua memasang telinga. Senyap seketika setelah siaran radio turut ditutup.

“Gagak hitam masuk! Masuk!” laungnya sekali lagi.

Dalam pada itu kenderaan dibelakang semakin menghampiri.

“Gagak hitam sudah sampai!” kedengaran ‘respon’ dari ‘girn’.

“Berita terima ‘over’!”. Pemandu sedikit lega.

Kenderaan tersebut bergerak melepasi kereta tersebut dan di berhentikan dihadapan mereka. Memang sah itu adalah rakan-rakan geng kereta hitam. Lampu van hitam itu turut dimatikan. “Helang hitam masuk, masuk” kedengaran girn kereta hitam melaungkan suara.

“Gagak hitam teruskan berita” pinta pemandu kereta hitam. Mereka sedang merancang sesuatu. Apa yang pasti rancangan ini ada kaitan dengan lelaki berkot hitam. Kuncu-kuncu lelaki berkot hitam sedang mengatur rancangan jahat mereka. Sasaran sudah dikenalpasti. Apa yang harus dilakukan sekarang adalah menunggu sasaran tiba ke lokasi sasaran. Siapa sasaran mereka agaknya.

 300 total views

Bab 10 – Serangan Pemula (BDS)

Bab 10 – Serangan Pemula

Aku masih lagi memandu ke rumah abang Kimi. Terasa perjalanan agak jauh kali ini. Aku rasa stereng kereta ini dah lama sangat aku pegang. Abah masih lagi asyik dengan telefonnya. Mungkin ‘WhatsApp’ dia penuh dengan ‘info’ dari abang Kimi. Aku tak kisah sangat bab tu, cuma yang aku kisah sekarang nanti bila dah sampai rumah abang Kimi, macam-macam nak di buat.

Sedang aku fokus dengan pemanduan aku, tiba-tiba macam ada benda atas bumbung kereta yang aku pandu. Aku memandang wajah abah. Abah juga perasan tentang ‘benda’ yang ada atas bumbung kereta.

Tiba-tiba ada bau sangat busuk dari dalam kereta. Baunya ‘Masya Allah’ tuhan sahaja yang tahu, macam bau bangkai! Aku menutup hidungku sambil tangan sebelah lagi memegang stereng. Abah segera membaca potongan ayat-ayat al-quran. Dalam beberapa minit bau busuk itu hilang dan ‘benda’ yang ada atas bumbung kereta tadi tidak kedengaran lagi.

Abah segera mengarahkan aku agar membawa kereta dengan kedua belah tangan kerana bau itu sudah hilang. Aku pun mendengar arahan abah dan segera menggunakan kedua belah tangan untuk memegang stereng kereta.

Perjalanan kami aman buat seketika. Tiba-tiba telefon abah berbunyi. Terperanjat aku sambil beristighfar panjang. Abah hanya tersenyum.

“Hello? Ya Kimi. Ya, ya, pakcik sedang ke rumah kamu sekarang. Ya, ya…InsyaAllah dalam setengah jam sampai. Ya, ya…Iskandar pun ada sekali teman pakcik. Ya, ya, Insya Allah Kimi,” jawab abah sambil menamatkan panggilan telefon.

“Mesti abang Kimi yang telefon tu,” bisik hati kecilku.

“Kimi telefon” tiba-tiba abah bersuara.

Aku hanya menganggukkan kepala. Aku terus menumpukan kepada pemanduan. Hujan turun agak lebat malam ini. Gelap gelita tanpa cahaya bulan. Apa yang jelas, lampu jalan di lebuhraya sahaja. Sesekali terpancar cahaya lampu ke arah papan tanda jalan menuju ke destinasi kami.

Ada dalam 48 km harus ditempuh dalam cuaca yang tidak begitu baik ini. Tiba-tiba aku teringatkan pada si Hakim. Dah lama aku tak nampak dia kat pejabat. Bos cakap dia ke Thailand ada ‘assignment’. Aku pun tak tahu apa yang bos suruh dia buat dengan ke sana. Tapi aku memang perasan, dia sejak akhir-akhir ni nak bertekak sahaja dengan aku. Kalau ‘presentation’ aku ada sahaja yang tak kena di mata dia. Aku tahulah dia tu ‘senior’ kat pejabat ni. Tapi kalau buat kerja tak sempurna mana, memang lah bos akan bising memanjang. Buat kerja main-main asal tangkap muat sahaja. Tiada komitmen dan tidak ikhlas dalam menguruskan ‘assignment’ yang diamanahkan. ‘Last-last’ aku yang bos arah selesaikan kerja dia yang tak selesai.

 277 total views

Bab 9 – Dalang (BDS)

Bab 9 – Dalang

“Macam mana korang buat kerja? Nak tangkap dia sorang ja pun susah? Sia-sia aku bayar gaji tinggi, buat kerja macam tahi! Sekarang habis rancangan aku…” pekik lelaki berkot di hujung bilik mesyuarat itu.

Konco-konconya diam membisu. Seorang pun tak berani mengangkat muka mengadap ‘boss’ yang tengah mengamuk. Sesekali terlihat pancaran cahaya diluar tingkap cermin. Hujan sungguh lebat malam ini.

“Aku nak korang pergi lagi tunggu kat ‘umah bapak pompuan’ tu malam ni. Aku pasti ‘bapak’ dia dah syak sesuatu. Dia mesti dah telefon pakcik dia si bomoh tu. Sebab ‘korang’ dah gagal culik anak dia, malam ni mesti bomoh tu pergi dengan anak dia ke rumah ‘bapak pompuan’ tu. Aku nak ‘korang’ halang ‘dorang’. Jangan sampai ‘sapa-sapa’ tau rancangan ni, kalau tidak nahas ‘korang sekor-sekor’ aku bakar hidup-hidup!”  arah lelaki berkot itu lagi.

Kemarahannya tidak terbendung lagi selepas dia menyepak meja kopi dalam bilik mesyuarat tersebut. Terpelanting keluar kaca meja dan jatuh terhempas dan pecah berkecai.

“Apa tunggu lagi? Berambus sekarang!” pekik lelaki berkenaan.

Semua konco-konconya keluar dengan pantas menuju ke pintu keluar. Lelaki berkot membuka cermin mata hitamnya. Dia melabuhkan punggung ke kerusi. Dia meletakkan cermin mata di atas meja. Dia menyandarkan dirinya.

Dia menekan butang interkom telefon. Kedengaran satu suara jawapan dihujung talian.

“Bawa kan aku fail anak bomoh tu sekarang”  arahnya.

“Baik tuan”, balas suara itu.

Lelaki berkot itu berehat sebentar dikerusinya. Dia memang cukup marah dengan pakcik Kimi. Baginya lelaki itu merupakan penghalang utama baginya untuk melaksanakan rancangan jahatnya. Anaknya pula menguji kesabarannya ke tahap yang tidak dapat diterimanya apabila turut sama bergandingan dengan ayahnya dalam membantu keluarga Alisha.

“Mengapa ‘korang’ berdua sibuk nak tolong si arkitek tu haa!”, bisik hatinya.

“Malam ni tahulah nasib ‘korang’!” bentak hatinya lagi.

Kedengaran pintu diketuk.

“Masuk” ucap lelaki itu.

Kemudian seorang perempuan berskirt hitam masuk sambil membawa sebuah fail. Dia berjalan ke arah lelaki itu. Setelah sampai disisi lelaki itu, perempuan itu menyerahkan fail tersebut. Kemudian dia berjalan keluar dari bilik mesyuarat tersebut. Lelaki tersebut meneliti maklumat di dalam fail tersebut.

Dilihatnya gambar lelaki dalam fail itu. Diamatinya dengan tekun. Dibacanya profail lelaki itu; nama penuh, alamat rumah, alamat pejabat, nombor plet kenderaan, status keluarga, dan bermacam lagi maklumat peribadi. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi.

“Ya tuan?” jawabnya setelah melihat nombor telefon Azim Dato’ Ramli terpampang di skrin telefonnya.

“Kau dah uruskan anak bomoh tu?” soal suara itu dengan nada keras.

“Belum lagi tuan” balas lelaki berkenaan dengan suara sedikit gementar.

“Kenapa tak selesaikan lagi arahan aku?” soal suara itu lagi.

“Saya dah arahkan orang-orang kita tuan tetapi ada masalah kecil sedikit. Malam ni kita akan selesaikan tuan” balasnya semula.

 “Buat kerja pun lembap! Benda ‘kecik’ macam ni pun kau tak boleh uruskan dengan pantas. Jangan sampai aku suruh orang lain buat, faham!” laung suara berkenaan.

 “Faham tuan. Saya akan pastikan semuanya selesai malam ni!” lelaki itu memberikan janjinya.

Kedengaran talian telefon diputuskan. Lelaki berkot nampak gelisah selepas menerima panggilan tersebut.

 369 total views,  1 views today

Bab 8 – Sebuah Harapan (BDS)

Bab 8 – Sebuah Harapan

“Pakcik abang jadi datang tak malam ni” soal Ida kepada suaminya, Kimi.

“Kalau tiada halangan, insya Allah katanya” jawab abang Kimi sambil matanya memandang ke cermin tingkap rumahnya menanti lampu kereta pakciknya meluncur masuk ke perkarangan rumahnya barangkali.

Namun tiada apa yang dapat dilihatnya. Alisha tiba-tiba muncul dari arah tangga. Dia berjalan ke arah ibubapanya sambil mengukir senyum. Ibunya membalas senyuman itu. Abang Kimi juga turut tersenyum melihat anaknya yang sudah lama tidak melemparkan senyuman setelah jatuh sakit akibat penyakit misterinya itu.

Alisha memeluk ibunya erat. Seakan tidak mahu dilepaskan pelukan itu. Ibunya juga memeluk kuat Alisha seolah-olah melepaskan kerinduan yang teramat sangat. Abang Kimi faham perasaan kedua-dua anak beranak itu.

Sejak Alisha sakit, isterinya sering murung dan sedih. Dia risau dengan keadaan itu; bimbang isterinya akan melakukan sesuatu di luar kebiasaan dan bertindak di luar pemikiran normal. Setelah kedua-duanya duduk di sofa, abang Kimi sambil mengukir senyum bertanya kepada Alisha, “Sha dah nampak sihat dah abah tengok”

“Ya abah, alhamdulillah” balas Alisha.

“Cumanya, Sha selalu mimpi yang pelik-pelik” tambahnya.

“Mimpi yang macam mana Sha?” soal bapanya lagi.

Alisha pun menjelaskan bahawa dia akan terjaga ditengah malam dan merasakan seolah-olah ada orang yang sedang memerhatikannya. Dia kemudian akan cuba tidur semula. Namun dia akan segera bermimpi dikejar seorang lelaki bertanduk bersenjatakan lembing besi yang bersinar seolah berwarna keemasan.

Setiap kali lelaki itu mengejarnya, dia akan melemparkan lembing ke arah Alisha dan setiap kali itulah juga dihalang oleh tasbih yang terbang. Lembing itu akan melantun semula ke arah lelaki itu selepas dia membaca mantera sihirnya. Dia akan ‘mendengus-dengus’ apabila lembing tu melantun semula ke arahnya. Walaubagaimanapun Alisha tidak dapat mengenalpasti dari mana datangnya tasbih terbang itu.

Lelaki itu akan terus mencuba melemparkan lembingnya berulang-ulang kali dan berkali-kali jua tasbih terbang menjadi penghalang. Alisha akan terus melarikan diri dari lelaki misteri tersebut sehinggalah dia sampai ke suatu pintu yang bercahaya terang dan dia segera masuk ke dalamnya. Selepas masuk ke dalam barulah dia merasa selamat kerana keajaiban tempat itu adalah orang yang diluar tidak berupaya untuk melihat orang didalam seolah-olah ‘hijabnya’ ditutup. Alisha akan dapat melihat susuk tubuh lelaki misteri itu dengan lebih jelas. Lelaki itu akan berlegar-legar buat seketika. Dia akan pergi dalam beberapa ketika. Selepas itu barulah Alisha akan keluar dan berjalan pulang.

Abang Kimi mengangguk-angguk perlahan mendengar cerita dari Alisha. Ida juga memberikan reaksi yang hampir serupa seperti suaminya.

“Mungkin Sha berkhayal agaknya…” jelas ibunya.

“Tak tahu lah Ibu…Mungkin juga…” balas Alisha semula.

 286 total views,  1 views today

Bab 7 – Serangan Balas (BDS)

Bab 7 – Serangan Balas

Aku minum air teh ‘o’ yang abah hidangkan kepadaku. Aku menarik nafas lega. Selepas apa yang terjadi, aku memang tidak boleh lagi memandang remeh keselamatan ku dan juga abah. Puas ditanya abah kepadaku siapa gerangan ‘geng lelaki’ kereta hitam berkenaan. Aku tidak dapat menjawab dengan jelas kerana aku sendiri tidak pernah bertemu dengan mereka sebelum ini.

Cuma satu yang aku khuatirkan, bagaimana mereka boleh mengenali ku kerana ketuanya jelas tahu siapa namaku. Abah meneka kebarangkalian kaitan mereka dengan ku mungkin disebabkan perkara yang menimpa Alisha baru-baru ini. Abah penuh yakin kedua-dua perkara tersebut berkaitan di antara satu dengan yang lain.

Selepas aku meletakkan cawan air teh ‘o’ aku, terus kusampaikan keterangan dari Abang Kimi yang membuat panggilan kepadaku pagi tadi kerana gagal untuk menghubungi abah.

“Katanya ada urusan sedikit dengan abah” balasku pendek.

Abah terus mengambil telefonnya dan cuba untuk menghubungi anak buahnya pula. Dalam lima belas minit kemudian dia duduk semula ke sofa diruang tamu ini. Dia duduk bertentang denganku. Di tatapnya wajahku dengan tiada sedikit pun kerdipan mata. Aku mengangkat kening ku isyarat untuk membuat pertanyaan berkenaan apa yang berlaku? Abah kemudian meletakkan telefon bimbit nya di atas meja. Dia meneguk air teh ‘o’ nya juga. Kami berdiam diri buat seketika. Tiba-tiba abah bersuara,”Malam ni kita kena pergi umah Kimi balik”

“Baiklah abah” jawabku pendek. Aku pasti ini mesti ada kena mengena dengan kes Alisha. Tapi hari itu Alisha bukan ke sudah pulih? Persoalan ini berlegar dalam kepalaku.

Mengingatkan semula kejadian siang tadi, aku mula teringat dengan seorang lelaki yang merupakan bekas teman lelaki Alisha. Lelaki berkenaan memang kejam dan tidak berhati perut. Dia cuba mengugut Alisha agar Alisha tidak memutuskan perhubungan dengan dia. Alisha segera menghubungi aku dan mengadu tentang lelaki tersebut. Aku meminta Alisha agar memberikan alamat pejabat lelaki berkenaan agar dapat aku berkonfrontasi dengannya secara bersemuka. Lelaki begini memang tidak boleh diberi muka sangat nanti dia akan pijak kepala.

Hari itu juga aku ke pejabat lelaki berkenaan. Di luar pejabat sahaja sudah ramai konco-konconya yang berkawal. Namun aku masuk juga ke dalam dan bertemu dengan lelaki berkenaan. Aku tidak mahu dia mengganggu hidup Alisha lagi. Aku ingat satu perkataan dari mulut lelaki berkenaan. “Jaga diri elok-elok bang…malang tak berbau…” ugut dia kepadaku. Oleh itu, mulai dari hari ni dan saat ini, aku harus lebih berhati-hati dengan tindak-tanduk lelaki berkenaan kerana ‘konco-konco’ nya ramai diluar sana.

 245 total views

Bab 6 – Pertembungan (BDS)

Bab 6 – Pertembungan

Aku tersedar dari tidur apabila terdengar ‘alarm clock’ aku berdering panjang jam enam empat puluh lima pagi. Aku rasa sangat letih dan sangat mengantuk. Namun demikian, aku gagahkan juga untuk bangkit dan menuju ke bilik air. Dalam sepuluh minit aku sudah keluar semula dari bilik air dan menunaikan solat subuh. Selesai solat, aku bersiap untuk ke pejabat.

Dalam masa satu jam aku sudah sampai ke pejabat dan terus masuk ke bilik kerana ku lihat ‘staf-staf’ masih belum ada yang tiba lagi. Aku lihat atas meja aku dah tiada fail lagi. Bersih dan kemas keadaan di meja aku. Aku jadi pelik.

“Siapa yang masuk bilik aku ni?” bisik hati kecilku.

Aku pun malas nak fikir apa-apa pagi ini, aku terus duduk dikerusi dan ‘hidupkan’ komputer aku. Dalam pada itu, aku dengar pintu diketuk dari luar.

“Masuk” ucapku lantang.

Apabila pintu dibuka kelihatan setiausahaku masuk dengan senyuman manis sambil membawa fail diketiak.

“Assalammualaikum bos” ucap Sarah sambil tersenyum sehingga menampakkan lesung pipitnya.

“Waalaikumsalam..ya ada apa?”  balasku kepadanya.

“Bos, ‘sorry’ kacau pagi-pagi ni. Ada fail bos kena ‘sain’ sekarang juga. ‘Pastu’ kul 2.30 petang Dato’ nak jumpa bos, urgent katanya” terang Sarah kepadaku tentang jadual hari ni.

“Ok, baiklah. Terima kasih Sarah” balasku pendek.

Sarah membawa failnya keluar setelah selesai urusannya. Kemudian keadaan menjadi sangat sunyi.Aku rasa tak sedap hati, sehinggalah aku terkejut bunyi ‘beep interkom’ dari Sarah.

“Ya, Sarah. Ada apa lagi ya?” tanya ku kepadanya.

“Bos, ‘sorry’, semalam saya yang kemas meja bos sebab saya cari fail yang Dato’ nak semalam. Fail-fail yang lain saya dah susun ‘kat’ rak belakang bos tu” terang Sarah.

“Maafkan saya sebab tak minta izin bos kemas meja semalam sebab bos pesan semalam jangan ‘call’ sebab bos ada urusan peribadi kat luar” terang Sarah lagi.

“Ok ‘noted’” balas ku semula dan menutup butang ‘interkom’.

“Patutlah meja aku berkemas semacam aja, rupanya Sarah yang kemas. ‘Takpelah’, lagipun semalam Dato’ nak fail tu cepat, terpaksalah..” bisik hatiku sendiri.

Aku pun mencari-cari fail yang Sarah simpan di rak belakang. Ada fail ‘urgent’ yang aku kena siapkan hari ini. Aku begitu tekun dengan kerjaku sampai aku tak sedar waktu berlalu pantas. Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi dan ku lihat nama Abang Kimi tertera. Ku jawab panggilannya. Kemudian, aku terus menyandar semula ke kerusi. Ku dail nombor telefon abah. ‘Tutt…tutt…tutt…’ panggilan tidak dapat disambung. Aku sedikit gelisah.

“Kenapa tak boleh ‘call’ abah ni?” bisik hati kecilku.

Aku mencuba lagi sambil berlegar-legar di segenap penjuru bilikku. Masih juga gagal untuk menghubungi abah. Kemudian, aku ‘interkom’ Sarah dan arahkan dia bawa telefon bimbit dia masuk sekali.

Kedengaran ketukan dipintu. Selepas ku suruh Sarah masuk, dia dengan segera masuk. Aku meminta dia menghubungi abah. Sama juga ‘resultnya’. Kemudian, aku berpesan kepada Sarah sekiranya ada apa-apa yang penting atau ‘urgent’ bole ‘call’ aku sebab aku nak keluar jumpa abah sekejap.

Dalam masa lima minit, aku sudah memandu keluar menuju ke rumah abah. Macam-macam yang terlintas dikepalaku.

“Kenapa aku ‘call’ abah tak dapat? Hatiku berdebar-debar kerana aku takut sesuatu yang buruk telah berlaku kepada abah. Fikiranku kembali segar dengan kejadian hentakan dibumbung kereta malam tadi.

“Mungkin kah perkara ini berkaitan?” soalku sendiri.

Aku jadi bingung. Tiba-tiba ketika aku masuk ke simpang menuju ke rumah aku, ada sebuah kereta memotong kereta aku dengan laju dan memberhentikan keretanya di depan keretaku secara mengejut. Aku pula, bertambah terkejut.

Dengan pantasnya aku tekan brek kecemasan untuk memberhentikan kenderaan yang ku pandu sebelum menghentam belakang kereta hitam itu. Aku tertanya-tanya sebab kereta berkenaan menghalang perjalananku.

Kemudian, ku lihat beberapa orang lelaki keluar dari kereta berkenaan. Selepas itu, mereka menanti seseorang keluar dari kereta itu ketika mereka semua sudah berada diluar kereta. Kelihatan seorang lelaki berkulit cerah dengan memakai cermin mata hitam keluar dan berjalan menuju ke keretaku.

Aku membuka pintu kereta dan keluar dari kereta ku juga. Kemudian, ku lihat rakan-rakannya juga ikut sekali dibelakangnya seperti ‘eskot’.

“Apahal pulak ‘dorang’ ni”, hatiku tertanya-tanya.

Selepas berdepan dengan mereka, tetiba ketuanya berkata, “Kau ni Shah Iskandar kan?” laung ketuanya kepada ku.

“Ya, aku la tu…Ada masalah apa korang semua ni?” jawab ku dengan lantang.

Dengan tiba-tiba ketuanya memberikan isyarat kepada orang-orangnya untuk menyerang aku. Lelaki-lelaki berkenaan dengan aksi menggenggam penumbuk berlumba-lumba berjalan ke arahku. Aku menghentikan langkahku. Aku berundur sedikit dan mula memasang ‘kuda-kuda’ dalam ‘mod’ mempertahankan diri.

Lelaki pertama yang sampai ke arahku melayangkan penumbuk sulungnya tepat ke arah muka ku. Aku mengelak kekiriku dengan pantas dari asakan tumbukannya dan menangkap pergelangan tangannya dari arahku berdiri. Ku hayunkan sepakan lencong tepat ke dadanya dengan sekuat hati sehingga dia tercampak ke belakangnya ke arah kawan-kawannya semula.

Seorang lagi datang dan membuat hayunan penumbuk juga ke muka ku. Aku merendahkan badanku dan melepaskan penumbuk sulungku ke dadanya dengan kuat menyebabkan dia jatuh terduduk.

Tiba-tiba dua orang lelaki lagi datang ke arah ku untuk menyerang balas pada waktu yang sama. Masing-masing juga menghayun penumbuk masing-masing dan aku berundur ke belakang dengan segera sambil menangkap pergelangn tangan kedua-keduanya, dan aku menjatuhkan badan ku kebelakang sambil menarik tangan kedua-duanya ke bawah.

Kaki ku pasak ke dada kedua-duanya sambil aku melambungkan kedua-duanya dengan pantas ke belakangku dengan ‘momentum’ mereka sendiri. Kedua-duanya terpelanting ke belakangku sambil berguling-guling akibat lambungan yang pantas berkenaan. Apabila ku cuba bangkit semula, ku lihat seorang lelaki sedang memegang sebatang kayu yang cuba dihayunkan ke arah ku namun dia tidak berkesempatan untuk melakukannya kerana satu hentaman tapak kaki tepat menuju ke arah mukanya dari arah sebelah kiriku. Dia terjatuh bersama-sama dengan kayunya. Kemudian, terdengar suara ketuanya memanggil rakan-rakannya agar lari dari situ. Mereka dengan pantasnya menaiki kenderaan berwarna hitam tersebut dan terus memecut lari dari kawasan tersebut. Selepas kereta berkenaan hilang dari pandangan, barulah aku dapat melihat rupanya abah yang datang membantuku.

 286 total views,  1 views today

Bab 5 – Perjalanan Yang Panjang (BDS)

Bab 5 – Perjalanan Yang Panjang

Aku membetulkan dudukku dalam kereta. Abah ku lihat disebelah. Dia keluar sambil membawa sebotol air mineral. Ku lihat dia membasuh muka nya agar segar semula kerana ketiduran sepanjang perjalanan. Aku mengusap-usap mukaku. Ku lihat ke arah cermin pandang belakang. Tiba-tiba mataku ‘menangkap’ kelibat di belakang kereta ku bergerak dengan begitu pantas. Kemudian ‘hilang’ kelibat berkenaan.

Ku toleh ke kiri ku lihat abah dah selesai mencuci muka dan masuk kembali ke dalam kereta. Waktu pada ketika itu sudah menunjukkan jam empat setengah pagi. Abah mengarahkan aku supaya meneruskan perjalanan kami. Aku hanya menganggukkan kepala. Sebaik-baik sahaja aku menghidupkan enjin kereta, tiba-tiba ada sesuatu menghentak bumbung kereta dengan kuat. Aku terkejut dan begitu juga abah.

Kami berpandangan di antara satu dengan lain. Aku cuba untuk membuka pintu dan keluar, tetapi abah memegang lengan kiri ku dan melarang aku keluar. Jari telunjuknya di letakkan dibibirnya dengan perlahan-lahan. Dia memberi isyarat kepada ku agar jangan bersuara. Kami duduk diam sebentar.

Kemudian, hentakkan kedua yang menghentam bumbung kereta menyebabkan kereta itu bergoyang-goyang umpama ditiup angin. Abah masih lagi menyuruh aku berdiam diri. Dalam seminit kami mendengar seperti ada yang mencakar-cakar bumbung kereta seperti orang gila.

Ku lihat abah sudah mulai membaca sesuatu di tempat duduknya. Aku mendengar cakaran berkenaan semakin kuat dan kerap. Sebaik-baik sahaja abah melafazkan kalimah ‘AllahuAkbar’, keadaan terus senyap sunyi.

Aku cuba untuk membuka pintu dan menjalankan siasatan tetapi dihalang sekali lagi oleh abah. “Tak payah siasat, jom kita gerak…sekarang!” arah abah kepadaku.

Aku tanpa berlengah lagi, terus membuat pengunduran dan memandu dengan pantasnya meninggalkan kawasan rehat berkenaan.

Sebaik-baik sahaja kami memasuki lebuh raya semula, aku mula rasa aman. Sementara itu, abah masih lagi meneruskan pembacaannya tanpa henti sepanjang perjalanan sehinggalah kami tiba di hadapan rumah abah. Abah mengucapkan terima kasih kepada ku dan berpesan agar berhati-hati ketika memandu pulang ke rumah. Aku ingat pesan abah dan berjanji akan berhati-hati sepanjang perjalanan.

 332 total views,  1 views today

Bab 4 – Bisikan Syaitan (BDS)

Bab 4 – Bisikan Syaitan

Ibu Alisha masih lagi menunggu diruang tamu bersama anggota-anggota keluarga yang lain. Masing-masing membuat hal masing-masing. Suasana agak suram pada masa ini. Ibu Alisha melihat jam di dinding. Sudah menunjukkan jam satu pagi. Suaminya dan saudaranya belum lagi keluar dari bilik atas. Masih belum ada berita lagi. Hatinya dipenuhi rasa bimbang dan risau akan keselamatan anaknya, suaminya dan saudara suaminya.

Televisyen (TV) yang terpasang seolah-olah tiada siapa yang peduli. Sekali lagi dilihatnya jam, kini sudah jam satu empat puluh lima pagi. Sekejap sungguh waktu berlalu. Dilihatnya, tiada sesiapa di ruang tamu kini. Tinggal dia seorang.

“Kemana semua orang?” bisik hati kecilnya.

Dia bangun dari sofa. Hatinya terus berdebar-debar. Dia mundar-mandir diruang tamu rumahnya. Puas matanya melilau melihat sekeliling tetapi tiada sesiapa yang dapat dilihat. Rumah itu seakan-akan kosong. Tiba-tiba TV terpasang dengan sendirinya. Terkejut ibu Alisha seketika. Dicarinya alat kawalan jauh (remote) TV.

“Mana pula remote TV ni” bisik hatinya lagi.

”Hah, tu pun! Sapa la yang letak kat atas meja makan tu?” ucapnya lagi.

Ibu Alisha terus menuju ke meja makan. Sampai sahaja di meja makan,  dilihatnya, alat kawalan jauh tersebut tiada ditempat dia nampak pada mula-mula tadi. Bahunya terasa disentuh dari belakang.

Dia menoleh dengan segera. Tiada sesiapa yang ada di belakang dia. Bulu romanya mula meremang. Dia berundur ke tepi meja makan. Matanya meliar melihat ke kiri dan kanan. Tiba-tiba sahaja matanya tertumpu ke atas siling dan dia terlihat sesuatu. Ada lembaga yang tidak berapa jelas sedang merayap di atas siling tersebut.

Lembaga berkenaan kemudian bergerak menuju ke arah dia sedang berdiri di bahagian atas siling tersebut.

“Mana ada manusia boleh melekat macam tu kat siling!” jerit hatinya.

Mulutnya seakan-akan terkunci dan dia tidak dapat mengeluarkan sebarang suara. Dia cuba menjerit tetapi tiada apa yang dapat disuarakannya. Lembaga berkenaan semakin hampir dan dia merasakan seolah-olah kesukaran hendak bernafas dan pandangannya terus gelap.

Ibu Alisha membuka matanya selepas dia mendengar namanya dipanggil berkali-kali. Dilihatnya ahli-ahli keluarganya berada disekelilingnya di tempat dia sedang baring.

“Alhamdulillah, dah sedar dah” kedengaran satu suara.

Dia masih lagi terasa lemah. Dia cuba bangun tetapi tiada daya untuk mengerakkan tubuhnya. Badannya terasa berat. Dia baring semula. Kemudian dia terdengar seseorang bertanya,

“Kenapa menjerit tadi? Lepas tu kenapa mata Ida melihat ke atas seolah-olah terlihat sesuatu?” Suara abang Fitri kedengaran dalam suasana panik berkenaan. Ida (Ibu Alisha) membuka matanya dan melihat ke arah wajah yang bersuara.

Dilihatnya abang Fitri begitu risau melihat keadaannya. Dia pula masih lagi bimbang dengan keadaan anaknya Alisha. Dia bersuara perlahan,

“Alisha bagaimana?” ucapnya.

“Kak Alisha sudah pulih ibu” jawab Aaron apabila dilihat ibunya sudah sedar sedikit. Lega rasanya hati bila mendengar berita berkenaan. Ida cuba lagi bangun, dan akhirnya berjaya untuk duduk. Dia kemudian bersandar disofa berkenaan. Dilihatnya semua ahli keluarganya ada disekeliling beliau; suaminya juga ada.

“Kenapa awak menjerit tadi?” soal suaminya.

Dia memandang tepat ke wajah suaminya. Perlukah dia menceritakan keadaan sebenar? Atau lebih baik didiamkan sahaja. Alisha pun dah sihat.

“Saya nak jenguk Alisha bang” pinta Ida kepada Abang Kimi.

Abg Kimi mengangguk perlahan. Aaron membantu ayahnya memapah ibunya untuk naik ke atas ke bilik Alisha. Mereka berjalan perlahan-lahan. Seketika kemudian, mereka sudah sampai ke bilik Alisha. Mereka masuk ke dalam.

Alisha terbaring lemah di atas katil. Terukir senyuman dibibir apabila melihat ibunya datang dan memeluknya.

“Alhamdullilah” ucap ibunya.

“Ibu gembira Sha dah pulih semula” ucap Ida kepada Alisha.

“Ibu janganlah risau sangat, Sha ok dah” balas Alisha.

Keduanya saling berpelukan kerana kegembiraan. Abg Kimi hanya memerhatikan sahaja mereka berdua. Kemudian, dia segera turun kerana dia baru teringat tentang pakciknya yang masih menunggu dibawah. Dia memberi isyarat kepada anak lelakinya untuk menemani ibunya dan kakaknya sementara dia turun dan berjumpa dengan Ucu.

Bergegas dia ke bawah mencari pakciknya. Kelihatan Ucu dan Shah sedang berbual-bual di ruang tamu rumah. Kemudian dia ternampak pakciknya sedang minum bersama-sama anaknya. Aku ternampak Abang Kimi turun.

“Abah, Abang Kimi dah turun” isyarat aku sambil muncung bibirku menunjukkan ke arahnya. Abah menoleh dan melihat Abang Kimi sedang menuju ke arahnya. Setelah sampai dia bersalam dengan Ucu dan Shah.

“Terima kasih Ucu, hanya Allah sahaja yang dapat membalas pertolongan Ucu ini” bisik Abang Kimi perlahan.

Air matanya mengalir deras tanpa segan silu. Dirasanya Abah aku penyelamat kepada anaknya yang sudah ‘koma’ begitu lama di rumah. Abang Kimi masih tidak berhenti-henti mengucapkan terima kasih.

Abah berdiam diri sebentar.

“Bersabar Kimi, ini ujian Allah. Tiada apa yang dapat menghalangNya. Bersyukurlah kamu kepadaNya kerana dengan izinNya, anakmu sembuh pada hari ini. Ucu tiada kuasa, hanya Allah yang berkuasa ke atas segala makhlukNya. Ucu cadangkan, apabila Sha dah pulih sepenuhnya seperti sedia kala, kamu jangan lupa bersedekah dan mengadakan kenduri kesyukuran, tanda terima kasih kita kepadaNya” pesan abah kepada Abg Kimi.

Aku juga menganggukkan kepala tanda menyokong usul abah itu. Abg Kimi mengesat airmatanya yang mengalir sejak tadi. Dipeluknya pula aku sambil memasukkan sampul ke dalam poket baju melayu aku tanpa aku sedari. Abah kemudiannya memohon untuk beransur pulang.

Aku memandu kereta keluar dari perkarangan rumah Abang Kimi bersama-sama abah. Terlalu banyak rahsia yang terbongkar. Tetapi atas pesan abah, rahsia tetap rahsia.

Kita tidak boleh sewenang-wenangnya berkongsi rahsia yang telah diamanahkan kepada sesiapa pun. Biarlah kita simpan sendiri. Abah kelihatan letih. Dia tertidur sepanjang perjalanan. Aku memasang radio dan mendengarnya perlahan-lahan.

Aku tidak mahu abah terjaga. Malam ini memang sungguh gelap. Tiada bintang langsung dilangit. Yang kelihatan hanya lampu jalan lebuh raya yang menyuluh perjalanan pulang ku bersama abah ke rumah. Aku kena hantar abah balik dulu. Tiba-tiba ingatan ku terus melayang ke pejabat.

“Ah, kerja ‘melambak’ kat pejabat ni, pagi ni nak masuk pejabat ‘pulak’. Jangan bos aku mengamuk sudah. Harap-harap dia tiada pada hari ni. Fikiran aku terus melayang ke kerusi yang aku duduk dalam bilik Alisha hari ni. Aku terbayang seolah-olah aku sedang memerhatikan diriku sedang duduk dikerusi tersebut.

Aku seakan terapung dan melayang-layang sekitar mereka yang berada di dalam bilik tersebut. Dapat ku lihat abah sedang membaca sesuatu. Ku lihat Abg Kimi juga sedang membaca sesuatu. Masing-masing memejamkan mata masing-masing.

Aku melihat diriku juga memejamkan mata. Pada masa itulah aku melihat suatu lembaga hitam yang sangat besar berada di belakangku yang sedang khusyuk membaca surah yassin. Aku tidak sedar kehadiran makhluk ghaib berwarna hitam tersebut. Bentuknya tidak berapa jelas kerana ia sangat besar. Ku lihat dia menggerakkan tangannya yang besar itu dan mengangkat kerusi yang ku lihat sedang aku duduki pada ketika itu.

Lembaga itu mengangkat tinggi kerusi itu. Kemudiannya dihempasnya ke bawah seolah-olah ku lihat dari awan tingginya lembaga itu melepaskan pegangan kerusi yang aku duduki itu. Namun demikian, aku masih lagi tetap dengan bacaan yang abah arahkan.

Dan ku lihat diriku tidak terjejas dengan hentaman dari jatuhan ke bawah yang disebabkan oleh mahkluk tersebut. Aku dapat rasakan gegaran yang sangat hebat di dalam bilik itu seolah-olah hendak runtuh bunyinya.

Mahkluk hitam tersebut sangat marah dan bertambah sakit hati melihat tiada terjejas langsung diri aku yang sedang duduk itu. Tiba-tiba dia berpaling ke arah aku yang sedang terapung. Dia memandang tepat ke arah ku. Dapat ku lihat matanya yang berapi-api marak menyala. Tanduknya juga merah menyala seolah-olah sedang terbakar dengan api. Aku terkejut dan terus tersedar apabila abah mengejutkan aku. Beristighfar sekejap aku. Aku ingat kemalangan tadi. Tetapi aku sedang tidur juga rupanya apabila abah bertanya kepadaku dimana kita sekarang kerana sebenarnya kami berada dihentian rehat. Aku pun tak tahu dimana lokasi hentian rehat ini kerana kali terakhir aku terlelap tadi aku berada di lebuh raya sedang memandu.

 248 total views

Bab 3 – Gangguan Syaitan (BDS)

Bab 3 – Gangguan Syaitan

Abang Kimi merenung wajah abah dengan riak wajahnya sebak. Kemudian dia memandang ke arah aku pula sambil titisan air perlahan-lahan mengalir dipipinya. Ditanggalkan cermin matanya dan air matanya dikesat dengan tangan.

“Sekarang Alisha kat mana abang Kimi?” soal aku pendek.

“Alisha ada kat atas, kat dalam bilik” jawab abang Kimi.

“Sebulan dia kat hospital tiada perubahan. Akhirnya doktor membenarkan kami membawanya pulang kerana tiada apa lagi yang dapat dilakukan oleh pihak hospital” tambahnya lagi.

Aku dan abah menganggukkan kepala.

“Doktor menyarankan agar kami menggunakan cara tradisional atau mencuba pakar-pakar dari luar negara. Bagi mereka, kes Alisha adalah kes terpinggir dimana, pesakit mempunyai kesihatan yang baik tetapi berada dalam keadaan tidak sedar seolah-olah sedang tidur tanpa ada keupayaan untuk ‘berjaga’ atau ‘sedar’ dari ‘state’ yang sedang dilalui oleh pesakit” panjang lebar abang Kimi bercakap.

“Doktor tak cakap kenapa Alisha jadi macam tu ke abang Kimi?” soalku lagi.

“Tiada penjelasan secara saintifik untuk membantu kita memahami situasi ini” balas abg Kimi semula.

Sekarang aku faham sebab utama abang Kimi memohon bantuan abah.

“Ucu…saya nak minta tolong kalau Ucu boleh tolong tengok kan keadaan Alisha ya” pinta abang Kimi perlahan kepada abah.

Abah tersenyum dengan kata-kata abang Kimi.

“Ini semua ketentuan Allah Kimi. Bersabarlah. Dah tentu Ucu akan bantu Kimi dan Alisha” tambah abah lagi.

Kami tidak menunggu lama dan terus bangun menuju ke atas untuk ke bilik Alisha ditempatkan. Dalam perjalanan menuju ke biliknya, tiba-tiba bulu romaku meremang menggila. Aku segera membaca surah tiga kul dan al-kursi perlahan-lahan sambil melangkahkan kaki ke atas tangga berkenaan.

Ternyata rumah ini memang sangat besar. Tangganya sahaja berpusing 360 darjah untuk naik ke atas. Aku tidak terkejut sangat kerana abang Kimi adalah Arkitek. Rumah ini merupakan rekaannya sendiri.

Akhirnya kami tiba di depan bilik Alisha.

“Berbahang bilik Alisha ni” ucap abah sebaik dia meletakkan tapak tangannya di muka pintu tersebut.

Abang Kimi terkejut mendengar kata-kata abah. Baginya tiada apa-apa yang berbahang dirasainya dihadapan bilik anaknya itu. Aku juga merasakan perasaan yang sama seperti abang Kimi.

“Rumah ini penuh dengan penghawa dingin. Macam mana boleh ada rasa berbahang?” ucap hati kecilku. Tapi aku yakin abah sudah dapat mengesan ‘musuh’ yang bakal dihadapi kelak.

Abang Kimi membuka tombol pintu dan menolak daun pintu. Tepat sekali tekaan abah apabila aku masuk ke dalam bilik berkenaan aku dapat rasakan bahang di dalamnya. Mataku menjelajah ke seluruh penjuru bilik bagi mencuba mengesan punca bilik berkenaan berbahang.

“Mungkin ada tingkap yang tidak bertutup barangkali” terang hati kepadaku.

Aku tengok abah duduk di sebelah katil Alisha. Abang Kimi pula duduk bertentangan dengan abah. Aku pula berdiri di bahagian hujung katil Alisha. Aku melihat dia sedang tidur dengan nyenyak sekali. Nafasnya turun naik perlahan.

Ku lihat abah sedang meneliti keadaan Alisha. Dia merenung tepat ke muka Alisha sambil mulutnya terlihat sedang membaca sesuatu. Kemudian, abah berbisik dengan Abang Kimi. Abang Kimi mengangguk faham. Dia mengangkat tangan kanannya dan meletakkan tapak tangannya di ubun-ubun kepala anaknya.

Abah mula membuka buku nota kecil dia. Di arahnya abang Kimi melihat nota tersebut. Abang Kimi menganggukkan kepala lagi. Di renung wajah anaknya. Lama Alisha terlantar di atas katil itu. Dia mahukan Alisha kembali seperti sediakala.

Sambil itu, dia juga kelihatan membaca sesuatu. Aku perhatikan kedua-dua lelaki berkenaan dengan tanggungjawab masing-masing. Tiba-tiba, abah memberi isyarat kepada aku. Di tunjuknya sebuah kerusi di tepi tingkap. Dia menyuruh aku mengambilnya dan duduk bertentangan dengan Alisha. Abah juga memberi isyarat agar aku membaca ayat yang biasa aku baca ketika bersama-sama dia membantu pesakit yang tidak sedarkan diri seperti Alisha.

Aku duduk dan mengangguk faham. Aku membaca surah yassin secara perlahan. Aku memejamkan mata dan fokus dengan bacaanku. Suasana pada waktu itu, sangat sunyi. Yang aku dengar hanya bunyi penghawa dingin di dalam bilik Alisha itu sahaja.

Aku terus fokus sehinggalah aku dikejutkan oleh hentakkan kerusi yang aku duduk. Ada sesuatu yang mengangkat aku dan menghempas aku ke lantai semula. Bunyi ‘gedegang’ yang ku dengar amat membuat aku rasa terkejut dan panik seketika. Bila ku buka mataku, aku lihat abah masih lagi duduk di sebelah katil Alisha dan begitu juga abang Kimi.

Mereka masih fokus dengan bacaan masing-masing. Aku lihat ke kiri dan kanan. Aku masih ada dikerusi menghadap Alisha lagi. Aneh sungguh, padahal baru sebentar tadi aku rasa seolah-olah diangkat dengan kerusi dan dihempas ke lantai. Aku beristighfar berulang-ulang kali dan meneruskan pembacaan aku. Mungkin dugaan dari syaitan yang mengganggu Alisha barangkali. Aku lebih fokus sekarang. Sayup-sayup kedengaran suaraku membaca surah yassin dengan lancar tanpa gangguan.

 393 total views